Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala Puji Bagi Allah Tuhan sekalian alam yang PenguasaanNya meliputi segala alam yang zahir, ghaib dan juga alam-alam yang tidak pernah dikenali manusia. Diatas RahmatNya juga, kita muslimin tidak teraba-raba mencari persoalan Siapakah Dia yang patut kita sembah dan berterima kasih kerana kita telah pun dianugerahkanNya dengan Islam yang membawa kita mengenal Pencipta kita. Dengan RahmatNya juga kita dianugerahkan dengan Al-Quran sebagai panduan hidup dan penggerak kemajuan bagi setiap Muslim benar-benar beriman. Al Quran, wahyu yang diturunkan Allah melalui perantaraan Ruhul Quddus kepada Nabi Muhammad s.a.w. Rahmatan lil 'Alamin, membentuk peribadi Rasullullah s.a.w. menjadi contoh manusia teragung yang seharusnya dijadikan ikutan semua yang bergelar muslim.
Sebelum Keputeraan Baginda pada 12 Rabiulawal, tahun 570 masihi meyaksikan satu peristiwa bersejarah terpahat dalam lipatan ingatan umat Islam diseluruh dunia. Sejarah yang menyaksikan ketamakan, kebencian dan kekufuran yang menguasai jiwa seorang Gabenor bongkak Dari Yaman. Abrahah Ashram, Gabenor yang dimaksudkan mengumpulkan segala kekuatan ketenteraan yang ada pada kerajaannya, mengorak langkah menghala satu tujuan tekad untuk menyerang Mekah dan menghancurkan Kaabah, rumah Allah yang menjadi Kiblat bagi umat Islam sehingga kiamat.
Dilengkapi dengan kenderaan perang antara yang paling digeruni di zaman tersebut, gajah; menjadi petanda yang diingati oleh penduduk Mekah zaman tersebut lalu dipahatkan kedalam lipatan sejarah dimana tahun berlakunya serangan tersebut dikenali juga sebagai Tahun Gajah. Terdorong oleh hasutan Iblis dan kekecewaan diatas "Kaabah' buatannya sendiri yang tidak dapat menarik tumpuan pedagang dan saudagar-saudagar kedaerahnya, Abrahah dengan angkuh mencabar Allah, mengimpikan kehancuran Baitullah, binaan yang dibuat atas perintah wahyu Allah kepada Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.
Abrahah Ashram yang berasal dari kerajaan Kristian Abyssina (Ethiopia kini), menjadi Gabenor Yaman setelah berjaya merampas kuasa dan menjatuhkan kerajaan pimpinan golongan Yahudi Himyarite Yaman. Gerakan untuk menghancurkan Kaabah ini bermula dengan fanatisme agama yang melampau yang menguasai kerajaan pimpinannya dan orang-orang yang menyokongnya. Kaabah mesti dihancurkan! Tekad melampau ini diterjemahkan melalui pengumpulan ketumbukan tentera yang tidak langsung terlawan oleh penduduk dan penjaga Kota Suci Mekah.
Dimabukkan dengan cinta dunia yang melampau, dihanyutkan pula oleh hedonisme yang tiada batasan serta kealpaan dan kesesatan dalam penyembahan berhala yang lama berakar umbi, tiada jiwa yang bangun menentang kerana takut serta tidak berkeupayaan untuk berbuat demikian. Masing-masing jiwa sibuk menyelamatkan diri , harta benda serta anak pinak masing-masing. Tanggungjawab dikirikan, keduniaan dikinikan. Tetapi yakin segelintir dari mereka kepada Allah tidak pernah luntur. Bagi mereka ini rumah Allah, Allah lah yang memeliharanya dan seharusnya Rumah Allah, Allah lah yang patut mempertahankanya. Inilah tekad dan yakin Abdul Mutallib, nenda kesayangan Rasullullah s.a.w. Ternakan, harta benda dan keluarganya diselamatkan dulu kerana itu adalah miliknya dan dialah yang seharusnya mempertahankannya.
