بسم الله الرحمن الرحيم
"Sayang Abah Sangat-sangat"
PADA zaman kecilnya, pipi gebu Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, sering menerima ciuman daripada ayahnya, Mat Haizan Mat Yasin, 32. Malah, kanak-kanak comel itu ditatang bagai minyak yang penuh oleh Mat Haizan. Benar, Mat Haizan seorang lelaki yang penyayang dan penuh kasih sayang.
Lelaki itu juga sanggup berjaga malam ketika Nurul Dahyatul Fazlinda jatuh sakit, selain sanggup bangun pada waktu dinihari untuk membancuh susu anaknya itu.
Namun, pada 15 Ogos lalu, keindahan dunia kanak-kanak yang dilalui oleh kanak-kanak itu berubah wajah. Pada hari kejadian, Nurul Dahyatul Fazlinda atau lebih mesra dengan panggilan Lin telah disimbah asid oleh bapanya.
Namun, curahan kasih sayang diterima oleh kanak-kanak itu sepanjang lapan tahun menyebabkan dia sedikit pun tidak menyimpan dendam kepada bapanya. Apatah lagi mahu membenci Mat Haizan.
“Lin tak marah, sebab Lin sayang abah. Sayang abah sangat-sangat.”
Itulah ayat keramat yang terpacul dari mulut kanak-kanak itu terhadap bapanya meskipun kesan simbahan asid itu telah mengubah wajah comel Lin.
Perubahan pada wajahnya yang diibaratkan seperti hantu oleh rakan-rakan Lin di sekolah menyebabkan Lin enggan ke sekolah.
Kisah malang yang menimpa Lin bermula daripada amarah Mat Haizan terhadap isterinya Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, sekitar pukul 1.45 pagi di kediaman mereka di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.
Asid yang dibawa untuk menakut-nakutkan wanita itu bukan hanya mencederakan Che Ku Zaimah saja, tetapi dua cahaya mata mereka iaitu Lin dan Muhammad Irfan Firdaus, 2, selain ibu mertua, Minah Omar, 56.
NURUL DAHYATUL FAZLINDA menaruh harapan wajahnya akan kembali normal seperti biasa.
Natijahnya, kesemua mangsa lelaki itu kini terpaksa menanggung derita seumur hidup, jauh lebih lama daripada hukuman penjara 10 tahun yang dijalani oleh Mat Haizan akibat perbuatannya itu. Paling teruk menerima kesan tersebut ialah Lin yang terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selama 36 hari. Lebih menyedihkan, Lin terpaksa meneruskan hidup dalam kesengsaraan dan tekanan emosi yang sukar digambarkan. Lin bukan sahaja hilang keyakinan diri ekoran dipanggil ‘hantu’ oleh kanak-kanak nakal, malah dia terpaksa mengasingkan diri.
Penyesalan Mat Haizan
Biarpun luka fizikal dan luka di hatinya belum sembuh, kanak-kanak itu masih tetap mempertahankan lelaki bergelar bapa itu. Paling sayu apabila kanak-kanak itu memanggil abah...abah...berkali-kali dalam keadaan tidak sedar ketika menjalani pembedahan baru-baru ini.
Ketika bisa di seluruh anggota badan belum hilang, kanak-kanak itu juga membuat satu permintaan mahu berjumpa bapanya walaupun sekali untuk melepaskan rindu kepada insan yang paling rapat dengannya itu.
Seminggu selepas sambutan Aidiladha, hajat Lin dimakbulkan. Yang pasti tangisan penyesalan Mat Haizan yang mengiringi pertemuan kira-kira setengah jam di penjara Marang, Terengganu itu ternyata sudah terlewat. Ini kerana lelaki itu terlalu terkejut selepas mendapati wajah anak kesayangannya menjadi cacat akibat tindakannya yang gagal mengawal emosi pada hari malang empat Ramadan tahun lalu. Namun penyesalan dan ungkapan maaf berkali-kali lelaki itu tidak mampu untuk mengembalikan wajah anak kesayangannya dalam sekelip mata itu.
Lin juga tidak sesekali memberitahu orang ramai bahawa parut di muka yang sangat jelas kelihatan itu berpunca daripada perbuatan bapanya. Bahkan, kepada yang tahu Lin menyatakan bapanya tidak sengaja melakukan perbuatan itu.
Hari ini, Lin menjadi kanak-kanak lain. Hobi membaca di sebuah Perpustakaan Mini di Kampung Sekayu itu terpaksa dihadkan selepas sebahagian muka dan badannya menggelembung akibat kesan terkena asid.
NURUL DAHYATUL FAZLINDA tidak sesekali memberitahu orang ramai bahawa parut di mukanya berpunca daripada perbuatan bapanya.
