Oleh; Nazri Abdullah
Wartawan SMS
Kota Marudu - Hampir seribu orang mualaf di beberapa kawasan bukit sekitar daerah di sini merayu pihak kerajaan agar mengambil peduli nasib mereka yang masih mempertahankan Islam sebagai pegangan meskipun tidak mendapat ilmu yang cukup tentang agama yang mereka anuti. Demikian dinyatakan oleh Encik Rudi mewakili masyarakat mualaf kawasan bukit di daerah ini. Tambah beliau lagi, hampir keseluruhan mualaf di kawasan bukit merupakan bekas-bekas penganut Pagan yang diislamkan dalam program pengislaman beramai-ramai oleh Parti Berjaya pada tahun 1983 di Padang Kampung Mosolog.
Antara kampung terlibat termasuklah Kg. Lombiding, Kg. Kipopogong, Kg. Gana, Kg. Nasapu, Kg. Garung, Kg. Gouton, Kg. Minsusurud, Kg. Makatol Darat, Kg. Minitampak, Kg. Samparita Laut, Kg. Samparita Darat, Kg. Bombong I, Kg. Bombong II. Memandangkan kawasan perkampungan mereka sekarang terlalu jauh dan sukar untuk dihubungi, para mualaf memohon agar pihak kerajaan mewujudkan satu penempatan untuk mereka bagi memudahkan mereka mengikuti kelas-kelas Fardhu Ain sekali gus mendalami Islam. Sebelum ini, para mualaf di kawasan ini terpaksa melalui laluan-laluan balak untuk menghadiri kelas pengajian di masjid at Taqwa, Kota Marudu dengan bayaran sewa kereta berbelas atau berpuluh ringgit di musim kemarau. Bagi mengatasi masalah ekonomi memandangkan sebahagian besar mereka bekerja sebagai petani, pihak FELCRA dicadangkan agar mengambil ruang sekitar kawasan penempatan yang bakal dicadangkan nanti serta melaksanakan satu program seperti program FELCRA di P. Banggi.Sekiranya langkah segera tidak diambil, dikhuatiri para mualaf bakal berpaling daripada agama Islam akibat kejahilan dan pelbagai desakan lain.
0 comments:
Post a Comment