Ketika mengiringi Puan Malak al-Shaibani, Timbalan Pengarah Pusat Promosi Pelaburan dan Pembangunan Eksport Oman (The Omani Centre for Investment Promotion and Export Development (OCIPED)) ke beberapa agensi kerajaan dan swasta di ibu negara sepuluh tahun lalu, beliau menceritakan pengalamannya berhadapan dengan lobi Israel di Timur Tengah.
Menurut Malak, tiga orang wakil daripada Kementerian Perdagangan Israel pernah datang ke OCIPED untuk bertemu dengannya bagi membincangkan kemungkinan mewujudkan urusan perdagangan dua hala Oman-Israel.
Beliau enggan bertemu dengan wakil Kerajaan Israel itu atas dua sebab. Pertama Oman tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik dengan Israel. Oleh itu perbincangan dengan wakil Israel tidak membawa sebarang faedah kepada aspek pelaburan dan eksport Oman.
Keduanya, beliau risau jika pertemuan itu hanya akan dijadikan modal publisiti murahan oleh Israel dan disiarkan dalam media massa negara haram itu. Hasilnya nanti, Malak khuatir akan disalah lapor sebagai menyokong kewujudan Israel dan dirinya pula menjadi sasaran para pejuang Palestin termasuk Hamas.
Begitulah sikap berhati-hati yang ditunjukkan seorang pegawai tinggi kerajaan Oman. Israel sebenarnya wajar dilayan begitu kerana sejarah membuktikan negara haram itu adalah duri dalam daging keamanan rantau Teluk!
Amat malang bagi mana-mana pegawai atau pemimpin kerajaan negara umat Islam untuk bertemu dengan pegawai dan pemimpin Israel (atas apa juga alasan) kerana ianya pasti dijadikan modal oleh 'spin doctor' dan media propaganda Israel untuk menunjukkan 'negara tanpa restu' itu sudah semakin diterima oleh dunia khususnya negara-negara umat Islam.
Pastinya berita pertemuan bekas Menteri Agama Kerajaan BN yang sekarang menjawat Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak di satu majlis cocktail di Perancis amat mendukacitakan kita.
Pertemuan itu walaupun ringkas menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan negara tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel. Jika Zahid beralasan mahu menyampaikan pandangan Malaysia terhadap isu Timur Tengah, apakah tindakannya itu telah mendapat restu kabinet khususnya Kementerian Luar?
Tentu tidak banyak yang mampu dibincangkan Zahid dan Ehud Barak dalam pertemuan 35 minit itu, tetapi ia sudah cukup untuk dijadikan modal bagi Ehud Barak menunjukkan sikap berlembut Malaysia dalam soal hubungan dua hala. Zahid sendiri mengakui beliau satu-satunya Menteri Pertahanan yang bermuqabalah dengan Ehud Barak pada majlis sempena Pertunjukan Udara Paris itu.
Ini bukanlah 'pertemuan haram' pertama dilakukan pemimpin BN khususnya Umno dengan pemimpin Zionis Israel. Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin di Perancis pada 1995 manakala krew TV3, sebuah stesen TV milik tidak langsung Umno menjadi rakyat Malaysia pertama masuk ke Israel melalui lapangan terbang antarabangsa Ben Gurion, Tel Aviv beberapa tahun kemudian.
Sebenarnya banyak kisah kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin yang boleh dinukilkan. Sejak tertubuhnya negara haram Israel pada 1948 dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia, rantau Teluk tidak lagi aman.
Pencerobohan Israel terhadap wilayah autonomi Gaza bermula akhir tahun lalu mengakibatkan ribuan korban. Sempadan Gaza-Mesir ditutup mulai 5 Februari 2009 walaupun untuk misi bantuan kemanusiaan, mengakibatkan Gaza menjadi umpama 'penjara terbuka' bagi 1.5 juta rakyatnya.
Sempadan Gaza-Mesir kini dikawal empat pihak - Mesir, Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Tiada sebarang bekalan makanan, ubat-ubatan dan binaan dibenarkan melepasi sempadan. Aktiviti lintas sempadan melalui terowong-terowong yang berselirat di sepanjang sempadan kini dikawal oleh kamera litar tertutup (CCTV).
Aktivis badan bukan kerajaan (NGO) Barat turut disekat daripada melintasi sempadan sehingga mendorong mereka mengadakan demonstrasi, piket dan berkampung di Rafah Gate.
Perkembangan yang berlaku ini sepatutnya menginsafkan Zahid tentang peri kejamnya Israel dan kuasa-kuasa besar dunia terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Muqabalah Zahid-Ehud Barak sebenarnya tidak bermanfaat langsung untuk Palestin. Ia menambahkan lagi luka mereka seperti terlukanya hati umat Islam negara ini kerana sikap dangkal, tidak sensitif dan naifnya Zahid. Di mata Zionis Israel, Zahid pastinya diiktiraf sebagai pemimpin Islam yang toleran dan mudah dibawa berbincang.
Mungkin banyak yang boleh dipelajari Zahid daripada Israel khususnya pengganas bernama Ehud Barak! _
Harakah
Bismillahir-Rahmanir-Rahim..
Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.
0 comments:
Post a Comment