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya) , lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
(Al-Baqarah : 255)
Allah, hanya Dia mencukupi. Allah hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Allah, jika Dia mahukan, tentulah Abrahah Ashram ini mati serta dihancurkan sebaik melangkah keluar dari Yaman. Dan Allah, jika Dia mahukan tentulah seluruh alam yang terkandung makhluk-makhlukNya yang kufur kepadaNya ini Dia Binasakan sama sekali.
Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya (kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan Allah terhadap penduduk bumi yang lupakan kebesaran Allah sehingga menyeleweng dari jalan yang benar); dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Asy - Syuura : 5)
Tetapi, Dia Yang Maha Mengetahui mengenai segala tindakanNya. Ditangguhkan hukumanNya di dunia keatas Abrahah dan tentera-tenteranya itu merupakan satu rahmat, peringatan dan pengajaran bagi Muslimin supaya diambil akan iktibar. Sebaik Abrahah menghampiri kota Mekah, Allah Yang Maha Kuasa mengirimkan tentera-tenteraNya untuk menghancurkan gerombolan tentera bergajah ini. Tentera-tentera yang dikirimkan Allah merupakan burung-burung yang membawa bersama mereka ketul-ketul batu dari 'tanah liat keras yang dibakar' sebagai senjata untuk dihumbankan ke atas angkatan bergajah tersebut. Langit pun mula diselubungi bayangan azab Allah yang sedang menanti Abrahah dan tentera-tenteranya.
Saat perintah Allah dilaksanakan, ianya tidak diawalkan mahupun dilambatkan walau sedetik, burung-burung Ababil tersebut menghujankan tentera Abrahah dengan batu-batu dari 'tanah liat keras yang dibakar', menimpakan ke atas tentera-tentera Abrahah lalu mereka, termasuk Abrahah dihinggapi satu wabak penyakit akibat dari serangan tersebut yang kemudiannya mengakibatkan tubuh badan mereka seakan-akan kelihatan seperti daun-daun kering yang dimakan ulat. Mereka semua kemudiannya hancur sama sekali tanpa ada satu jiwa pun yang terselamat. Begitulah gambaran bagaimana Abrahah serta tentera-tenteranya dimusnahkan Allah dan gambaran ini disebut jelas oleh Allah dalam Surah Al - Fiil ayat satu hingga 5.
Ketenangan pun mula kembali menyelubungi Kota Mekah dan Kaabah kembali menjadi tumpuan. Tidak lama sesudah peristiwa serangan tentera bergajah tersebut, seluruh alam ini diKurniakan Allah dengan satu kelahiran, kelahiran yang membawa berjuta rahmat kepada seluruh Alam ini. Subuh hari Isnin 12 Rabiulawal Tahun Gajah ini menyaksikan Nabi Muhammmad s.a.w. diputerakan.
1437 tahun telah pun berlalu dari peristiwa serangan tentera bergajah tersebut. Surah Al Fil yang diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu tempoh kerasulannya mengandungi iktibar dan pengajaran yang jika diteliti mempunyai impak yang sangat besar ke atas kemanusiaan dan penguasaan kuasa dunia. Biarpun hanya mengandungi 5 ayat, ramalan serta pengajaran yang terdapat dalam surah ini menjamin kuasa dunia tetap berada di tangan umat Islam jika umat Islam tetap berpegang teguh dengan Al-Quran. Sayang sekali, tradisi literasi bagi umat Islam dari seribu tahun yang lampau hanya menekankan kepada pengajaran aspek sirah, cara bacaan serta pemahaman lapisan luaran ayat-ayat Al-Quran sebegini.
Amat malang sekali perkara yang tersirat yang sepatutnya dikaji dan diambil perhatian ini juga sentiasa diabaikan. Pengajaran-pengajar an yang telah diabaikan berabad lamanya ini kini sudah pun mula memakan diri umat Islam bila empayar-empayar Islam yang kuat satu ketika dahulu mula mengalami kejatuhan dan kemusnahan. Bila ayat-ayat Al-Quran serta pengajaran-pengajar an yang terdapat didalamnya diperlekehkan, sedikit demi sedikit kekuatan ummah semakin meluntur dan kemudian Allah s.w.t. mencabut rasa takut dan gerun dalam hati musuh-musuh Islam. Hari demi hari mereka semakin berani memperlekehkan Islam dan umatnya. Ini semua adalah hasil perbuatan dan sikap umat Islam itu sendiri.
