(219) ABO @ Bukit Gantang -
Mengapa menjadi satu masalah besar bagi Umno untuk memutuskan samada perlu atau tidak bertanding di dalam Pilihanraya Kecil Dun Penanti yang telah dikosongkan sekarang? Apakah Umno kini sudah kehabisan `peluru' untuk bertempur dengan PR setelah tersungkur di dalam beberapa Pilihanraya Kecil baru-baru ini?
Saya rasa tidak begitu, kerana Umno dikenali terlalu banyak menyimpan `peluru' mereka walaupun sekadar memiliki `peluru' kosong. Atau mungkin juga Umno mempunyai banyak `peluru' tetapi tiada `panglima' yang benar-benar berani dan layak untuk membawa bala tenteranya ke medan perang di Penanti. Sekiranya ada panglima sekalipun, mana mungkin untuk bertempur jika ketiadaan askar? Wah ! sememangnya Umno benar-benar menghadapi kesulitan sekarang.
Setakat ini dari pemerhatian kita, majoriti rakan-rakan dalam komponen Bn serta tokoh-tokoh politik dalam Umno dan Bn bersetuju sekiranya Umno menarik diri dari bertanding di Penanti. Banyak alasan yang masing-masing berikan tetapi tiada satu pun yang berani menyatakan bahawa jika Umno bertanding Umno bakal akan di`telanjang'kan sekali lagi di Penanti. Hampir kesemuanya hanya berkata sepertimana yang Najib kata kerana sudah menjadi tradisi dan tabiat `burung kakak tua' atau `belatuk'.
Ulasan dari seorang tokoh Umno di P.Pinang lagi melucukan, beliau berkata pilihanraya tersebut tidak memberi apa-apa makna pada Umno samada kalah atau menang. Benarkah begitu? Ini bermakna bahawa Umno selama ini bertanding hanyalah untuk mendapatkan kuasa semata-mata, jika menang tetapi tidak boleh mengambil kuasa ia bererti membuang masa. Realiti di P.Pinang jelas bahawa jika calon Umno menang sekalipun, Umno tidak boleh mengambil alih kuasa di P. Pinang. Justeru itu, pada pendapatnya Umno membuang masa jika bertanding di sana. Jadi, tidak perlu lagi kita hendak menuduh bahawa Umno sememangnya gila kuasa bukan untuk berkhidmat untuk rakyat kerana kenyataan tokoh terbabit jelas menggambarkan sikap Umno P.Pinang.
http://mail.google.com/mail/?ui=2&ik=eaf612b410&view=att&th=120be7c2a35d90c9&attid=0.2&disp=inline&zw
Kenyataan tersebut bertepatan dengan apa yang telah berlaku di Perak, betapa kerana inginkan kuasa Umno sanggup membelakangkan demokrasi di Perak. Mereka tidak hiraukan berapa lamakah rakyat Perak akan tinggal di dalam negeri yang tidak tentu hala pemerintahannya apatah lagi ekonominya, asalkan Umno boleh berkuasa di Perak. Jika benar Umno ingin mencurahkan khidmatnya yang dikatakan lebih baik dan telus dari PR, mengapa perlu takut untuk mencuba nasib di Penanti?
Apakah kerana sayangkan duit kononnya pembaziran besar jika diadakan pilihanraya? Memang banyak pembaziran berlaku sebelum ini dalam setiap pilihanraya kerana seluruh jentera kerajaan dikerah untuk membantu calon Umno/Bn termasuk dari pasukan keselamatan yang dikerah bertugas siang dan malam yang mempunyai jumlah kakitangannya mencapai bilangan yang tidak munasabah. Peranan media elektronik seperti TV dan radio yang siang malam berkempen untuk calon Umno/Bn bukannya sedikit perbelanjaan yang digunakan.
Saya bersimpati juga dengan Umno kerana begitu sukar untuk mendapatkan calon yang sesuai untuk diletakkan di Dun Penanti. Sememangnya Pemuda Umno Permatang Pauh begitu kepingin agar Umno meletakkan calon di sana kerana dengan adanya pilihanraya nanti mereka sudah pasti mendapat `habuan' dan dapat bersukaria dan berkhemah, berkelah di Penanti sambil menikmati wang peruntukan yang banyak. Kita dapat lihat betapa golongan-golongan pemuda dan puteri mereka begitu mewah setiap kali pilihanraya kecil diadakan. Jika Umno meletakkan calon mereka di Dun Penanti nanti, belum sempat kotor atau lusuh topi, baju dan payung Umno/Bn yang diberi semasa di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, mereka bakal perolehi topi, baju dan payung yang lain pula. Jadi, memang tindakan bijak Pemuda Umno mendesak agar Umno meletakkan calon mereka di Penanti nanti.
Tentang calon, jika Umno buntu untuk memikirkan siapa yang layak untuk di`sabung'kan di Dun Penanti, mungkin cadangan saya ini dapat membantu Umno sedikit sebanyak. Saya ikhlas ingin mencadangkan agar pertamanya Tun Mahathir di calonkan di Dun Penanti kerana beliau salah seorang tokoh yang benar-benar mahukan Umno bertanding di sana. Manalah tahu kalau-kalau masih ada golongan tua yang hampir tiada gigi di Penanti akan menyokongnya. Golongan-golongan ini kebiasaannya menebal dengan prinsip `takut kembali makan ubi kayu' jika sokong pembangkang. Tokoh kedua yang pada fikiran saya mungkin Umno boleh pertimbangkan adalah dengan meletakkan Sdr Ezam Mohd Noor bertanding di sana. Bukankah semangat `asas perjuangan melayu' Sdr Ezam teramat tebal dan sesuai untuk bertanding di kawasan yang majoritinya Melayu di sana?
Meskipun sebelum ini Sdr Ezam yang digelar `Raja Sesumpah' sering membawa `bala' buat Umno di dalam beberapa Pilihanraya Kecil baru-baru ini, tetapi manalah tahu `badi'nya akan hilang jika ia menjadi calon. Calon ketiga yang pada saya mungkin dapat dipertimbangkan oleh Umno ialah dengan meletakkan mana-mana pemimpin Umno P.Pinang yang Umno rasa ingin `korban'kan kerjaya politiknya secara perlahan-lahan untuk bertanding di Penanti. Jika calon tersebut menang, ia merupakan bonus buat Umno dan jika ia kalah sekali pun tentunya boleh buat Umno P.Pinang bergembira.
Bagi Parti KeAdilan Rakyat khususnya dan PR amnya, pilihanraya yang bakal ditempuhi nanti diibaratkan sebagai proses `pembersihan' kepimpinan PR di P.Pinang. Demi merealisasikan proses ini, sudah tentu calon dari PKR nanti terdiri dari tokoh yang bersih jiwanya zahir dan batin. Samada Umno bersikap `jantan' atau tidak, PR harus berusaha gigih mendapatkan keyakinan rakyat di Penanti. Apa yang pasti, pilihanraya tetap diadakan dan pertandingan tetap wujud samada Umno bertanding mahu pun calon bebas yang pastinya pro- Umno akan bertanding. Mungkinkah rekod calon bebas yang bertanding di Bukit Selambau akan dipecahkan di Penanti? Segalanya tidak mustahil kerana di era Najib, tiada yang mustahil. Kita bakal menyaksikan kembali `roh' Altantuya menjelma di Penanti selepas ini.
Artikel oleh Penulis Tamu@al-Banjari - Saudara WFAUZDIN NS
Bismillahir-Rahmanir-Rahim..
Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.
0 comments:
Post a Comment