Bismillahir-Rahmanir-Rahim.. Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.

JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK SUPAYA SENANG AKU NAK MELAWAT DAN FOLLOW KORANG BALIK.. INSYA ALLAH.

Tuesday, December 8, 2009

RASUL TERIMA AL-QURAN DENGAN PELBAGAI CARA

بسم الله الرحمن الرحيم



Erti kata ‘Al-Quran’ menurut pendapat yang paling kuat seperti yang dikemukakan oleh Dr Subhi Al Salih adalah ‘bacaan’, asal kata qara’a. Kata Al-Quran itu berbentuk masdar dengan erti isim maf’ul iaitu maqru’ (dibaca).

Dalam Al-Quran sendiri ada pemakaian kata ‘Quran’ dalam erti sedemikian seperti yang disebut dalam ayat 17 dan 18, surah al-Qiyaamah yang bermaksud:

“Sesungguhnya mengumpulkan al-Quran (dalam dada kamu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan Kami. (Kerana itu), jika Kami membacakannya, hendaklah kamu ikuti bacaannya.”

Kemudian dipakai kata ‘Quran’ itu untuk Al-Quran yang dikenali sekarang ini.
Ada pun definisi Al-Quran ialah ‘Kalam Allah yang juga mukjizat yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad SAW dan yang ditulis di mushaf serta diriwayatkan dengan mutawatir dan membacanya adalah ibadat.’

Dengan definisi itu, kalam Allah yang diturunkan kepada nabi selain Nabi Muhammad SAW tidak dinamakan Al-Quran seperti Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa atau Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa.

Demikian pula dengan kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang membacanya tidak dianggap sebagai ibadat seperti hadis Qudsi, tidak pula dinamakan Al-Quran.

Nabi Muhammad SAW dalam menerima wahyu mengalami pelbagai cara dan keadaan. Antaranya:-

Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hati Baginda.
Dalam hal ini, Nabi tidak melihat sesuatu apa pun, hanya berasa bahawa ia sudah berada saja dalam kalbunya.

Mengenai hal ini, Nabi bersabda: “Allah mewahyukan ke dalam kalbuku.” (Lihat ayat 51, surah Asy Syura);

Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi berupa seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya hingga Baginda mengetahui dan hafal benar akan kata-kata itu;

Wahyu datang kepadanya seperti gemerincing loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi. Kadang-kadang pada keningnya, terpancar keringat, meskipun turunnya wahyu itu pada musim dingin. Kadang-kadang unta Baginda terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun ketika baginda sedang menunggang unta.

Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit yang bermaksud: “Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang oleh demam yang keras dan keringatnya bercucuran seperti permata.

Kemudian selepas selesai turunnya wahyu, barulah Baginda kembali seperti biasa.”; dan
Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi, tidak berupa seorang lelaki seperti biasa, tetapi benar-benar seperti rupanya yang asli.

Hal ini disebut dalam Al-Quran ayat 13 dan 14, surah An-Najm yang bermaksud: “Sesungguhnya Muhammad melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha.”

Kesahihan kitab suci dipelihara Allah menurunkan Al-Quran kepada manusia sebagai panduan hidup pada akhir zaman hingga ke hari kiamat. Al-Quran diturunkan melalui perantaraan Jibril kepada Rasulullah saw sebagai utusan Allah kepada umat manusia dalam menyampaikan ajaran dan hukum-Nya.

Rasulullah telah menyempurnakan tugasnya sebagai penyampai risalah Allah dengan mengajarkan Al-Quran kepada sahabat dan mewariskan mereka dengan Al-Quran itu dalam dada dan amalan mereka.

Sahabat pula meneruskan tugas ini dengan mengajarkan Al-Quran kepada para tabi`ien selepas mereka. Kemudian mewariskan kepada kita Al-Quran dalam bentuk tulisan untuk menjaganya daripada terus luput daripada dada umat Islam.

Al-Quran walaupun disusun dalam bentuk tulisan oleh Saidina Uthman, beliau tidak mengabaikan sunnah penyampaian Al-Quran itu sendiri yang mestilah diwarisi terus dari mulut ke mulut.

Dalam menjaga kesahihan bacaan Al-Quran ini, Mushaf Al-Quran yang berjumlah enam atau tujuh naskhah pada permulaannya itu, telah dikirimkan bersama guru untuk mengajarkan bacaannya ke negeri umat Islam pada masa itu.

Begitulah berkembangnya penyampaian Al-Quran yang diwarisi dari generasi ke generasi hingga hari ini.

Peristiwa Nuzul Al-Quran asas keimananAllah memuliakan Ramadan melebihi bulan lain, dengan memilih suatu malam yang penuh keberkatan daripada malam Ramadan sebagai masa yang paling sesuai untuk diturunkan kitab suci Al-Quran. Selain Al-Quran, beberapa kitab suci lain diturunkan Allah pada bulan mulia ini seperti suhuf Nabi Ibrahim yang diturunkan pada permulaan Ramadan, Taurat hari keenam dan Injil pada hari ke-13 Ramadan. Berdasarkan peristiwa penurunan kitab suci (al-Samawi) pada Ramadan, jelaslah betapa agung dan mulianya bulan ini. Dimaksudkan dengan penurunan Al-Quran pada Ramadan ialah penurunan dari Lawh al-Mahfuz ke Bayt al-'Izzah di langit dunia secara keseluruhan (jumlatan wahidatan), kemudian baru diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah saw selama 23 tahun. Ini berdasarkan firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam penuh berkat.” – (Surah al-Dukhan ayat 3) Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam kemuliaan.” – (Surah al-Qadr ayat 1) Firman-Nya bermaksud:

“Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan batil).” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Maksud ketiga-tiga ayat di atas jelas menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan pada suatu malam yang penuh keberkatan, iaitu dinamakan dengan Lailatul Qadr, salah satu malam dalam bulan Ramadan. Ayat ini juga menunjukkan cara penurunan Al-Quran pada kali pertama adalah secara keseluruhan. Sekiranya dimaksudkan dengan penurunan dalam ketiga-ketiga ayat di atas adalah penurunan peringkat kedua, iaitu secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW, tentu tidak tepat dikatakan satu malam dan satu bulan iaitu, bulan Ramadan. Ini kerana Al-Quran diturunkan dalam jangka masa yang lama, iaitu selama 23 tahun. Ia bukan saja diturunkan pada Ramadan, malah bulan lain. Maka nyatalah bahawa yang dimaksudkan oleh ayat itu tahap penurunan yang awal.