1437 tahun yang lalu, sewaktu Baitullah diancam dengan pencerobohan tentera bergajah pimpinan Abrahah, Allah s.w.t. telah mematahkan pencerobohan tersebut dengan satu cara yang sepatutnya dicontohi dan dipelajari oleh Muslimin seluruh dunia jika kita mengambil perhatian dan iktibar. Allah s.w.t. boleh saja memusnahkan Abrahah Ashram dan tentera-tenteranya dengan apa saja cara yang Dia inginkan. Tetapi satu cara ini dipilih sebagai satu petanda dan pengajaran supaya umat Islam mencontohinya dan mengambil iktibar dari cara pelaksanaannya. Jika diikut dan dicontohi berabad lama dahulu, tentulah pada ketika dan waktu ini, empayar kegemilangan Islam; jika diizinkanNya masih utuh dan digeruni seluruh dunia.
1437 tahun yang lalu, 'pengeboman' udara menggunakan senjata dengan magnitud pada skala pemusnahan besar besaran ke atas sasaran tentera penceroboh (bukan orang awam) dilakukan Allah s.w.t., dengan menggunakan 'pesawat-pesawat' udara yang merupakan burung-burung Ababil. Sepertimana yang dapat kita lihat pada waktu kini, 1437 tahun yang lalu, teknologi serangan udara dengan menggunakan 'bom pemusnah besar-besaran' yang mengakibatkan tentera-tentera lawan dimusnahkan dengan ditimpa penyakit yang membawa maut dan mati serta merta telah pun digunakan Allah s.w.t. ke sebagai contoh supaya difahami muslim dan diikuti sunnahNya bagi mempertahankan diri apabila diserang.
Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
(Al- Hajj : 39)
Senjata berupa 'batu-batu dari tanah liat keras yang terbakar' ini juga digunakan Allah s.w.t. ke atas kaum Lut, kaum yang dibinasakan kerana ingkar dengan perintah Allah dengan melakukan hubungan terlarang dan songsang. Kisah mengenai 'batu-batu dari tanah liat keras yang terbakar' yang Allah s.w.t. timpakan ke atas kaum Lut ada disebut dalam surah Hud ayat 82 dan surah Al Hjir ayat 74. Kaum ini dihujankan Allah dengan batu-batu ini setelah bumi mereka diterbalikkan dan ini menyebabkan keseluruhan kaum dan daerah tempat tinggal mereka musnah sama sekali.
Agak menyedihkan apabila dikenangkan dengan apa yang menimpa Muslimin kini, ketidakupayaan untuk mempertahankan diri, agama dan negara jelas menguasai daya usaha umat Islam sedangkan segala petunjuk dan pengajaran telah pun diwahyukan dan diterangkan dengan jelas dan nyata kepada kita.
Lebih malang lagi apabila apa yang disebutkan Allah s.w.t. untuk panduan Muslim untuk memperkuatkan ummah ini akhirnya dikuasai oleh oleh barat kini. 1908 menyaksikan 2 adik beradik Wrights, Wilbur dan Orville Wrights, mengorak langkah mengisi kekosongan dan tanggungjawab yang ditinggalkan dan dialpakn seribu tahun lamanya oleh umat Islam, untuk memajukan diri dan seterusnya menguasai teknologi yang akhirnya membawa kepada penguasaan kuasa barat ke atas daerah baru bumi yang selama ini hanya dikuasai burung, kelawar dan unggas.
Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat tidak mengambil tempoh yang lama untuk mengambil kesempatan setelah mengetahui mengenai kejayaan adik beradik Wrights ini. Mereka seterusnya menggunakan teknologi baru ini dan menyerapkan ia masuk sebagai satu dari teknologi kenderaan perang yang bakal digeruni kawan dan lawan. Kini 99 tahun setelah kejayaan penerbangan dengan bantuan mekanikal yang pertama, pihak barat terutamanya Amerika Syarikat telah menjadi satu kuasa besar dunia yang mana mereka kini telah mula mengalihkan arah tumpuan mereka beberapa dekad lalu ke arah negara-negara Islam untuk dijadikan musuh 'ketamadunan' baru mereka setelah tamat perang dingin. Kini umat Islam sendiri dibom dan dihujani dengan senjata-senjata kimia dan senjata-senjata bersadur bahan nuklear oleh pihak-pihak tidak bertamadun ini.
Pihak Amerika juga telah mencuba meniru sunnatullah dalam surah Al Fiil ini pada sekitar tahun 1944 dengan menggunakan sejenis kelawar untuk membawa bahan letupan dalam perancangan mereka untuk mensabotaj Jepun. Projek ini dinamakan dengan nama “Project X-Ray”. Menurut perancangan asal ‘Project X-Ray’ ini, sebuah bekas simpanan yang kelihatan seakan-akan bom yang mempunyai 26 bahagian didalamnya, yang mana setiap satu bahagian mengandungi 40 ekor kelawar yang telah dilengkapkan dengan bom ‘napalm’ seberat 17 gram. Mereka merancang untuk memuatkan beratus-ratus bekas ini dalam pesawat-pesawat pengebom B-24 yang akan berlepas dari pengkalan udara Amerika di Alaska.
Bekas-bekas yang dibawa oleh pesawat-pesawat pengebom B 24 ini akan digugurkan pada ketinggian 5000 kaki. Setelah digugurkan, bekas-bekas yang diikat pada payung terjun tersebut akan diaktifkan pada ketinggian 1000 kaki dan melepaskan berjuta-juta kelawar yang telah siap dipasangkan dengan bom-bom ‘napalm’. Pihak Amerika telah menetapkan sebuah bandar perindustrian di Teluk Osaka, Jepun, sebagai sasaran utama. Beberapa siri ujian telah dibuat sebelum perencangan mereka ini dapat dilaksanakan. Siri-siri ujian awal menunjukkan bahawa teori pengeboman menggunakan kelawar yang dirancang tersebut, seakan-akan membuahkan hasil. Tetapi satu kemalangan yang berlaku dalam siri ujian yang dijalankan di pengkalan tentera udara Amerika bertempat di Carlsbard, New Mexico, menyebabkan perancangan yang dibuat terbantut. Kemalangan tersebut disebabkan oleh kelawar-kelawar yang telah siap dipasangkan bom itu terlepas dari bekas simpanan secara tidak sengaja sehingga menyebabkan berlaku letupan dan kebakaran di pengkalan udara tersebut. Berikutan dengan kejadian tersebut, projek ini telah dipindahkan tanggungjawabnya kepada pihak tentera laut dan seterusnya dipindahkan pula tanggungjawab tersebut kemudiannya kepada Tentera Marin Amerika. Setelah semua perancangan dan ujian baru dibuat, pihak Tentera Marin Amerika telah membuat satu pengeboman ujian menggunakan kaedah ini ke atas sebuah sasaran olok-olok berasaskan bandar Jepun yang dibina diatas tapak ujian tentera bertempat di Dugway Proving Grounds, Utah. Ujian pengeboman yang dilakukan tersebut disifatkan sebagai amat berjaya. Menurut laporan yang dikeluarkan berikutan kejayaan ujian tersebut, pihak tentera Amerika menyatakan bahawa kaedah pengeboman menggunakan kelawar ini amat efisien jika dibandingkan dengan kaedah pengeboman menggunakan bom-bom konvensional yang lain. Menurut mereka lagi, jika pengeboman dilakukan dengan menggunakan kaedah bom biasa, hasil pembakaran napalm yang diperolehi hanya sekitar 167 hingga ke 400 pembakaran yang berlaku bagi setiap pesawat pengebom yang melancarkannya. Tapi dengan mengggunakan kelawar untuk melancarkan bom-bom napalm ini, menurut mereka, hasil yang diperolehi adalah sekitar 3625 hingga 4748 pembakaran yang diperolehi bagi setiap peawat pengebom yang melepaskannya. Walaupun berjaya dalam siri ujian ini, ‘Project X-Ray’ ini akhirnya dibatalkan ekoran dari kemajuan projek yang terlalu lembab dan disamping kos yang banyak dibelanjakan. Mereka-mereka yang terlibat dengan projek ini menyatakan bahawa, projek ini hanya akan sedia dilancarkan ke atas Jepun pada akhir tahun 1945, sedangkan pihk Amerika sudah beria-ia benar ingin menamatkan peperangannya dengan negara matahari terbit ini. Tapi ini bukanlah faktor utama yang menyebabkan projek ini dibatalkan, alasan utama ialah kerana projek bom atom yang turut diuji sebelum dari itu telah pun siap dibangunkan dan kesan yang dibawa oleh bom atom ini lebih dasyat lagi.
