بسم الله الرحمن الرحيم
Video seks: Eskay mahu balas dendam Anwar, kata bekas staf Megat Junid
Nota tulisan tangan, didakwa ditulis oleh Shazryl Eskay, yang ditunjukkan oleh Mohamad Mahti kepada pemberita di Kuang, Rawang hari ini.
RAWANG, 25 Mac — Seorang bekas anggota polis berkata Datuk Shazryl Eskay Abdullah ada memberitahunya bahawa beliau akan menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada arena politik sebelum mempertontonkan satu rakaman video seks kepada media, Isnin lalu.
Rakaman video seks itu mendakwa seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur China.
Mohamad Mahti Abdul Rahim, bekas pengawal peribadi Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub berkata, Shazryl marah kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh itu enggan menjadi saksi dalam kes samannya berkaitan projek jambatan bengkok yang diluluskan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kes itu sedang berlangsung di mahkamah dan Megat Junid pernah menjadi menteri dalam Kabinet Dr Mahathir.
“Selepas beliau bercakap dengan marah mengenai Anwar, beliau mula bercakap buruk mengenai beliau (Anwar), berkata ‘saya akan menjatuhkan Datuk Seri Anwar, dengan apa jua cara pun,” katanya.
Mohamad Mahti sendiri bersetuju menjadi saksi dalam kes dibawa Shazryl mendakwa beliau dijanjikan akan dibayar RM20 juta kerana berjaya memperoleh projek jambatan bengkok RM460 juta yang menghubungkan Singapura dan Johor.
Katanya, selepas dia memberikan keterangan pada 8 Mac lalu, Shazryl mula bercakap buruk tentang Anwar ketika berhenti rehat dan disambung pada keesokan hari.
“Sama ada rakaman ini betul atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi beliau mahu menjatuhkan Anwar Ibrahim. Beliau berkata Anwar curi wangnya,” katanya lagi.
Mohamad Mahti juga berkata, Shazryl bertemu dengannya minggu lalu untuk bertanya sama ada boleh mendapatkan bekas anggota unit tindakan khas bagi tujuan keselamatan apabila menayangkan rakaman video.
Mohamad Mahti berkata, dia mengikut Shazryl ke rumah Datuk Shuib Lazim, seorang lagi Datuk T dan mendapati Bendahari Perkasa itu penasihat ahli perniagaan terbabit yang mengendalikan kilang baja dan akan menjadi pengerusinya dalam waktu terdekat.
“Eskay juga berkata beliau melakukan ini bagi (seorang) No. 1,” katanya sambil menambah, Shuib kelihatan keberatan untuk membantu Shazryl.
“Saya tidak tahu siapa orang itu dan saya juga tidak tanya siapa yang dia maksudkan,” kata Mohamad Mahti apabila ditanya sama Shazryl merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang Anwar menuduh terlibat dalam pendedahan video seks ini.
Mohamad Mahti, 53, berkata dia kali pertama bertemu dengan Shazryl ketika menjadi pakar fisioterapi bagi Persatuan Badminton Malaysia pada 1990-an.
Katanya, Shazryl kemudian diperkenalkan kepada Dr Mahathir dan Anwar di mana pada masa yang sama khidmatnya diperkenalkan kepada mereka.
Mohamad Mahti juga berkata, dia diberi wang saku RM5,000 kerana menguruskan pertemuan dengan Ahli Parlimen Salak Tan Sri Tajuddin Rahman, yang merupakan Pengerusi Felca, dipercayai untuk mendapatkan kontrak membekalkan baja.
Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, seorang lagi Datuk T pula merupakan Pengerusi Risda.
Mohamad Mahti berkata sebulan kemudian Shazryl memberikannya satu nota tulisan tangannya menjanjikan pelbagai pegawai termasuk Tajuddin potongan bagi setiap tan baja dijual kepada Felcra.
“Saya merasakan ini rasuah, jadi saya SMS kepada Tajuddin meminta agar melupakan segala-galanya,” kata beliau sambil menunjukkan tulisan tangan yang menggunakan dakwat merah.
Mohamad Mahti berkata salah seorang pengawal peribadi Anwar yang bernama Moktar ada menghubunginya untuk bertanya mengapa Shazryl melakukan yang ini sedangkan baru seminggu lalu beliau ada membawa keluarganya bertemu dengan Ketua Umum PKR itu.
“Saya memberitahu bahawa saya tidak tahu apa-apa tentang video ini sehingga ia dikeluarkan,” katanya kepada pemberita di Kuang dekat sini hari ini.
Mohamad Mahti menambah, Shazryl ada mengatakan bahawa beliau pernah banyak membantu Anwar dan membawa bekas timbalan perdana menteri itu ke Singapura untuk melakukan ujian DNA bagi membuktikan dakwaan akhir 1990-an bahawa beliau adalah bapa bagi anak Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, sebagai tidak benar.
Dia juga berkata, Shazryl mendakwa ada membantu Anwar untuk menghantar keluar blogger Raja Petra Kamaruddin untuk meninggalkan negara ke United Kingdom.
Katanya, dia tidak diminta oleh sesiapa agar membuat dakwaan ini sambil berkata “jika saya dibayar, kita sepatutnya mengadakan sidang media di bilik berhawa dingin.”
Shazryl dan Abdul Rahim ditahan oleh polis awal hari ini berkaitan dengan seks video ini. - MI
Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.
Bismillahir-Rahmanir-Rahim..
Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.
0 comments:
Post a Comment