Bentuk hidungnya juga menjadi aneh dan rongga pernafasan utama hidungnya semakin mengecil serta menyebabkan suara kanak-kanak periang itu bertukar menjadi sengau. Mata sebelah kanan Lin juga turut terjejas kerana ia tidak boleh ditutup sepenuhnya selain menyebabkan dia mudah silau dan terjaga daripada tidur apabila terkena cahaya.
Sejak insiden itu, Lin tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Taman Rekreasi Sekayu yang menjadi taman permainannya kerana sering menjadi mangsa ejekan kanak-kanak yang tidak mengerti penderitaannya.
Menurut Lin, berbanding kakak dan dua adiknya, dia yang paling rapat dengan Mat Haizan. Bahkan, bapanya sering membawa Lin bersiar-siar di sekitar kampung.
Ketika menonton televisyen di rumah, Lin lebih selesa duduk di atas riba bapanya itu. Namun kemesraan itu menjadi memori terindah kepada Lin sepanjang bapanya meringkuk di penjara selama 10 tahun.
“Ayah tak sengaja buat (mencurah asid), cuma Lin yang tak bernasib baik sebab Lin ada masa ayah bergaduh dengan ibu,” ceritanya lagi.
Memakai topeng tekanan
Menurut Lin, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi bising pergaduhan antara ayah dan ibunya dan ketika itu dia lihat adik bongsunya Muhammad Irfan Firdaus juga terjaga.
“Lin nak pergi ambil adik Irfan tapi tiba-tiba Lin rasa panas dan pedih yang amat sebab itu Lin terus masuk bilik air dan mandi,” katanya menceritakan semula insiden itu.
Jiran yang juga saudaranya turut menghulur bantuan menghantar mereka ke Hospital Hulu Terengganu sebelum dia dirujuk dan menghuni (HSNZ) selama lebih sebulan.
Empat bulan selepas insiden itu berlalu, Lin mengharapkan keajaiban yang dapat mengembalikan wajah asalnya.
Ahad lalu, Lin menerima rawatan perubatan. Lin selamat menjalani pembedahan pembuangan parut fasa pertama pada wajahnya. Menurut pakar perunding pembedahan plastik, Dr. Najihah Sharida Zakaria, pembedahan yang dilakukan baru-baru ini hanya satu bahagian kecil. Lin akan menjalani beberapa lagi fasa pembedahan dalam tempoh beberapa tahun.
Jelas Dr. Najihah, Lin dijangka boleh memasuki semula sekolah dalam masa dua minggu lagi, bagaimanapun perlu memakai topeng tekanan pada wajahnya untuk satu tempoh yang lama bagi memastikan parut tidak tumbuh semula.
KIRI: Guru kelas, Hidayati Rasid memberi tunjuk ajar kepada Nurul Dahyatul Fazlinda sambil diperhatikan rakan-rakannya ketika sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Padang Setar, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
“Lin boleh kembali ke sekolah tetapi harus dipantau dan jika tiada masalah dia boleh menjalani pembedahan kedua selepas enam bulan. Apa yang penting, dia harus berdisiplin dan sentiasa mengikut arahan doktor bagi memastikan kesan parut dapat diminimumkan,” katanya.
Dalam pembedahan itu pasukan bedah plastik di (HSNZ) telah mengambil kulit paha kanan Lin untuk menampal parut di bahagian kiri mukanya.
Pada pertemuan singkat dengan Lin selepas sehari dibedah, ungkap kanak-kanak comel itu: “Kesan akibat pembedahan pada wajah sudah berkurangan. Tetapi paha yang doktor ambil kulit ada rasa sakit lagi.” - adilahisharudin
Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.
Bismillahir-Rahmanir-Rahim..
Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.
7 comments:
memang comel kot budak tu..
walaupun terkena asid, masih lg nampak comel..
moga Allah mudahkan urusan pembedahan beliau..
Terima kasih kerana linkkan ke blog anaMuslimah...
sedih baca cerita dia...
hebat sungguh ujian yang diterima bg kanak2 sekecil itu..
uii..
comel ler dak nih..
sweetnyew,dia still sayang ayah dia even da jd cm2 pon..hope dia tabah hadapi dugaan y mndatang,
baiknye anak ini...
smga die mndpat keajaiban yang baik drpd Allah...
lin c0mey...
sbar je ape yg terjdi....
subhanallah..kasihnya dia kpd bapanya! bdk kecik xpandai berdendam..tp ramai yg lebih dewasa sesuka hati berbunuh bunuhan
anak yg baik...moga Allah memudahkan perjalanan hidupnya..
Kadang-kala kita berada di lokasi yang salah pada masa yang salah itulah Qada dan Qadar Allah
Post a Comment