BINGKISAN DARI YAMAN
Oleh: Imran al-Malizi
Bersempena Muktamar PAS ke-55 ini, saya sempat menemui tokoh yang tidak asing lagi di Yaman dan dunia Islam, Syeikh Abdul Majid al-Zindani, Ketua Majlis Syura kepada parti Islam - Himpunan Islah Yaman (al-Tajammu’ al-Yamani Lil-Islah). Pertemuan tersebut diadakan di kediaman beliau.
Seperti biasa, beliau akan menyambut tetamu dengan senyuman. Kemudian beliau meminta untuk berkenalan dengan tetamu-tetamu yang turut hadir. Jelas kelihatan, beliau cukup senang menerima kunjungan para pelajar untuk berbincang tentang hal-ehwal pengajian dan menyampaikan ilmu serta nasihat.
Apabila ditanya tentang para pelajar Malaysia yang belajar di Universiti al-Iman, dia tersenyum. “Tentulah saya akan katakan mereka semuanya baik-baik..” ujar beliau dengan spontan sambil diiringi ketawa kecil.
Syeikh al-Zindani bercerita pelbagai perkara tentang Universiti al-Iman dan ilmu mukjizat al-Quran (I’jaz al-‘Ilmi) serta memberi nasihat berkenaan kaedah-kaedah dakwah kepada golongan bukan Islam di Malaysia.
Kemudian saya beralih topik perbualan dengan meminta sedikit ulasan beliau mengenai masa depan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di bawah pimpinan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bin Awang.
Beliau yang sebelum itu banyak bergurau, tiba-tiba menarik nafas dalam-dalam kemudian melepaskannya perlahan-lahan.
Air mukanya berubah serius dan sambil mengusap janggutnya, beliau berkata, “Bismillahir- Rahmanir- Rahim. Saya mendengar tentang Parti Islam Se-Malaysia semenjak tempoh yang lama. Saya mengetahui mengenai gambaran negara Malaysia dari segi situasi politik, ekonomi dan komposisi penduduknya. Saya mengetahui sejarah Malaysia ketika zaman penjajahan dan apa yang telah dilakukan oleh penjajah secara keseluruhan.
Tidaklah pelik, adanya sebuah parti Islam yang bangkit mahu memelihara agama Islam dalam situasi yang seperti ini. Bahkan, (perlunya) wujud sebuah parti yang mengisytiharkan secara berterus-terang bahawa, ‘Aku’ ingin hidup berdasarkan Islam dan manhajnya!
Untuk ini, kita berdoa kepada Allah S.W.T agar Dia menjadikan mereka (dalam PAS) tergolong dari kalangan orang-orang yang benar dalam kata-kata dan begitu juga amalan mereka. Sesungguhnya Allah S.W.T telah berfirman: ”Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah dan dia beramal saleh dan dia berkata; sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang Islam (yang menyerah diri).” (Fushilat : 33).”
Syeikh al-Zindani menyambung lagi, “Maka, ketika mana kami mengenali parti ini dan beberapa pemimpinnya, bertambahlah rasa kecintaan kami padanya dan pada kepimpinannya serta perkara-perkara yang berlaku kepadanya.
Apabila kami melihat perkembangannya dari masa ke semasa, yang mana ia semakin mara ke hadapan, tahulah kami bahawa parti ini sedang melalui jalan-jalan dan pendekatan yang telah dikaji (terlebih dahulu). Kami mengharapkan agar Allah memberikan taufik kepadanya untuk memberi khidmat kepada Islam dan bertambah maju ke hadapan lagi, insyaAllah. “
Kemudian Syeikh al-Zindani memberikan beberapa nasihat kepada parti Islam ini. Katanya, “Pesanan saya kepada PAS.. bahawa kamu telah mengisytiharkan keperibadian kamu, kamu telah menzahirkan agama kamu dan iltizam kamu dengannya. Maka jadilah sebagaimana yang telah kamu isytiharkan, hendaklah kamu analisa pegangan kamu, akhlak kamu, kerja kamu, siasah kamu dan segala urusan kamu. Supaya tidak datang syaitan kepada kamu dengan perkara kemaksiatan. .”