Kini mereka pada tahun 1945 telah mula menguasai satu kuasa pemusnah besar-besaran sepertimana yang Allah sebutkan juga dalam surah Al Fiil ini. Dua daripada bom hasil teknologi ini telah pun digugurkan ke atas dua bandar Jepun, Hiroshima dan Nagasaki melalui pesawat yang dinamakan dengan nama 'Enola Gay'. Bom pertama yang diberi jolokan nama 'Little boy' telah memusnahkan sama sekali bandar Hiroshima, dan kemudian dari itu, Nagasaki pula dibom dengan bom yang diberikan jolokan nama 'Fat Man'. Mangsa-mangsa pengeboman ini menjadi seperti 'daun-daun kering yang dimakan ulat' seperti yang tesebut dalam surah Al-Fil seribu tahun yang lalu. Kesan-kesan jangka panjang kepada mangsa-mangsa serangan ini kekal hingga kini. Kini Republik Islam Iran pula bakal menjadi medan ujian bagi senjata pemusnah besar-besaran bagi pakatan negara-negara tidak 'bertamadun' ini.
Tinggallah Islam terus tenggelam bila Al-Quran ditinggalkan hanya pada amalan pembacaan, bukan pemahaman dan diambil pengajaran. Kini barat menguasai hampir semua ramalan dan apa saja yang disebut dalam Al-Quran kecuali Iman. Sebutlah apa saja dan pandanglah apa yang terbaik dan bermoral yang terdapat di barat, semuanya telahpun disebut dan dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran. Terutamanya ayat-ayat yang mengajar dan menunjukkan kepada kemajuan dan apa yang boleh dan mampu dicapai oleh umat manusia melalui pengetahuan sains dan teknologi.
Kini mereka telah pun mula menguasai dengan lebih hebat lagi teknologi dan penerokaan angkasalepas dan telah pun berjaya keluar dari planet bumi ini dengan kuasa ilmu dan pengetahuan seperti mana yang telah disebutkan Al-Quran surah Ar-Rahman ayat 33 yang bermaksud :
Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi , maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan! (Ar Rahman : 33)
Ayat 35 dalam surah Ar Rahman pula memberikan peringatan susulan kepada jin dan manusia tentang apa yang bakal ditempuh mereka apabila mereka cuba untuk untuk keluar dari muka bumi setelah menguasai teknologi dan keupayaan untuk menembusi langit, supaya diambil pengajaran dan langkah berhati-hati.
Kamu akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri; (Ar Rahman : 35)
Setiap objek yang keluar masuk dari permukaan bumi akan menghadapi satu keadaan di mana ianya akan mengalami pergeseran dengan lapisan atmosfera bumi yang menyebabkan objek tersebut akan terbakar dengan teruk, dan ini akan menyebabkan lapisan objek tersebut terhakis sedikit demi sedikit pada kadar yang sangat cepat hasil dari bakaran pergeseran dengan lapisan atmosfera tersebut.
Pihak NASA telah pun mempersiapkan pesawat bolak balik mereka dengan lapisan penebat haba yang diperbuat dari seramik. Lapisan ini meliputi permukaan bahagian pesawat yang akan bergeser dengan lapisan Atmosfera bumi semasa pesawat ini memasuki ruang angkasa bumi. Tetapi malangnya dalam penerbangan pulang kapal angkasa Columbia pada tahun 2003 ke bumi, satu daripada penebat haba ini telah tertanggal semasa proses pelancarannya ke angkasa lepas dan mengakibatkan pesawat ini terbakar dan meletup sebaik saja memasuki ruang atmosfera bumi. Pengajaran berat yang diterima pihak NASA dengan kehilangan pesawat dan tujuh angkasawannya ini membuktikan bahawa amaran dan peringatan yang diberikan Allah kepada manusia supaya diperhatikan dan diambil perhatian tentang apa yang bakal terjadi semasa keluar masuk ruang angkasa bumi, tidak boleh dipandang remeh. Kehilangan hanya satu penebat menyebabkan seluruh badan pesawat angkasa tersebut terbakar dan logam yang membentuk rangka pesawat tersebut mencair dan kemudiannya menyebabkan pesawat itu meletup sama sekali. Akhirnya mereka-mereka yang berada dalam pesawat tersebut tidak dapat mempertahankan diri mereka. Segalanya telah diceritakan dan diperingatkan dalam Surah Ar-Rahman 1437 tahun dahulu.
Begitu juga dengan sains disebalik kelahiran Nabi Isa a.s. tanpa 'campur tangan' benih lelaki. Kini, barat membuktikan ayat-ayat yang menerangkan keajaiban di sebalik kelahiran Nabi Isa a.s. boleh dicapai dengan kemajuan teknologi waktu ini. Biarpun tidak sama dengan kelahiran melalui mukjizat yang Allah s.w.t. kurniakan, kelahiran dalam proses sebegini memang dapat diusahakan oleh manusia dengan izin Allah s.w.t. Ayat-ayat yang menerangkan mengenai mukjizat kelahiran Nabi Isa a.s. ini sekarang telah pun dibuktikan benar sedangkan selama ini, ayat-ayat Al-Quran sebegini menjadi satu bahan lawak dan senjata bagi pewaham dan penentang Islam dengan menjadikan ia sebagai dalil dalam menidakkan serta memperlekehkan mukjizat teragung, Al-Quran; Kalamullah Teragung. Kini mereka beriya-iya benar untuk memulakan projek untuk mengklon pula manusia setelah berjaya melakukan perkara yang sama ke atas seekor kambing biri-biri yang dinamakan sebagai Dolly pada tahun 1997. Biarpun berjaya dengan beberapa projek pengklonan ke atas beberapa spesis haiwan selepas itu, projek tersebut melahirkan spesis haiwan yang sama dengan induknya tetapi klon-klon tersebut mempunyai berbagai jenis kecacatan dan ketidaksempurnaan. Begitu juga dengan Dolly, biri-biri yang menjadi hasil klon pertama juga mengalami berbagai masalah kesihatan.
Biarpun banyak yang telah dicapai Barat, masih terdapat banyak lagi ayat-ayat dalam Al-Quran yang menunjukkan kemajuan-kemajuan yang bakal dan boleh dicapai oleh manusia. Antaranya penguasaan manusia dalam mencapai kelajuan cahaya sepertimana yang dibuktikan oleh peristiwa Israk Mikraj yang mana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri bergerak dengan selamat dalam kelajuan ini menunggang Buraq dan ditemani oleh Jibril a.s.. Albert Einsten yang diagungkan komuniti sains ada menyatakan dalam teori kerelatifannya bahawa agak mustahil dan tidak munasabah bagi manusia untuk dapat bergerak dalam kelajuan yang menyamai kelajuan cahaya. Mengapa perlu digusarkan tentang kenyataannya ini, dia hanyalah seorang manusia yang dianugerahkan akal bijaksana melampaui zamannya, tetapi dia tidak maksum. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan seorang insan yang terpilih dan menjadi Kekasih Allah Pemilik, Pencipta dan Pentadbir seluruh alam ini. Setiap kenyataan yang datang dari Rasulullah s.a.w. merupakan wahyu yang dibimbing oleh Allah s.w.t. Ilmu-ilmu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. merupakan petunjuk secara langsung dari Allah s..w.t. tanpa ada sebarang kecacatan atau ketidaksempurnaan padanya. Albert Einstein pernah melakukan satu kesilapan besar yang amat dia sesalkan sepanjang kariernya sebagai saintis. Kesilapan yang terjadi ini merupakan hasil dari penyelidikannya yang dibantu dengan maklumbalas tambahan oleh ahli-ahli kajibintang mengenai fenomena alam semesta yang sebelum itu disifatkan oleh para ahli-ahli kajibintang tersebut sebagai statik.
Dalam pemerhatiannya sebelum tahun 1915, Albert Einsten terpaksa memasukkan satu pemalar tetap kosmos bagi formula persamaan yang berkaitan kosmos yang dilakukannya bagi membolehkan formula persamaan tersebut menepati teori mengenai alam semesta yang statik dan tidak berkembang sebagaimana dianuti oleh majoriti pengkaji bintang dan saintis di zaman tersebut. Pemalar tetap ini bagaimanapun terpaksa diubah oleh Einstein setiap kali dia membuat pemerhatian ke atas alam semesta dan perkara ini membingungkannya dan seterusnya menyedarkan dirinya bahawa kemungkinan alam semesta ini statik adalah tidak dapat diterima kebenarannya. Tahun-tahun berikutnya menyaksikan Einstein sendiri mengakui bahawa pemalar tetap kosmos yang dia masukkan ke dalam formula persamaan kosmos sebelumnya merupakan satu kesilapan paling besar dalam kariernya sebagai saintis.
Perkara ini kemudiannya dibuktikan benar bila Edwin Hubble, seorang saintis dari Amerika Syarikat, pada tahun 1929, melalui pemerhatiannya ke atas sejumlah bintang menerusi sebuah teleskop berskala besar, membuktikan bahawa semua objek dalam kosmos ini berkembang dan sedang menjauhi planet bumi. Pemerhatiannya ke atas perubahan spektrum cahaya bintang-bintang ini juga membuktikan bahawa bukan setakat objek-objek ini menjauhkan diri dari planet bumi, malahan semua objek-objek yang terdapat di angkasalepas ini menjauhkan diri antara satu sama lain. Penemuan ini telah menggemparkan komuniti sains dunia waktu itu. Satu-satunya kesimpulan yang dapat dibuat dari penemuan ini ialah alam semesta ini berkembang secara tetap dan perkara ini juga membuktikan bahawa ayat mengenai pengembangan kosmos seperti yang diwahyukan kepada Rasululah s.a.w. sangat tepat dan mendahului masa.
Dan langit itu Kami dirikan dengan Kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi) dan sesungguhnya Kami jugalah yang mengembangkannya.
(Adh Dzhariyat : 47)
Di sini juga jelas bahawa ilmu wahyu yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. sangat bertepatan dengan pengetahuan sains walaupun Rasulullah s.a.w. tidak mendapat pendidikan formal, malahan merupakan seorang yang tidak dapat membaca dan menulis, berbanding Einstein yang mempunyai pendidikan formal duniawi yang melengkapkan dirinya dengan segala pengetahuan sains dan teknologi tetapi ilmu yang diwahyukan terus oleh Pencipta seluruh alam ini kepada Rasulullah s.a..w. telah mendahului pemikiran zamannya dan hanya dibuktikan benar lebih 1300 tahun selepas Al-Quran diturunkan.
Bagi saintis muslim seluruh dunia, garispanduan mengenai segalanya yang ingin dicari kepastiannya ada terdapat dalam Al-Quran. Jadikan Al-Quran sebagai garis panduan supaya tidak tersasar dan membuang masa mengkaji perkara-perkara yang sudah jelas tidak langsung bertepatan dengan syariat dan apa yang dinyatakan Allah s.w.t. melalui Rasulullah s.a.w.
