Bismillahir-Rahmanir-Rahim.. Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.

JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK SUPAYA SENANG AKU NAK MELAWAT DAN FOLLOW KORANG BALIK.. INSYA ALLAH.

Saturday, June 19, 2010

KERANA TAKUT PRK: ADJUST JANGAN TAK ADJUST

بسم الله الرحمن الرحيم



KUALA LUMPUR, 18 Jun — Ahli Parlimen Batu dari PKR, Tian Chua dilihat sudah hilang kelayakan untuk menyandang kerusinya walaupun mahkamah yang mendengar rayuannya semalam telah mengurangkan denda daripada RM3,000 kepada RM2,000.

Melainkan keputusan semalam diubah oleh Mahkamah Rayuan selepas ini, jika rayuan peringkat kedua dibuat, dan menerima pengampunan diraja, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya kecil.

Seorang bekas pegawai kanan SPR memberitahu The Malaysian Insider, undang-undang sedia ada dengan jelas memperuntukkan bahawa jika dikenakan denda RM2,000 dan ke atas boleh menyebabkan wakil rakyat terbabit hilang kerusi disandangnya.

“Perkara ini dengan jelas dinyatakan dalam Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

“Dalam kes ini, mahkamah telah menjatuhkan hukuman RM2,000, bukannya kurang daripada itu... oleh itu jelas bahawa dalam kes ini, Ahli Parlimen (Batu) sudah hilang kelayakan memegang kerusinya.

“Melainkan Ahli Parlimen berkenaan (Tian Chua) membuat rayuan (di Mahkamah Rayuan) dan jika rayuan ditolak, kemudian memohon pengampunan (jika mahu),” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mengenai pandangan hakim bahawa keputusannya akan membolehkan pilihan raya kecil dapat dielakkan dan menjimatkan kos, bekas pegawai SPR itu memberitahu, mahkamah tidak seharusnya menyentuh perkara-perkara di luar perlembagaan.

“Hakim tidak boleh mengetepikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan ia tidak mendapat pengampunan.

Dalam buku bertajuk “Penjalanan Pilihan Raya Malaysia”, bekas setiausaha dan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, “kehilangan kelayakan di bawah Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan, jika timbul keraguan perlu diputuskan oleh Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri di bawah Perkara 53(1) Perlembagaan

Persekutuan dan perkara yang sama dalam Perlembagaan Negeri.”

Sebagai contoh katanya, dalam kes Ahli Parlimen DAP kerusi Menglembu Fan Yew Teng mengemukakan kes saman ke atas setiausaha Dewan Rakyat pada 1975.

Pada 13 Jan 1975 Fan telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan di bawah Akta Hasutan dan telah didenda RM2,000 atau enam bulan penjara.

Pada hari yang sama, beliau telah membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun setelah diberitahu oleh Dewan Rakyat bahawa Fan telah hilang kelayakan di bawah Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan dan sesuai dengan Perkara 50(1), kerusinya telah menjadi kosong dan dengan demikian SPR telah mengambil tindakan yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Fan telah membawa kes ini untuk ditentukan oleh mahkamah dan mahkamah mendapati bahawa sungguhpun beliau telah didenda, menyebabkannya hilang kelayakan, tetapi berhak menggunakan hak perundangan sepenuhnya. Hak itu diakui oleh mahkamah dan dengan demikian pendapat mahkamah ialah bahawa pilihan raya kecil itu tidak boleh diadakan sehingga rayuannya selesai dibicarakan.

Dalam kes yang berkaitan juga iaitu Fan melawan kerajaan Malaysia, di mana beliau telah memohon pengisytiharan mahkamah mengenai keahliannya dalam Parlimen yang telah terlucut disebabkan oleh kesalahan tersebut, mahkamah antara lain telah memutuskan bahawa dalam kes yang dirujukkan ini, keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Rakyat bahawa ahli berkenaan hilang kelayakannya berasaskan Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan adalah muktamad dan tidak boleh disoal di mahkamah.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang dengan menggantikannya kepada hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara kerana mencederakan seorang anggota polis pada 2007.

Bagimanapun Hakim Datuk Ghazali Cha menolak rayuan Tian Chua terhadap sabitan atas tuduhan itu setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Ghazali berkata, penghakiman Majistret pada 22 Oktober lalu yang berdasarkan penemuan fakta adalah betul dan pemakaian undang-undang juga adalah tepat dan tidak perlu lagi diganggu.

Ghazali berkata, soal hukuman merupakan budi bicara sepenuhnya hakim perbicaraan berkenaan kecuali yang melibatkan hukuman mati.

“Dalam kes ini perayu adalah pesalah pertama. Tidak dapat dinafikan juga bahawa tiada keistimewaan patut diberikan kepada beliau sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, katanya jika hukuman yang dijatuhkan boleh menjadikan Tian Chua, 47, tidak layak menjadi seorang Ahli Parlimen, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

“Seperti yang diketahui pilihan raya kecil ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan dan keharmonian di antara berbagai-bagai bangsa.

“Di atas alasan ini, saya berpendapat suatu hukuman yang setimpal yang tidak melibatkan banyak pihak adalah merupakan suatu hukuman yang adil.

“Hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret diketepi dan digantikan dengan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara,” katanya.

Tian Chua didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff berkata pihak pendakwaan masih belum memutuskan sama ada merayu keputusan itu. [Malaysian Insider]



UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH.. ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..

1 comments:

Anonymous said...

correct..correct...correct...