SHAH ALAM - Anak lelaki penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap empat pertuduhan mencuri dan memiliki harta curi. Raja Azman Raja Petra (foto), 32, yang beralamat No 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini, mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah pada pukul 11.30 pagi. Dia didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ milik Mohd Syaiful Setapa, 24, seorang operator pengeluaran, membabitkan kerugian RM8,000 di No 65, Jalan Batas 2, 19/6b, Seksyen 19 di sini, pada 9.30 pagi 20 Mac lepas. Tertuduh yang ditangkap pada 6 Mei lepas juga mengaku memecah masuk ke dalam rumah Mohd Syaiful dan mencuri beg duit mengandungi kad pengenalan, wang tunai RM20, cukai jalan, kad ATM Maybank dan BSN serta lesen memandu Mohd Syaiful di alamat, masa dan tarikh yang sama. Raja Azman juga mengaku mencuri telefon bimbit dan seutas jam tangan bernilai RM3,850 milik seorang pelajar, Saipul Adli Mohamed Yunus, 21, di rumah mangsa di No 16, Jalan Sastera, U2/1K Seksyen U2 di sini, pada 10 pagi 24 April lepas. Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, turut mengaku bersalah memiliki sebuah motosikal curi kepunyaan seorang pelajar, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23, bernilai RM6,000 di depan rumah No 3, Tingkat 1, Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong pada 10.40 malam 5 Mei lepas. Majistret Norkamilah Aziz mengenakan ikat jamin RM10,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 19 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman. Tidak ada sesiapa yang menjamin Raja Azman manakala bapanya juga tidak kelihatan dalam mahkamah.
Nota : [Ramai yang tertanya-tanya, apakah kes ini ada kaitan dengan kehilangan "Raja Blogger" itu sebenarnya?. PDO juga amat terkejut dengan kes ini, dan sesuatu yang agak janggal kenapa anak beliau mengaku salah dan tidak mahu dibicarakan?. Apakah ia adalah satu skrip yang dicipta untuk mengaburi mata rakyat, walhal selama ini anaknya tidak pernah dikenali. Malahan amatlah tidak masuk akan bila beliau mencuri motosikal tersebut dan dirinya tidak diwakili oleh seorang peguam pun. Kemungkinan besar kesemua motorsikal itu adalah kepunyaan rakan-rakan beliau sendiri dan kes ini dijadikan asas untuk membuktikan bahawa kehilangan Raja Petra "bersebab". Tambahan pula beliau juga dilihat tidak hadir ke mahkamah semasa kes itu dijalankan. Malah isterinya yang begitu kerap ke mahkamah semasa kes Raja Petra juga tidak kelihatan untuk menjamin anaknya itu. Inilah yang menimbulkan persoalan sebenarnya? Apakah semua ini satu konspirasi terbaru terhadap RPK].
0 comments:
Post a Comment