Persetankan dengan golongan pesimis lembab dan taboo jumud yang telah melontarkan maruah Islam 1000 tahun ke belakang. Cangkuk-cangkuk parasit yang menahan kemajuan ini perlu ditinggalkan. Islam itu progresif dan Islam juga pencetus dan pembawa kemajuan. Tetapi di tangan parasit jumud yang fanatik dan berkepentingan sendiri, ilmu-ilmu wahyu cuma ditekankan kepada kefahaman literasi luaran tanpa mengambilkira lapisan-lapisan ilmu bermagnitud besar yang dibawa bersama ayat-ayat yang sama. Meninggalkan Al-Quran bererti membawa impak yang sangat buruk kepada umat Islam. Seribu tahun dahulu, Islam paling berkuasa, paling maju dan kemudiannya apabila mula meninggalkan Al-Quran dan sunnah maka kini umat Islamlah yang paling mundur.
Apakah perlu seluruh dunia Islam dihujani bom-bom kuffar barulah ummah akan kembali kepada ajaran sebenar Islam. Begitu juga dengan keadaan umat Islam di Malaysia kini. Kita seharusnya sedar dengan berbagai-bagai ancaman terhadap akidah dan pegangan iman kita selama ini. Kemunculan golongan-golongan munafik disebalik topeng Islam progresif, liberal, plural dan lebih ‘sederhana’ dari Islam asal yang tidak langsung berlandaskan kepada Al-Quran secara keseluruhannya semakin menjadi-jadi, ditambah pula dengan bantuan-bantuan kewangan, sokongan dan moral dari pihak-pihak luar yang hanya ingin mengambil kesempatan.
Al-Quran bukan untuk diambil separuh-separuh atau mana-mana ayat yang disukai diikuti dan mana-mana ayat yang tidak disukai dan menepati citarasa dan cita-cita mereka ditinggalkan. Al-Quran perlu dihayati dan diamalkan keseluruhannya. Syarat bagi umat Islam untuk kembali menguasai dunia hanyalah dengan kembali bepegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan dari sinilah penguasaan ilmu-ilmu sains dan teknologi hebat akan bermula. Sama seperti yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. yang mula membentuk akhlak para sahabatnya menjadi mereka-mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan kitabNya sepenuh hati. Dari sini para sahabat Rasulullah s.a.w. ini mula mengorak langkah mengembangkan Islam dengan menguasai dunia dan seterusnya generasi-generasi yang mewarisi kemakmuran dan kekuatan ekonomi ini mula menguasai teknologi dan ilmu-ilmu yang kemudiannya melonjakkan tamadun Islam jauh kehadapan.
Dan pada waktu zaman kegemilangan inilah, Salahuddin Al-Ayyubi kembali menguasai BaitulMaqdis pada tahun 1187 masihi selepas BaitulMaqdis ditawan oleh tentera-tentera salib pada tahun 1099. Hampir seratus tahun lamanya masa diambil untuk menguasai semula Tanah Suci ketiga umat Islam ini selepas penguasaan keatasnya terlepas ke tangan tentera salib biarpun beberapa ratus tahun sebelum itu Saidina Umar Al-Khattab berjaya menakluknya pada tahun 638 masihi dan menguasainya selama hampir 500 tahun.
Perkara yang sama juga perlu direnungkan dan diambil langkah oleh umat Islam kini. Untuk kembali menguasai dunia, ianya mengambil masa dan pengorbanan, jika tidak dimulakan langkah dan usaha tersebut mulai sekarang, maka kejayaan yang diimpikan itu pasti akan terlontar lebih jauh kebelakang.
Jadi, kembalilah kepada Al-Quran, kerana disanalah bermula pengajaran dan kemajuan. Kembalilah kepada Al-Quran kerana disitulah bermulanya keamanan dan kembalilah kepada Al-Quran kerana disanalah kepastian masa hadapan.
Bismillahir-Rahmanir-Rahim..
Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.
0 comments:
Post a Comment