Beliau menyambung dengan memberikan contoh, “Para sahabat radhiyallahu ’anhum ketika menyanggahi Rasulullah s.a.w pada satu arahan sahaja, iaitu mereka (pasukan pemanah) yang ditugaskan menjaga sebuah bukit kecil dalam peperangan Uhud, mereka mentakwil arahan itu. Kata mereka, ‘kita disuruh tunggu di sini sehingga selesai peperangan dan sekarang sudah tamat pertempuran’, lalu mereka menyalahi perintah (dengan meninggalkan bukit tersebut). Maka berlakulah kekalahan dan mereka mendapat pembalasan disebabkan perlanggaran mereka terhadap satu perintah Rasulullah s.a.w.”
Beliau berkata dengan bersungguh, “Maka kamu terdedah kepada kepincangan, kamu terdedah kepada kritikan dan kamu terdedah kepada tribulasi. Sesiapa yang mahu pergi kepada Islam, dia akan pergi kepada kamu terlebih dahulu. Sesiapa yang ingin melihat Islam, dia akan melihat diri kamu. Kerana kamu bukanlah ‘orang-orang suci’, kamu mungkin melakukan kesilapan dan kebenaran sebagaimana setiap manusia yang lain.”
Tegas beliau lagi, “Jangan menjadikan diri kamu sebagai ‘bahan’ kepada musuh-musuh Islam untuk mereka melemparkan dakwaan, celaan, mengambil kesempatan dengan mengikut hawa nafsu (mereka)..”
“Ketahuilah pada masa yang sama, apabila (PAS) menetapkan untuk mengharungi jalan yang hak dan mengikut petunjuk, maka Allah yang akan menjaga dengan tangan-Nya. Sebagaimana firman Allah, “..dan orang-orang yang mendapatkan petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberi kepada mereka dan memberikan kepada mereka ketakwaan.” (Surah Muhammad: 17)
Katanya lagi, “Allah menjanjikan pertolongan dengan firmanNya, “Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad: 7). Membantu Allah bermakna menolong agamanya.”
Mengenai kepimpinan ulama, Syeikh al-Zindani berkata, “Kemungkinan berlaku masalah pada kamu dalam perkara politik, ekonomi, kemasyarakatan, akhlak, pemikiran, ideologi dan sebagainya. Maka rujuklah kepada para ulama. Jika kamu tidak dapati, maka bertanyalah kepada ulama umat ini. Bertanyalah kepada mereka, nescaya mereka akan menunjukkan jalan kepada kamu.
Allah tidak akan menyuruh kaum muslimin dengan perintah, “Maka bertanyalah orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,” (An-Nahl: 43), melainkan sesungguhnya ada orang yang berilmu dan mereka dipertanggungjawabk an untuk menyampaikan ilmu.
Jika tidak, mereka diancam dengan laknat sebagaimana firman Allah, “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterang an dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati semua (makhluk) yang melaknat. Kecuali mereka yang bertaubat dan melakukan pembaikan dan menerangkan (kebenaran), maka Aku menerima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah: 159-160).
Ini menunjukkan peranan para ulama sangat penting untuk dijadikan rujukan dalam sebuah gerakan Islam. Ini juga pernah disebutkan oleh Syeikh Dr.Hammam Said, Muraqib al-Am, al-Ikhwan al-Muslimin di Jordan sebelum ini. Katanya, “Kewujudan para ulama pada peringkat tertinggi adalah jaminan paling besar bagi parti (PAS) ini. Kerana hubungan umat dengan para ulama adalah satu hubungan yang kuat. Apabila terdapat ulama di situ, maka kepimpinan tersebut berjalan di atas dasar al-Kitab (al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w.”
Di akhir pertemuan itu, Syeikh al-Zindani berpesan, “Bersabarlah kamu, ikutilah (jalan) Allah, kami memohon semoga Allah memberi taufik kepada kamu.”
Lalu kami meminta izin untuk beredar kerana telah agak lama mengambil masa beliau. Sebelum berpisah, Syeikh Abdul Majid al-Zindani berkata dengan penuh keceriaan, “Sampaikan salam saya kepada Syeikh (Tuan Guru) Abdul Hadi Awang!”
2 comments:
nice words:)
thanks for the info:)
pesan yg mencerahkan sobat,trims..
Post a Comment