بسم الله الرحمن الرحيم
Sahkah wasiat kepada ahli waris?
Soalan: Saya merupakan seorang suami yang mempunyai 2 orang isteri. Saya mempunyai 3 orang anak dari isteri pertama dan mempunyai seorang anak dari isteri kedua.
Saya mempunyai beberapa harta yang ingin saya serah dan bahagikan kepada anak-anak saya selepas kematian saya. Saya berhasrat untuk mewasiatkan harta-harta tersebut mengikut apa yang saya fikirkan adil kepada anak-anak saya.
Bagaimanapun, saya musykil kerana menurut pandangan dari beberapa rakan termasuk seorang ustaz, saya tidak dibenarkan untuk mewasiatkan harta kepada ahli waris. Saya keliru dengan siapa yang dikira sebagai ahli waris kerana saya juga telah melihat beberapa produk yang ditawarkan oleh syarikat berkaitan yang membenarkan saya untuk membuat wasiat kepada anak-anak saya. - Hassan, Kuala Lumpur.
Jawapan: Wasiat diharuskan dalam Islam kerana ianya membawa faedah kepada diri pewasiat, kaum keluarganya dan masyarakat amnya. Bagaimanapun, wasiat dalam Islam berbeza dengan wasiat dalam undang-undang sivil.
Pada asasnya wasiat hanya diberikan kepada bukan waris kerana tujuannya adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala. Ia juga diharap dapat memenuhi segala kekurangan yang ada ketika hayat.
Apa yang dimaksudkan dengan waris dalam konteks wasiat ialah orang-orang yang berhak mendapat pusaka dan dalam situasi kes ini anak-anak dan isteri-isteri tuan juga merupakan waris yang berhak menerima pusaka jika tuan meninggal kelak. Oleh kerana itu wasiat pada asasnya diberikan kepada bukan waris kerana mereka ini tidak termasuk dalam kalangan orang yang berhak untuk mendapat pusaka.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya berbunyi; “Allah telah berikan bahagian kepada setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”
Bagaimanapun, wasiat kepada ahli waris masih boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan dari ahli waris yang lain. Perlu diingat, ahli waris yang dimaksudkan mestilah ahli waris semasa kematian pewasiat dan bukan ahli waris semasa hayat pewasiat. Jika kesemua ahli waris bersetuju dengan wasiat yang dibuat maka perlaksanaan wasiat tersebut boleh dilaksanakan.
Merujuk kepada kes tuan, tuan boleh untuk melaksanakan wasiat kepada bukan waris. Bagaimanapun, wasiat kepada bukan waris tersebut tidak boleh melebihi dari 1/3 keseluruhan nilai harta. Tuan juga boleh mewasiatkan harta-harta tuan kepada anak-anak tuan yang juga merupakan ahli waris. Bagaimanapun, ianya bergantung kepada persetujuan waris. Wasiat kepada bukan waris melebihi 1/3 dari nilai harta juga boleh dilaksanakan sekiranya ia mendapat persetujuan waris. Harus diingat, persetujuan yang dibuat oleh waris hendaklah diperolehi selepas kematian pewasiat kerana hak tersebut hanya muncul selepas kematian pewasiat.
Pewasiat juga boleh menarik balik kesemua wasiatnya atau sebahagiannya kerana wasiat bukan suatu akad yang wajib, malahan harta yang diwasiatkan juga masih lagi menjadi milik pewasiat dalam tempoh hayatnya.
Merujuk kepada gambaran tuan kepada produk-produk yang ditawarkan, tuan perlu mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut dari pengeluar produk-produk tersebut. Apa yang dikhuatiri ianya tidak menepati kehendak syarak. Tuan juga wajar meneliti setiap produk yangditawarkan agar ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna selepas kematian tuan kelak. Wallahualam.
Jawapan disediakan Roshdan Sujak Rafie, Setiausaha Agong PGSM
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH.. ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..
Bismillahir-Rahmanir-Rahim..
Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.
0 comments:
Post a Comment