Peristiwa Nuzul Al-Quran ini seharusnya dihayati oleh umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap Al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Selain itu, ia adalah asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan bahawa Islam itu adalah agama benar, malah satu-satunya agama diredai Allah.Allah berfirman bermaksud:

“Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah (agama) Islam.” – (Surah Ali Imran, ayat 13) Melalui peristiwa besar dan agung ini, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan jelas dengan berpandukan petunjuk dan pedoman yang diwahyukan oleh Allah.

Sungguh banyak keterangan dalam Al-Quran dan hadis Nabi bahawa Al-Quran adalah kitab petunjuk atau pedoman. Lebih-lebih lagi jika kita ingin mencapai darjat muttaqin, iaitu orang bertakwa. Allah berfirman bermaksud:

“Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan sempurnanya) ; ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa.” – (Surah al-Baqarah, ayat 2) Jadi Al-Quran diturunkan oleh Allah ke muka bumi ini bukanlah semata-mata untuk dibaca atau dilagukan saja, tetapi yang lebih utama bagi dijadikan panduan atau pedoman hidup.

Itulah sebab Al-Quran dikatakan sebagai iman bagi umat Islam. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Dijadikan iman untuk diikuti.” Al-Quran memiliki beberapa nama yang menunjukkan peranannya yang sangat istimewa. Di antara namanya ialah al-Nur (cahaya yang menerangi), Al-Furqan (yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil), al-Zikr (yang memberi peringatan) dan Al-Quran (kitab bacaan). Kalau kita gemar membaca Al-Quran, maka kegemaran itu sangat baik dan wajar diteruskan. Ini bersesuaian dengan makna Al-Quran adalah kitab bacaan. Tetapi bagaimana seharusnya sikap kita, agar Al-Quran boleh berperanan sebagai cahaya menerangi hidup dan pembeza di antara hak dan batil serta memberi peringatan?

Bolehkah Al-Quran berperanan sebagai cahaya penerang dan pembimbing hidup jika kita tidak memahami isi kandungannya. Kalau tujuan utama manusia dijadikan oleh Allah untuk memperhambakan diri kepada-Nya iaitu dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya, maka penghambaan kita kepada Allah tidak akan sempurna tanpa memahami kehendak-Nya. Semua kehendak Allah tercatat dalam Al-Quran.

Pelbagai hukum dan undang-undang hidup terkandung dalam Al-Quran. Jika diikuti dengan baik, nescaya umat manusia bukan saja akan mendapat kebahagiaan di dunia, malah akhirat. Oleh itu, adalah wajib ke atas setiap umat Islam memahami isi kandungan Al-Quran. Kaedah Usul Al-Fiqh menyebut sesuatu yang tidak sempurna wajib melainkan dengannya, maka ia juga wajib. Bagi menjelaskan maksud kaedah fiqh di atas, misalnya solat, kewajipannya tidak akan sempurna melainkan dengan berwuduk terlebih dulu. Maka hukum berwuduk ketika itu adalah wajib juga. Demikianlah juga penghambaan kepada Allah tidak akan sempurna melainkan selepas difahami kehendak-Nya. Sedangkan semua kehendak Allah terkandung dalam Al-Quran. Oleh itu berusaha memahami isi kandungan Al-Quran hukumnya adalah wajib.

Jika segala kehendak Allah yang terkandung dalam Al-Quran diikuti dengan baik, nescaya kita akan selamat di dunia dan akhirat. Maka tidak hairanlah syaitan sangat benci kepada orang yang membaca Al-Quran, apa tah lagi jika mereka berusaha pula untuk memahami dan mengamalkannya. Barang kali inilah rahsia mengapa Allah menyuruh kita membaca lafaz Al-Isti'azah (memohon perlindungan Allah dari syaitan) sebelum membaca Al-Quran. Firman Allah bermaksud:

“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam.” (Surah al-Nahl ayat 98). Rasulullah saw pernah ditanya maksud sirat Al-Mustaqim (jalan yang lurus) yang sering dipohon dalam setiap solat. Baginda saw menjawab Al-Quran. Oleh sebab itu, syaitan menginginkan agar kita tidak berada di atas jalan lurus, kerana jalan yang lurus akan membawa ke syurga. Syaitan pula amat menginginkan kita memasuki neraka bersamanya.

Syaitan maknanya jauh dari kebenaran, sedangkan Al-Quran pula bermakna kebenaran. Itulah sebabnya syaitan berusaha keras melalaikan manusia daripada Al-Quran kerana tidak senang melihat anak cucu Adam berada di atas kebenaran. Allah berfirman bermaksud:

“Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad saw), adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang yang ragu-ragu.” – (Surah al-Baqarah ayat 147) Berdasarkan penjelasan dan huraian di atas, penurunan Al-Quran adalah peristiwa agung dan terbesar pada Ramadan. Maka semua umat Islam wajib beriman kepada Al-Quran membacanya, memahami dan mengamalkannya.


UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH.. ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..

0 comments: