Bismillahirahmannirahim..
KEPATAHAN tulang pada kanak-kanak berbeza daripada kepatahan tulang bagi pesakit dewasa. Ia juga memerlukan perhatian yang khusus kerana tulang kanak-kanak sedang membesar dan mempunyai fisiologi dan morfologi yang berbeza berbanding tulang dewasa.
Walaupun secara kasarnya tulang kanak-kanak nampak hampir sama dengan tulang dewasa, tulang kanak-kanak mempunyai kawasan rawan khas pada hujung tulang yang dinamakan fisis (physis). Fisis merupakan kawasan pertumbuhan tulang kanak-kanak yang bertanggungjawab bagi pertumbuhan tulang secara memanjang. Fisis adalah kawasan yang tidak stabil dan tidak mampu menahan banyak tekanan sekiranya terdapat kecederaan pada tulang.
Kecederaan fisis
Oleh kerana kepatahan tulang yang melibatkan fisis penting, suatu klasifikasi khusus digunakan untuk mengenalpasti kepatahan yang melibatkan fisis. Klasifikasi ini dinamakan klasifikasi Salter Harris. Terdapat lima jenis kepatahan yang berlainan dalam klasifikasi ini. Ia bertujuan membantu doktor-doktor membuat analisis dan merancang rawatan sama ada secara konservatif ataupun pembedahan.
Kecederaan pada fisis ini bergantung kepada tahap keterukannya. Selalunya, jika kecederaan yang melibatkan fisis ini tidak teruk, ianya mungkin tidak dapat dilihat pada imbasan sinar-X. Doktor atau pakar ortopedik akan bergantung kepada pemeriksaan klinikal seperti sakit, bengkak atau lebam pada kawasan yang cedera, bagi mengenal pasti kecederaan fisis ini.
Kesan dari kecederaan pada fisis hanya boleh diketahui selepas sembilan bulan atau lebih. Kecederaan jenis ini boleh menyebabkan pertumbuhan tulang terencat dan menjadikannya lebih pendek dari biasa. Jika sebahagian sahaja dari fisis yang cedera, maka tulang akan tumbuh secara membengkok kerana kawasan fisis yang cedera tidak tumbuh manakala kawasan fisis yang normal akan tumbuh seperti biasa.
Sekiranya ini berlaku... , doktor atau pakar ortopedik akan membuat pemantauan dan pemeriksaan susulan secara berperingkat. Jika terdapat kecacatan seperti bengkok atau kependekan yang ketara, pembedahan pembetulan akan disarankan. Selalunya, pembedahan pembetulan hanya akan dilakukan pada peringkat tulang kanak-kanak yang sudah atau hampir mencapai tahap matang.
Nisbah kecederaan fisis lebih banyak berlaku kepada kanak-kanak lelaki jika dibandingkan dengan kanak-kanak perempuan. Ini mungkin kerana masa untuk pertumbuhan tulang kanak-kanak lelaki lebih lama jika dibandingkan dengan kanak-kanak perempuan. Tulang kanak-kanak lelaki hanya berhenti tumbuh selepas 18 tahun manakala kebanyakan kanak-kanak perempuan sudah berhenti membesar pada umur 16 tahun. Aktiviti harian yang lebih lasak bagi kanak-kanak lelaki juga mungkin menyumbangkan kepada kecederaan sebegini.
Tulang kanak-kanak juga diselaputi oleh selaput tulang atau periosteum yang lebih tebal jika dibandingkan dengan tulang dewasa. Lapisan periosteum yang tebal ini menyalurkan banyak darah dan nutrisi kepada tulang kanak-kanak dan membolehkan tulang yang patah cepat sembuh. Periosteum yang tebal ini juga menyebabkan tulang yang patah tidak banyak beralih dan membuatkan proses pembetulan (reduction) dan rawatan lebih senang berbanding tulang dewasa.
Oleh kerana tulang kanak-kanak banyak terdapat kawasan rawan dan fisis, tulang kanak-kanak lebih lembut dan lebih sedia membengkok sebelum ia patah.. Oleh itu jenis-jenis patah pada kanak-kanak berbeza dan ada juga jenis yang tidak terdapat pada pesakit dewasa.
Jenis kepatahan lain
n Kepatahan Toros - antara kepatahan yang sering terjadi pada kanak-kanak. Ia berlaku apabila tulang kanak-kanak mendapat tekanan atau mampatan secara memanjang yang menyebabkan terdapat kesan bengkak pada tulang. Selalunya ia boleh dilihat pada imbasan sinar-X
n Kepatahan Greenstick - kepatahan ini juga lazim berlaku pada kanak-kanak. Ia berlaku apabila tulang kanak-kanak membengkok ke satu arah dan menyebabkan kepatahan pada sebahagian daripada tulang, tetapi tekanan yang dikenakan tidak cukup kuat untuk mematahkan terus tulang itu. Morfologi tulang kanak-kanak yang lembut dan lapisan periosteum yang tebal turut membantu mengelak tulang kanak-kanak patah sepenuhnya.
n Lain-lain kepatahan seperti kepatahan yang melibatkan sendi, kepatahan melibatkan dislokasi (peralihan) sendi atau kepatahan yang teruk sehingga menyebabkan tulang hancur jarang berlaku berbanding kepatahan-kepatahan yang disebutkan di atas.
Diagnosis dan rawatan
Imbasan sinar-X adalah senjata utama untuk membuat diagnosis dan merancang rawatan bagi kepatahan tulang pada kanak-kanak. Jarang sekali imbasan CT atau MRI diperlukan sebagai panduan untuk rawatan, melainkan kepatahan itu adalah kepatahan teruk dan melibatkan sendi atau melibatkan saraf.
Selain daripada penggunaan radiologi untuk diagnosis dan prognosis, pemeriksaan klinikal juga penting untuk mengenal pasti masalah-masalah yang melibatkan vaskular atau saraf. Jika ini berlaku, pembedahan kecemasan terpaksa dibuat untuk memulihkan masalah tekanan pada salur darah atau pada saraf.
Disebabkan oleh faktor pertumbuhan tulang yang pesat, rawatan pembetulan tulang patah bagi kanak-kanak tidak perlu terlalu tepat seperti pesakit dewasa. Tulang kanak-kanak yang sembuh akan meneruskan tumbesarannya dan pada masa yang sama akan membetulkan sendiri masalah bengkok mahupun masalah kependekan yang tidak ketara. Lebih muda kanak-kanak terbabit, lebih banyak masa bagi tulang patah pulih.
Majoriti kepatahan tulang pada kanak-kanak tidak perlu dirawat dengan pembedahan dan hanya perlu dibetulkan kembali kepada kedudukan asal sebelum dibelat dengan bahan belat. Bergantung juga kepada tahap kepatahan tulang, doktor akan membuat pilihan sama ada untuk membelat sepenuhnya atau separa. Simen kapur (plaster of Paris) adalah bahan belat yang biasa terdapat dan digunakan di kebanyakan hospital di Malaysia. Sesetengah hospital di negara ini turut menggunakan bahan sintetik yang lebih ringan sebagai bahan belat.
Sekiranya tulang yang patah itu tidak banyak beralih, ia tidak perlu dibetulkan semula. Tetapi sekiranya ia perlu dibetulkan semula kepada kedudukan anatomi, doktor akan menggunakan ubat bius untuk mengelakkan kanak-kanak terbabit daripada berasa sakit semasa proses pembetulan dan proses membelat. Doktor juga akan membelat dua sendi yang berdekatan dengan tulang yang patah bagi memastikan tulang yang dibetulkan semula itu tidak bergerak dan tidak beralih kedudukannya sebelum pulih sepenuhnya.
Walaupun majoriti kepatahan tulang kanak-kanak boleh dirawat secara konservatif, ada juga kepatahan pada kanak-kanak yang terpaksa dibedah. Antara faktor-faktor yang menyebabkan kepatahan tulang terpaksa dibedah ialah:
"Kepatahan yang melibatkan sendi (intra-articular) dan menyebabkan sendi menjadi tidak sekata.
"Kepatahan yang menyebabkan fisis beralih atau berubah tempat.
"Patah yang berpunca daripada keadaan patologi seperti barah tulang, penyakit genetik dan sebagainya.
"Patah yang tidak stabil, iaitu kepatahan yang masih lagi bergerak walaupun sudah dibelat.
"Patah yang bersambung dengan luka pada kulit (open fracture).
Komplikasi Rawatan
Penggunaan plaster atau simen kapur untuk tujuan membelat tulang patah boleh menimbulkan komplikasi sekiranya tidak dipantau atau dilakukan dengan betul. Selain dari masalah berpeluh, gatal atau berbau, penggunaan belat juga boleh menyebabkan anggota yang dibelat itu bengkak dan kadang-kala boleh menyekat peredaran darah atau menyebabkan tekanan pada saraf.
Keadaan ini dinamakan sindrom kompartmen (compartment syndrome) yang sekiranya tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan jari-jari tangan atau kaki menjadi biru atau kebas. Pesakit juga mungkin berasa sakit luar biasa yang tidak berkurangan walaupun selepas memakan ubat penahan sakit.
Sakit ini berdenyut dan akan menjadi lebih sakit lagi sekiranya jari-jari digerakkan. Sekiranya keadaan ini tidak ditangani dengan segera, tisu-tisu tangan atau kaki tadi mungkin tidak mendapat bekalan oksigen dan darah yang cukup, menyebabkan kerosakan tisu dan saraf yang kekal.. Jari-jari dan sendi boleh menjadi keras dan kaku akibat kerosakan tisu dan otot yang kekal.
Ibu bapa hendaklah segera membawa anak ke hospital atau klinik yang berdekatan sekiranya mendapati tanda-tanda seperti yang dinyatakan di atas. Sekiranya rumah anda terletak jauh dari hospital atau klinik yang berhampiran, anda bolehlah merendam simen kapur tadi di dalam sebesen air sehingga ia larut dan menjadi lembik. Selepas simen kapur tadi larut, anda hanya cuma perlu guntingkan kain kasa yang membaluti anggota patah tadi. Setelah itu, anda masih perlu membawa anak anda ke hospital atau klinik untuk pemeriksaan lanjut. Bagi kepatahan yang perlu dibedah pula, jangkitan kuman adalah komplikasi utama tetapi ia jarang berlaku.
Komplikasi Kepatahan
Selain daripada masalah tulang bengkok atau tulang pendek yang berpunca daripada kecederaan fisis, Osteo-chondritis dessicans merupakan komplikasi yang mungkin terjadi akibat daripada kepatahan tulang. Ia terjadi apabila tulang rawan yang berada di dalam sendi tercedera dan kemudiannya mengeras menjadi tulang (ossification).
Sekiranya ia tidak dirawat, rawan yang mengeras ini boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan pada sendi akibat geseran. Kadangkala ia juga boleh menyebabkan sendi menjadi keras dan kaku kerana keadaan ini boleh menyebabkan tulang-tulang yang membentuk sendi itu bersambung di antara satu sama lain.
Amat jarang sekali terdapat komplikasi yang melibatkan masalah vaskular atau saraf yang berpunca dari kepatahan tulang kanak-kanak. Namun begitu, setiap kepatahan tulang haruslah diperiksa dengan teliti bagi mengelakkan komplikasi ini gagal disedari dan pesakit tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Ini kerana komplikasi yang melibatkan saraf atau vaskular memerlukan rawatan kecemasan dan intensif.
Kepatahan tulang yang melibatkan sendi biasanya memerlukan pembedahan bagi membetulkan semula kedudukan permukaan sendi tadi. Permukaan sendi yang tidak sekata boleh menyebabkan seseorang itu mendapat osteoartritis sekunder pada masa hadapan.
Jika anda mengesyaki yang anak anda mungkin mendapat kepatahan akibat kecederaan, pastikan anda mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Sekiranya rumah anda jauh dari hospital atau klinik yang berdekatan, belatkan dahulu anggota yang cedera dengan menggunakan bahan seperti pembaris atau kertas surat khabar yang digulung. Jangan ikat terlalu ketat! Kemudian pasangkan anduh untuk memberikan sokongan tambahan pada bahagian patah yang telah dibelat tadi.
Setiap kecederaan kanak-kanak yang mungkin melibatkan tulang, walau nampak ringan sekalipun, haruslah segera mendapatkan pemeriksaan doktor atau pakar yang terlatih. Sekiranya ada kecederaan yang melibatkan sendi mahupun fisis, doktor akan memberi rawatan sewajarnya untuk mengelakkan dari sebarang komplikasi pada masa hadapan.
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK SUPAYA SENANG AKU NAK MELAWAT DAN FOLLOW KORANG BALIK.. INSYA ALLAH.
Thursday, September 24, 2009
KEPATAHAN TULANG PADA KANAK-KANAK
HIDUP SIHAT TANPA UBAT
Bismillahirahmannirahim..
Hidup tanpa ubat
Adakah anda antara yang cepat letih dan mengantuk walaupun anda sudah tidur lapan jam? Mengapa ini berlaku? Hal ini mungkin disebabkan badan anda dipenuhi toksin. Ramai yang tidak dapat mengenal pasti kenapa badan seseorang itu terlalu letih atau penat.
Ia menyebabkan fizikal dan mental lemah untuk melakukan aktiviti harian. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat, itulah ungkapan yang sering kita dengar. Mungkin ada kebenarannya. Sebagai individu, kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat untuk menjamin kesejahteraan hidup.
Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Kesihatan, Datuk Dr. Sidiq Mohamed, mencegah lebih daripada merawat sesuatu penyakit. Aspek menjaga pemakanan amat penting kerana ia merupakan punca kandungan angin dan toksin dalam badan.
Hakikatnya, kita memang terdedah kepada toksin tanpa disedari melalui kehadiran bahan kimia dalam makanan dan minuman serta bahan pencemar dalam udara. Di samping itu, tekanan kerja juga boleh menambahkan pengumpulan toksin di dalam badan kita.
Pengumpulan toksin yang berlebihan memberikan tekanan kepada organ kita dan memaksanya bekerja lebih keras. Kejadian ini bukan saja akan melupuskannya nutrien penting, malahan ia akan menghakis tenaga, lalu melemahkan sistem imun kita terhadap jangkitan penyakit. Berikutan itu, seseorang akan sentiasa menghadapi masalah hidung berair, demam, peluh berbau, sukar membuang air kecil, mengantuk, sakit badan dan sukar bernafas. Wanita pula lazimnya mengalami kitaran haid tidak tetap atau kesakitan ketika datang haid. Semua ini disebabkan toksin dalam badan yang tidak dapat disingkirkan.
Beliau memberitahu, keadaan ini berpunca daripada... kawalan pemakanan yang tidak tepat. Jika seseorang mengubah tabiat pemakanan sebaik menyedari tanda-tanda jangkitan penyakit pada peringkat pertama lagi, mereka sebenarnya boleh mengelak daripada dijangkiti penyakit terbabit. Datuk Dr. Sidiq mencadangkan agar setiap individu memperbanyakkan makanan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Selain memberi tenaga, makanan tersebut menggalakkan sistem perkumuhan di dalam badan berjalan lancar.
Mungkin ini berbeza dengan cara hidup mereka yang bergantung kepada ubat-ubatan. Cara semula jadi menjaga kesihatan melalui amalan pemakanan yang sihat. Proses nyahtoksin secara semula jadi ini amat penting untuk memastikan badan, terutama sistem perkumuhan dapat berfungsi dengan optimum. Bukan saja penyerapan nutrien akan menjadi lebih efektif dan proses pencernaan menjadi lebih baik, malahan kita akan mendapati bahawa badan kita akan berasa lebih cergas dan bertenaga.
Selain itu, ramai yang tidak menyedari kebaikan makanan semula jadi seperti kelapa dara atau muda.
Tidak seperti lain-lain minyak sayur yang akan menjadi toksik dengan cepat apabila dipanaskan (terutama jika digunakan berkali-kali) , minyak kelapa dara berbeza kerana sifatnya tidak berubah walaupun dikenakan suhu tinggi. Justeru, ia minyak paling selamat digunakan untuk menggoreng. Ini kerana walaupun dipanaskan, minyak kelapa dara masih mempunyai sifat antioksidan.
"Ia harus digunakan seperti minyak lain, sama ada dalam masakan atau tujuan kecantikan, bukan dimakan begitu saja.
"Di dalam badan, minyak kelapa dara tidak ditukarkan kepada lemak (seperti semua minyak sayur lain), sebaliknya terus sampai ke hati untuk diguna sebagai tenaga. Penggunaan minyak kelapa dara boleh mengurangkan kesan tindakan radikal bebas ini kerana ia mengandungi antioksidan, " katanya.
Bagaimana kita tahu kandungan toksin di dalam darah? Menurut Datuk Dr. Sidiq pemeriksaan darah untuk memastikan apa yang terkandung di dalam darah perlu dilakukan. Menerusi pemeriksaan darah Live Blood Cell Analysis dan Dried Blood Oxidation Test, seseorang boleh mengenal pasti tahap kesihatan mereka secara terperinci.
"Selalunya seseorang pesakit berjumpa doktor hanya apabila sakit untuk mendapatkan ubat. Ia tidak salah tetapi pesakit perlu diberi saranan tentang langkah pemakanan atau gaya hidup agar ia selalu sihat dan untuk mengelakkan daripada penyakit kronik yang merbahaya seperti kanser," jelasnya.
Misalnya, untuk mereka yang mengalami sakit darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan serangan jantung, magnesium adalah bahan galian amat diperlukan untuk memulihkannya. Ini ialah kerana kekurangan magnesium dalam badan adalah satu satu faktor penyebab timbulnya penyakit tersebut. Banyak kajian telah menunjukkan yang lebih 80 peratus manusia kekurangan magnesium terutama dalam sel-sel organ mereka. Mereka yang mengalami penyakit- penyakit itu juga disaran untuk melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ia mengandungi banyak garam galian seperti magnesium, mangan dan zink yang sangat penting . Ini juga mustahak untuk seseorang mengelak daripada menghidapi penyakit tersebut.
"Magnesium daripada buah-buahan dan sayuran mempunyai penyerapan yang lebih baik daripada pil," jelasnya.
Magnesium ini pernah disebut sebagai The Missing Link in Health. Sebagai vitamin tambahan magnesium boleh diambil dalam bentuk magnesium klorida atau dipanggil magnesium oil. Inilah yang paling disyorkan kerana ia juga akan menguatkan sistem imun atau daya tahanan badan. Kalau ditambah dengan vitamin C dan zink, mingkin boleh mengelak kita daripada serangan wabak selsema H1N1 yang merebak sekarang.
Selain itu, di kedai farmasi banyak terdapat pil magnesium oksida.
"Ia boleh diambil 800 miligram sehari tetapi 10 peratus sahaja magnesium jenis ini akan meresap masuk ke dalam badan kita dan 90 peratus keluar ikut najis. Untuk pengetahuan, memakan magnesium secara berlebihan tidak membahayakan kerana yang lebih itu akan keluar mengikut najis," katanya.
Ungkapan 'anda adalah apa yang dimakan'' jelas menggambarkan kepentingan makanan dalam hidup manusia. Nikmat menjamah makanan bukan sekadar memenuhi keperluan mengisi perut kosong, sebaliknya bahan yang dicerna menjadi penentu tahap kesihatan individu. Berikanlah peluang untuk tubuh kita menerima makanan sepatutnya. Anda akan dapat merasai kesannya pada waktu singkat. Memang, perubahan ini bukanlah sesuatu yang mudah, tapi cubalah berubah peringkat demi peringkat demi kesihatan yang baik dan hidup berkualiti.
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
INTIPATI RAMADHAN
Bismillahirahmannirahim..
Alhamdulillah kita dah selamat menjalani ibadah puasa di sepanjang Ramadhan yang baru berlalu. Sama-samalah kita mengharapkan mudah-mudahan Allah menerima amalan puasa kita. Di samping itu juga diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan Quran dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadhan akan datang.
Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja.
Sungguhpun begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Nabi Muhammad saw. bersabda "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk... berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadhan.
Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa Sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha' di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat. Kebiasaan mentaakhirkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah. Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha' puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat di hati kita?
Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepadaNya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun sebaik mana pun ianya tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.
Di antara tanda kita mengasihi akan Allah ialah mulut sentiasa berzikir (mengingati / menyebut) Allah, hati tidak lalai mengingati sesuatu selain Allah. Setiap amalan yang dilakukan diperiksa terlebih dulu adakah untuk nafsu atau Allah. Mana yang dirasakan untuk Allah diteruskan. Apabila melihat sesuatu hati terus teringat kepada Allah yang menjadikannya. Selain itu, sentiasa mendampingi orang alim (ulama) kerana mereka ialah pewaris nabi. Kita sedar kita adalah bersama orang yang kita cintai di akhirat nanti. Jika hati menyintai nabi dan para ulama, insyallah kita bersama mereka di akhirat . Bagaimana pula agaknya kalau kecintaan beralih kepada para artis dan penyanyi? Nauzubillah. ..
Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadhan tahun depan dan seterusnya.
"Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa saja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya. ." Ameen
~ akhie ~
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
BELAJAR FARAID
Bismillahirahmannirahim..
Oleh: Ustaz Mat Esa Bin Deraman
Bismillah..Ilmu yang pertama Allah Taala angkat dari dada manusia ialah ilmu harta pusaka yang dikenali sebagai Faraid. Ada orang kata susah nak faham ilmu ini. Bagi saya, tidaklah susah kalau kita faham kaedahnya dan hanya aplikasikannya kepada keluarga kita. Maksud saya ialah hanya melihatnya dengan ruang yang khusus untuk kita sahaja. Katakan kita mempunyai seorang ibu dan 3 adik beradik. Selesaikannya dengan mengandaikan salah seorang daripada keluarga kita meninggal. Contoh kalau ibu meninggal, maka yang akan mewaisi 3 beradik tadi. Kalau semua lelaki dibahagikan dengan sama rata. kalau 2 lelaki dan seorang perempuan maka nisbahnya adalah 2:2:1
saya ingin berkongsi ilmu ini kepada sesiapa yang berminat. Di sini saya lampirkan muqadimah ilmu faraid yang saya catatkan ketika berada di Mesir, Alhamdulillah.
Ilmu pusaka ialah satu ilmu yang membicarakankan bagaimana harta orang yang meninggal dunia dibahagikan kepada waris-waris yang berhak mengikut ilmu syarak.
Apabila seseorang itu meninggal dunia maka menjadi kewajiban bagi mereka yang hidup untuk membahagikan harta simati mengikut hukum Faraid yang terkandung dalam Al-Quran,Hadist dan juga Ijma’ Ulama’(persepakatan mereka dalam satu-satu hukum syarak)
Hak-hak yang berkait dengan harta simati
Tiap-tiap harta yang ditinggalkan oleh simati samada berbentuk wang ringgit,saham, imbuhan,insuran, rumah,tanah dan sebagainya sebelum dibahagikan hendaklah dilaksanakan perkara-perkara yang berikut:
1-Pengurusan jenazah.
Segala perbelanjaan pengurusan jenazah sepeti upah mandi,kafan dan pengkebumian hendak diambil daripada harta simati melainkan kalau ada waris yang ingin mengeluarkan perbelanjaan sendiri.Perlu diingat bahawa pemberian saguhati kepada orang yang melakukan solat jenazah ataupun belanja untuk mengadakan tahlil arwah tidak boleh diambil daripada harta pusaka.
2-Menunaikan wasiat yang berupa pemberian atau agihan harta.
Sebelum dibahagikan harta pusak waris hendaklah memastikan bahawa simati tidak meninggalkan wasiat yang berbentuk pemberian atau agihan harta.sekiranya simati sebelum meninggal dunia ada meninggalkan apa-apa wasiat maka wajib ditunaikan wasiat ini sebelum dibahagikan harta pusaka dengan syarat tidak melebihi 1/3 dan bukannya wasiat ini ditujukan kepada waris yang sudah berhak mendapat harta pusaka.Contohnya,... kalau sianak sudahpun berhak menerima pusaka daripada ayahnya maka dia tidak layak menerima harta wasiat lagi.Dalam satu hadist Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud “Tidak boleh wasiat kepada waris”
3-Membayar Hutang
Harta-harta yang ditinggalkan oleh simati diboleh diambil oleh mana-mana waris melainkan sesudah dijelaskan hutang simati.Sabda Rasululah s.a.w yang bermaksud.”Jiwa orang beriman tergantung disebabkan hutangnya sehinggalah dia menjelaskannya” .
4-Membahagikan harta pusaka kepada mereka yang berhak.
Sesudah dilaksanakan tiga perkara tersebut barulah waris-waris yang berhak boleh mengambil harta ini mengikut bahagian-bahagian yang ditentukan oleh Allah.
Peringatan.
Antara hutang dengan wasiat maka perlu didahulukan hutang.sekiranya harta yang ditinggalkan hanya cukup untuk penyenggaraan jenazah maka waris akan menanggung hutang tersebut.Kalau sekiranya waris tidak mampu maka menjadi tanggungjawab Kerajaan Islam bagi membayarnya samada menggunakan wang zakat atau seumpamanya.
Bahagian-bahagian pusaka dalam Al-Quran
Allah s.w.t menyebut tentang kefarduan umat Islam dalam pembahagian harta yang adil mengikut hukum syarak.Didalam surah An-Nisa’ dinyatakan secara terperinci bahagian-bahagian yang menjadi hak waris-waris tertentu. Antara pecahan-pecahan yang disebut oleh Allah ialah 1/3, 1/6, 2/3, 1/2, 1/4, 1/8 dan gandaan serta baki selepas penerimaan pecahan.
Golongan-golongan yang berhak
Apabila seseorang itu meninggal dunia ada 3 golongan yang berhak mendapat harta pusaka samada banyak ataupun sedikit.
1-Suami atau isteri
2-Ibubapa simati
3-Anak lelaki atau perempuan
Golongan ini dinamakan sebagai golongan yang wajib menerima harta pusaka dan tidak ada yang dapat menghalang mereka sama sekali. Secara umumnya kita boleh menyenaraikan kesemua mereka yang berhak mendapat harta. Namun dikalangan mereka ini kadang-kadang tidak berhak disebabkan adanya waris yang lebih dekat dengan simati.
Ada 15 golongan waris yang lelaki yang berhak mewarisi
1-Ayah
2-Datuk
3-Anak Lelaki
4-Cucu lelaki daripada anak lelaki hingga kebawah seperti cicit dll.
5-Adik-beradik lelaki seibu sebapa
6-Adik-beradik lelaki sebapa sahaja
7-Adik-beradik lelaki seibu sahaja
8-Anak saudara lelaki seibu sebapa
9-Anak saudara lelaki sebapa
10-Bapa saudara seibu sebapa
11-Bapa saudara sebapa sahaja
12-Anak bapa saudara seibu sebapa (sepupu)
13-Anak bapa saudara sebapa (sepupu)
14-Suami
15-Bekas tuan yang membebaskan hambanya
Ada 10 golongan perempuan yang dianggap menjadi waris bagi simati
1-Ibu
2-Isteri
3-Anak perempuan
4-Cucu perempuan daripada anak lelaki hingga kebawah seperti cicit
dll.
5-Adik-beradik perempuan seibu sebapa
6-Adik-beradik perempuan sebapa sahaja
7-Adik-beradik perempuan seibu sahaja
8-Nenek sebelah ibu
9-Nenek sebelah bapa
10-Bekas tuan yang membebaskan hambanya
Wallahualam.
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
KEPERCAYAAN KEPADA PAWANG DAN BOMOH MERUNTUHKAN AKIDAH
Bismillahirahmannirahim..
Hasil dari kepercayaan ghaib yang tidak ada asas dalam Islam, maka ramailah di kalangan umat Islam yang dihinggapi virus kerosakan aqidah. Secara mudahnya virus ini terbentuk dari amalan dan kepercayaan terhadapnya.
Nabi Muhammad s.a.w. datang dan dijumpainya di tengah-tengah masyarakat ada sekelompok manusia tukang dusta yang disebut kuhhan (dukun) dan arraf (tukang ramal). Mereka mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu mahupun yang akan datang, dengan jalan mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya.
Justeru itu Rasulullah s.a.w. kemudian mengishtiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syara'.
Rasulullah membacakan kepada mereka wahyu Allah yang berbunyi:
"Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta." (an-Naml: 65)
Bukan Malaikat, bukan jin dan bukan manusia yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Rasulullah juga menegaskan tentang dirinya dengan perintah Allah s.w.t. sebagai berikut:
"Kalau saya dapat mengetahui perkara ghaib, niscaya saya dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan saya tidak akan ditimpa suatu musibah; tidak lain saya hanyalah seorang (Nabi) yang membawa khabar duka dan membawa khabar gembira untuk kaum yang mau beriman." (al-A'raf: 188)
Oleh karena itu.., barangsiapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib yang sebenarnya, bererti dia mendustakan Allah, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia banyak.
Sebahagian utusan pernah datang ke tempat Nabi, mereka menganggap bahwa Nabi adalah salah seorang yang mengaku dapat mengetahui perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangannya dan berkata kepada Nabi: Tahukah tuan apakah ini? Maka Nabi menjawab dengan tegas:
"Aku bukan seorang tukang tenung, sebab sesungguhnya tukang tenung dan pekerjaan tenung serta seluruh tukang tenung di neraka."
Inilah yang dilakukan oleh bomoh-bomoh rasmi dan tidak rasmi hari ini, meramalkan perkara ghaib seperti dimana boleh dijumpakan orang hilang, siapa yang melakukan kejahatan kepada individu tertentu dan pelbagai lagi.
Bomoh atau dukun biasanya akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.
Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا
Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membinarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. ( Riwayat Muslim )
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi :
مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )
Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali 'Uqbah bin Sinan 5/117 ; Sohih menurut Albani ; Muntaqa , 2/791 )
Amri el Wahab
http://hembusan- amal.blogspot. com
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
Wednesday, September 23, 2009
COME TO WORK HAPPY
Bismillahirahmannirahim..
Untuk para sahabat... setelah lama bercuti mulakan berkerja dgn senyuman... hehee
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
Tuesday, September 22, 2009
APA ITU TASAUWUF ?
Bismillahirahmannirahim..
Oleh: Ustaz Mat Esa Bin Deraman
Ramai yang mungkin bertanya-tanya apa itu tasauwuf. Adakah ianya satu ilmu baru dan bersifat bid'ah? Apakah sumber sebenar ilmu ini? Dalam perbicarakan topik ini, sebenarnya ada pro dan contranya. Namun bagi penulis semua ilmu yang mendatangkan kebaikan tidak wajar ditinggalkan. Apatah lagi setiap kali perkara yang kita anggap baru kita menolakkan dengan bahasa agama, iaitu bid'ah! Tanpa melihat kandungannya dan kesannya kepada kehidupan sejagat.
Sebenarnya, ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah serta mendisiplin peribadi mukmin dan membaikinya satu perkara yang perlu dipandang positif. Kedudukannya sama sepeti ilmu feqah, usul feqah, ulum tafsir, ilmu hadis (mustolah hadis), dan lain-lain lagi.
Berikut saya kemukakan definisi tasauwuf daripada pakar-pakarnya.
Ma'ruf Al-Karkhi mengatakan bahawa tasauwuf ialah pergantungan harap kepada Allah SWT dan tidak kepada makhluk.
Abu Turab Al-Nakhsyabi, sufi itu ialah seseorang yang tidak dikotori oleh sesuatupun, malah bersih daripada semua perkara.
Sahl bin Abdullah Al-Tustari berkata: "Sufi itu ialah seseorang yang bersih daripada maksiat, sentiasa berfikir dan berpegang teguh dengan Allah SWT dan tidak dengan manusia. Oleh yang demikian, di sisinya tidak ada apa-apa perbezaan antara emas dan lumpur".
Al-Jurairi menyatakan bahawa tasauwuf itu ialah perlakuan akhlak yang tinggi dan meninggalkan perlakuan yang keji.
Al-Kattani menegaskan bahawa: "Sesiapa yang membekalkan kamu akhlaknya yang terpuji maka dia telah menambahkan kebersihan jiwamu".
An-Nuri berkata: "Tasauwuf itu bukan...
tulisan atau ilmu tetapi ianya adalah akhlak. Jika tasauwuf itu tulisan, ia boleh diperolehi dengan latihan. Dan jika ilmu, ia boleh diperolehi dengan belajar. Tetapi sebenarnya maksud tasauwuf itu berakhlak dengan Allah SWT. Seseorang itu sama sekali tidak dapat berakhlak dengan akhlak ilahi hanya melalui ilmu dan tulisan".
Begitulah serba sedikit perkongsian ilmu pada detik ini. Moga jelas apa yang kabur dan terang apa yang gelap. Insya Allah saya akan bawa pandangan seorang ulama' yang agong tentang ilmu tasauwuf ini.
Hukum belajar Tasauwuf
Imam Ghazali berkata: "Hukumnya fardhu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau sakit kecuali para nabi-nabi.
Syeikh Al-Syazili berkata: "Siapa yang tidak menceburi ilmu kita ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya".
Syeikh Dahlan Al-Kadiri: "Mempelajarinya fardhu ain pada setiap mukallaf".
Imam Malik berkata: "Siapa yang bertasauwuf tanpa feqah, sesungguhnya dia kafir zindik. Siapa yang mempelajari feqah tanpa bertasauwuf sesungguhnya dia fasik. Dan siapa yang menghimpunkan kedua-duanya nescaya dia akan selamat".
Imam As-Syafie berkata: "Jangan kamu hanya menjadi salah seorang daripada ahli feqah atau tasauwuf. Kerana orang yang hanya faqih tidak bertasauwuf keras hatinya. Manakala yang bertasauwuf tanpa feqah akan jahil dirinya, mana mungkin dia dapat membaiki dirinya"?
Demikian pandangan sebahagian ulama' tentang kepentingan dan kedudukan mulia ilmu ini. Namun demikian jangan tersilap langkah mempelajari tasauwuf bukan daripada ahlinya. Imam Junaid Al-Baghdadi berkata: "Ilmu kami ini terikat dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Sesiapa yang tidak menghafaz Al-Quran dan tidak menulis hadis maka tiada diikuti perjalannya".
Sekadar berkongsi maklumat dan kebaikan.
P/s Kuliah Tasauwuf saya diadakan di Surau Al-Kauthar Taman Rinting, Masai, Johor. Orang Johor sila hadir.
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
Monday, September 21, 2009
SIS AGEN MUSUH ISLAM - KETUA DEWAN ULAMA PAS
Bismillahirahmannirahim..
HULU TERENGGANU, 21 Sept:" 'Sisters In Islam' (SIS) ni menjadi agen, agen musuh Islam di peringkat antarabangsa. Kan musuh Islam itu bergerak di peringkat antarabangsa. Tiap-tiap negara ada agen dia (musuh Islam). Apa saja Islam, bunyi Islam dia tentang.
"Cuba tanya 'Sisters In Islam' kenapa dia tidak menentang lain-lain undang-undang, lain-lain hukuman?
"Kenapa dia (SIS), kalau orang yang minum arak kalau didenda RM2000.00, dia tak tentang (menentang)? Kenapa kalau orang mencuri kalau kena dua tahun penjara dia tak tentang? Tapi bila dikenakan hukuman itu Islam dia tentang, maknanya dia tentang Islam !,"kata Ketua Dewan Ulama PAS, Dato' Ustaz Harun Taib yang dipetik oleh Buletin Online ketika ditemui selepas Solat Sunat Eidul Fitri, di Markas Tabiyah PAS Kubang Lembek, Manir, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu hukuman rotan yang dikenakan keatas bekas jururawat yang menjadi model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno.
Di bawah dipaparkan kenyataan penuh Dato' Ustaz Harun Taib:
___________________________________________________________
Dalam dunia ini tidak ada benda yang dikatakan tidak salah semuanya dan benar semuanya, maknanya ada kewajipan dan ada hak, oleh sebab itu dalam sesebuah negara itu, dia (negara itu) ada undang-undangnya, kalau disebut dari sudut sesebuah negara.
Kalau kita pergi ke England atau United Kingdom pun dia ada undang-undangnya, sesiapa yang duduk dalam negera itu maka dia kena ikut undang-undang, di Anerika Syarikat pun begitu di Australia pun begitu, orang mari Malaysia pun mesti ada undang-undang. Semua orang yang bersedia untuk duduk (dan tinggal) dalam negara itu, atau ziarah ke negara itu dia bersedia tunduk dan patuh kepada negra itu.
Jadi undang-undang yang dikenakan kepada...
Kartika itu adalah satu undang-undang yang sudah diketahui umum, maknanya dalam masyarakat Islam macam Malaysia, maknanya tidak payah mengaji (belajar) orang tahu arak tak boleh. Arak tak boleh, zina tak boleh, mencuri tak boleh, merompak tak boleh, itu orang panggil maklum minaddin bi darurat - semua orang Islam tahu.
Cuma setiap kesalahan itu ada hukumannya (dan) hukuman itu sudah dimaklumkan. Dalam tiap-tiap negri di malaysia ini, enakmen itu dan kesalahan arak ini ada, jadi kepada perempuan itu (Kartika), dia tidak kritik undang-undang ini, dia tahu dia buat salah, sebagaimana kalau dia buat salah yang lain pun dia kena hukum juga. Kalau orang buah salah (kesalahan) jalan raya dia kena denda juga, tak bolehlah kalau kesalahan jalanraya dia kena denda, dia kata eh....zalim, tapi tak ada orang kata zalim.
Ini undang-undang tentang arak, dia tahu dia tak boleh minum arak, salah disudut undang-undang tapi dia minum, dia tahu, dia sedar, ini kena hukum dan dia rela kena hukum, dimana zalimnya? Kalau dia tak rela, dia tak setuju, dia bantah, mungkin boleh di panggil zalim, tapi tidak ada kesalahan atas dunia ini yang tidak ada hukuman!
Jadi kita nak katakan tindakan 'Sisters In Islam' itu apa dia?
Dia (SIS) ni menjadi agen, agen musuh Islam di peringkat antarabangsa. Kan musuh Islam itu bergerak di peringkat antarabangsa. Tiap-tiap negara ada agen dia (musuh Islam). Apa saja Islam, bunyi Islam dia tentang. Cuba tanya Sisters In Islam kenapa dia tidak menentang lain-lain undang-undang, lain-lain hukuman?
Kenapa dia (SIS), kalau orang yang minum arak kalau didenda RM2000.00, dia tak tentang (menentang)? Kenapa kalau orang mencuri kalau kena dua tahun penjara dia tak tentang? Tapi bila dikenakan hukuman iku Islam dia tentang, maknaya dia tentang Islam ! _ Harakahdaily -
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
MANA GENG KEPALA LEMBU MANA YANG MEMPERJUANGKAN ISLAM SANGAT ?
Bismillahirahmannirahim..
PAS bantah lagi, gesa konsert Beyonce dibatalkan.
Pemuda PAS, yang
pernah membantah konsert penyanyi Beyonce Knowles dua tahun lalu sehingga ia terpaksa dibatalkan, meneruskan pendiriannya dengan menggesa kerajaan membatalkan persembahan artis itu di ibu negara bulan depan. Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, pihaknya mahu kerajaan menarik balik permit membolehkan konsert itu - Beyonce I Am... World Tour Live in Malaysia 2009 diadakan 25 Oktober ini.
"Dewan Pemuda meminta kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab agar menarik balik kebenaran (yang telah diberikan)... apa tujuan membenarkan konsert ini diadakan?
"Kita tidak mahu kebenaran kepada konsert yang menyuntik kerosakan moral dan akhlak muda-mudi," kata Nasrudin ketika dihubungi.
Selain membantah konsert itu buat kali kedua berturut-turut, Dewan Pemuda pernah menyatakan pendiriannya menentang persembahan Rihanna Live in Kuala Lumpur pada Februari lalu dan kumpulan Michael Lears To Rock awal bulan ini. Turut dibantah ialah konsert Mariah Carey.
Bagaimanapun Nasrudin berkata, pihaknya kemungkinan tidak sempat menghantar memorandum kepada kementerian terbabit kerana akan sibuk dengan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan awal bulan depan. Penyanyi itu sepatutnya mengadakan konsertnya di Malaysia pada 2007 tetapi dibatalkan ekoran bantahan Dewan Pemuda PAS. Seterusnya artis itu mengalihkan lokasi konsertnya ke Jakarta. Ketika itu Nasrudin merupakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS. Knowles yang terkenal dengan gerak tari bootylicious dijadual mengadakan persembahan julung kali di Stadium Nasional, Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur ialah salah satu.. destinasinya dalam siri konsert dunia yang meliputi Amerika Utara, Eropah dan Asia. Penganjur konsert itu ialah Marctensia dan UCSI Communications. Siri konsert dunia itu diadakan sempena pelancaran album ketiganya, I Am… Sasha Fierce yang merangkumi lagu-lagu hit seperti If I Were a Boy, Single Ladies (Put a Ring on It), Halo, Sweet Dreams dan Broken-Hearted Girl. Nasrudin menambah, pihaknya tidak bercadang untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah konsert itu daripada diadakan.
"Sebaliknya kami akan mengedarkan risalah bagi mendidik peminat-peminatnya daripada menghadiri konsert tersebut," kata beliau sambil menambah, risalah akan diedarkan di pintu masuk konsert itu diadakan kelak.
"Kita bukan antihiburan, bukan menentang semua bentuk hiburan tetapi membantah hiburan-hiburan yang mendorong kepada keruntuhan moral dan persembahan artis yang tidak bersesuaian," katanya. mStar
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
TINDAKAN HANYA UNTUK YANG TAK SEHALUAN
Bismillahirahmannirahim..
PKFZ: Tukang Siar Kena Tindakan, Pembocor Rahsia Bagaimana ?
PM, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah segera minta siasatan terhadap laman web yang siarkan dokumen membabitkan PKFZ. Memandangkan ia merupakan dokumen rahsia kerajaan, maka amat wajar tindakan perundangan dikenakan terhadap mereka terbabit.
Reaksi PM bagaimanapun dilihat bagai "cakap tak habis" kerana beliau tidak pun sebut soal orang yang bocorkan rahsia tersebut. Ia tak kurang sama dengan apa yang kita lihat bagaimana pihak penguatkuasa menangkap penjual VCD di pasar malam, sedangkan tokey cetak rompak masih gagal dibanteras secara total. Hal ini, sama juga apabila kastam nak tangkap mereka yang bakar mercun, sedangkan masalah pokoknya ialah kenapa begitu lambak mercun dapat diseludup masuk?
Kalau yang tukang siar rahsia rasmi kerajaan akan dikenakan tindakan, sudah semestinya si tukang bocor rahsia patut dikena tindakan lebih tegas. Kerajaan jangan lepas tangan hanya tangkap tukang siar, sedangkan si pembocor rahsia masih ada kesempatan menghilangkan diri, atau setidaknya mencari helah menafikan perbuatannya.Kenyataan PM sepatutnya bertegas terhadap pembocor rahsia kerajaan dan diikuti tukang siar, ini sudah terbalik, seolah kerajaan hanya memandang berat tukang siar kerana ia menjadi punca orang ramai tahu rahsia kerajaan.
Nampak sangat dendam kerajaan terhadap.. pengamal web dan blog, sedangkan pembocor rahsia kerajaan adalah jauh lebih bahaya kerana ia merupakan musuh dalam selimut, boleh jual rahsia kerajaan dan tidak mustahil boleh jual kerajaan sekali....PM sila buat kenyataan semula yang meyakinkan rakyat bahawa pembocor rahsia kerajaan adalah pengkhianat ibarat gunting dalam lipatan.
Petikan laporan akhbar:
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, polis akan menyiasat sebuah laman web yang menyiarkan dokumen didakwa Kertas Kabinet mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).Perdana Menteri menegaskan, jika benar dokumen yang disiarkan itu Kertas Kabinet, mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"Polis akan siasat dan tengok hasilnya nanti. Apa-apa tindakan ke atas pesalah boleh diambil di bawah OSA," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program Permata Negara di sini, hari ini.Semalam, sebuah laman web menyiarkan dokumen 18 muka yang didakwa sebagai memorandum daripada Menteri Kewangan bertarikh 22 Jun 2007 berhubung PKFZ.
-bypass308.blogspot.com-
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..