Bismillahir-Rahmanir-Rahim.. Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.

JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK SUPAYA SENANG AKU NAK MELAWAT DAN FOLLOW KORANG BALIK.. INSYA ALLAH.

Friday, June 12, 2009

Nelayan wanita - 'Selagi terdaya, kami akan ke laut'


Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my


Rahmah menunjukkan hasil tangkapan.

Disindir ketika memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menguatkan lagi azam nelayan wanita untuk sendiri mencari rezeki

DI SEBALIK celah hutan pokok bakau di muara Kuala Gula, Perak sebuah bot berwarna biru bernombor pendaftaran PKS 3616 menyusur perlahan meredah sungai. Kelihatan ibu tunggal, Rofeah Atan, 42, gagah mendayung bot meredah mata hati terik mencari rezeki.

Ditemani anak lelakinya, Mohd Rashidi Mahadi, 20, ibu kepada tujuh anak itu tersenyum melihat bot kami menghampiri mereka. Mereka berdua sedang menangkap ketam nipah menggunakan bubu yang dikenali penduduk tempatan sebagai takui.



Muka dan badannya dibasahi keringat, itulah tanda kesungguhannya mencari rezeki halal sejak kematian suami dua tahun lalu. Bot itu mempunyai enjin tetapi nelayan tempatan lebih suka mendayung ketika mengangkat bubu kerana ia menjimatkan penggunaan petrol.

Mereka adalah sebahagian daripada puluhan wanita gigih Kuala Gula yang bekerja sebagai nelayan pantai. Agak mengejutkan kerana sebelum ini jarang diketahui kerjaya itu turut dipelopori kaum hawa yang lebih dikenali sebagai suri rumah.

Lain ceritanya di sana, mereka adalah suri laut yang cekal, tanpa mengenal penat, bersama membanting tulang sama taraf dengan nelayan lelaki. Cuma bezanya, mereka lebih kepada nelayan pantai, namun sesekali, mereka juga ke laut dalam memancing ikan.

Affina 'berbulan madu' menangkap ketam bersama suami, Helmi.

Perkampungan nelayan di Kampung Tersusun, Kuala Gula, terletak kira-kira 50 kilometer dari Taiping, Perak itu menyimpan 1,001 cerita suka duka hidup sebagai nelayan.

Bagi Rofeah, jika tidak bekerja, tiada sesiapa akan memberi makan kepada anak-anaknya. Semua tujuh anaknya berusia tujuh hingga 25 tahun masih memerlukan perhatiannya, perlu dijaga dan disediakan makanan.

"Tak susah sangat nak jadi nelayan, kena panas, hujan atau mendayung bot kami sudah biasa. Kalau dah biasa hidup susah, tak jadi masalah. Jadi nelayan ni, semua kena tahu buat sendiri, kena baiki jaring, baiki bot, tangkap ketam, baru boleh hidup. Syukurlah saya ada bot sendiri," katanya.

Bukannya tidak mencuba memohon bantuan menyara anak yatim daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi jawapan sinis mengatakan nelayan sekarang sudah senang membuatkan ibu tunggal ini nekad, jika ditakdirkan rezekinya di laut, di situlah dia akan mencurah keringat selagi berdaya.

Mak Long bersama anaknya, Che Umai.

Di jeti Kuala Gula, dua rakan karib, Norasyikin Hussein, 30, dan Normala Mohd Noor, 30, baru saja mendaratkan bot mereka ke jeti. Mereka juga nelayan pantai yang mendapat lesen daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan.

Ketika rakan seusia lebih suka bekerja mendapatkan gaji bulanan secara tetap, mereka memilih cara hidup mencabar tetapi penuh dengan ketenangan dan keseronokan kerana hidup nelayan semuanya bergantung kepada diri sendiri, jika kuat berusaha, Insya-Allah rezeki akan bertambah.

Norasyikin juga ibu tunggal yang sudah tiga tahun menjadi nelayan untuk menyara dua anak kecil berusia tiga dan enam tahun.

"Dulu saya pernah kerja kilang di Pulau Pinang tetapi kerja nelayan lagi bagus, hati senang, dekat dengan keluarga. Anak pun dah masuk tadika, siapa yang nak tanggung," katanya yang tidak tahu berenang dan cuma mengharapkan kepada pelampung jika berlaku kecemasan.

Uniknya, kedua-dua rakan karib itu cuma tahu menangkap ketam, tetapi tidak mahir mengikat ketam untuk dijual kepada peraih. Tugas itu diserahkan kepada ayah Normala yang membantu kerja di jeti dan mereka pula membantu membersih dan menyusun pukat ikan sementara menunggu kerja mengikat ketam selesai.

Bagi Normala yang lebih banyak bertindak sebagai pemandu bot, beliau sudah biasa mengikut ayahnya menangkap ikan dan ketam sejak usianya masih kecil. Suaminya pekerja kilang dan sejak empat bulan lalu, beliau berganding bahu dengan Norasyikin berkongsi bot menangkap ketam.

"Saya pun pernah kerja kilang. Setakat ini, belum terlintas nak kerja di bawah arahan orang. Biarlah kami bekerja sendiri," kata ibu kepada dua anak ini.

Ditanya sama ada mereka memakai losyen penahan matahari untuk melindungi wajah mereka dari terik matahari, mereka tergelak, katanya, lagi gelap lagi manis.

Ketika kami hampir menamatkan perbualan, penduduk mencadangkan kami menunggu satu lagi bot yang belum pulang. Bot dinaiki wanita besi digelar 'Mak Long'. Usianya sudah menjangkau 62 tahun, tetapi masih gagah mencari rezeki.

Sebaik Mak Long tiba di jeti, warga emas yang mempunyai tiga cicit dan 20 cucu ini tersenyum lebar dan tegasnya, sudah 50 tahun beliau bekerja sebagai nelayan.

"Mendayung adalah petua untuk hidup sihat, keluar peluh, aliran darah pun bagus. Syukur, sampai sekarang Mak Long masih boleh mendayung, selagi terdaya, saya akan ke laut," katanya yang menaiki bot bersama anak perempuannya, Che Umai Kamaruddin, 39.

Turun ke laut bantu suami

BAGI wanita di perkampungan nelayan di Kampung Tersusun, Kuala Gula, Perak, tanggungjawab membantu suami mencari rezeki dengan bekerja sebagai nelayan adalah perkara biasa yang menjadi rutin harian penduduk tempatan.

Jika ada yang tidak begitu yakin untuk turun ke laut, mereka lebih banyak membantu di darat melakukan kerja sampingan, asalkan mampu menambah pendapatan.

Seorang nelayan wanita yang lebih dikenali sebagai 'Mami Jarum' Rahmah Awang, 46, berkata beliau sudah berkecimpung dalam kerjaya itu sejak 30 tahun lalu dan selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohd Zahir Zainon, 44, mereka berganding bahu mencari rezeki.

"Sudah menjadi adat hidup sebagai nelayan, kadangkala pulang tangan kosong. Sehari suntuk di laut, langsung tiada hasil. Kita kena terimalah, sebab ada hari kita dapat banyak rezeki, itu yang Tuhan beri.

"Setakat ini, kami bersyukur dengan rezeki yang ada. Jika turun ke laut, sekurang-kurangnya ringan beban suami, sebab saya pun dah biasa menangkap ketam dan ikan. Itu tak menjadi masalah," katanya yang turut melakukan kerja sampingan menanam benih pokok bakau dan mengupas isi kerang.

Satu lagi pasangan nelayan, Affina Dzul, 20, dan suaminya, Helmi Sam, 26, menyifatkan kerjaya itu umpama sesi bulan madu berpanjangan kerana menghabiskan masa sepanjang masa bersama pasangan tercinta, cuma bezanya mereka bukan mendayung bot menikmati angin petang, tetapi menangkap ketam.

Bagi Affina yang baru beberapa bulan membantu suaminya, kehadirannya cuma sebagai pembantu meringankan beban suami kerana cahaya mata mereka berusia setahun lebih dijaga keluarga sepanjang masa mereka turun ke laut.

"Saya masih baru, banyak kena belajar. Seronok dapat bersama suami mencari rezeki, walaupun penat bekerja, kami tahu susah payah mencari rezeki," katanya.

Tinjauan di sekitar perkampungan itu menemui beberapa wanita yang mengambil upah mengupas kulit kerang di bawah rumah. Kelihatan tiga wanita, Esah Mat Arab, 65, Rashidah Johan, 33 dan Arbaiah Awang, 40, rancak berbual sambil tangannya lincah mengopek kulit kerang.

Purata upah sehari RM14 sudah memadai bagi mereka sementara menunggu suami dan anak pulang dari laut, sekurang-kurangnya pendapatan itu membolehkan mereka gunakan untuk perbelanjaan harian anak ke sekolah.

Rashidah berkata, setiap kilogram isi kerang yang dikupas, mereka dibayar upah 70 sen dan setiap hari, mereka mampu mengupas kira-kira lapan kilogram isi kerang. Kerang rebus setengah masak itu biasanya dihantar oleh pembekal yang membelinya daripada nelayan berdekatan.

Info

Nelayan wanita Kuala Gula:


  • Pendapatan purata harian RM80 hingga RM100.

  • Jumlah bubu yang dimiliki: 120 hingga 200 setiap nelayan.

  • Kerja sampingan:

    1) Mencari upah menanam anak benih pokok bakau.

    2) Mengupas isi kerang

    3) Memancing ketika musim 'air mati'.

  • Masa bekerja: 6 hingga 7 jam sehari.


  • BS: Nak mengalir airmata aku baca kecekalan kaum hawa yg mcm ni.... Sapa2 yg ada kenal awek2 mcm ni kenalkan la kat aku.. aku nak ajak dia kawin laa.. Bukan kerana dia tu rajin, tp sebab kecekalan mereka tu.. dah biasa dgn kesusahan.. susah mcm aku jugak..terharu aku.. ni la kaum hawa idola aku..

    0 comments: