Abdul Rahim Sabri | Apr 17, 09 12:36pm |
dikemaskini Walaupun perdana menteri membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini, tiga lagi ditahan bawah akta kontroversi itu sejak bulan lalu. Abdul Matin Anol Rahmat ditahan di rumahnya di Ulu Tiram, Johor pada 1 April, dua hari sebelum Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keenam. Beliau ditahan bagi siasatan berhubung gerakan Jemaah Islamiah (JI), kumpulan pengganas di Asia Tenggara yang dikaitkan dengan al-Qaeda. Abdul Matin mengikut jejak menantunya Zaini Zakaria yang meringkuk di kem tahanan Kamunting, Perak selama lima tahun sehingga 13 Februari lalu. Agus Salim yang berasal dari Medan, Indonesia ditahan di sebuah restoran tempatnya bekerja di Larkin, Johor pada 5 Mac. Seorang lagi Johar Hassan diura-urakan turut ditahan tetapi tiada maklumat lengkap mengenai penahanannya. Menurut sumber-sumber jaringan JI, beliau dipercayai ditahan seawal-awalnya bulan lalu. Maklumat ketiga-tiga individu ini didedahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jam 11 pagi dalam satu aduan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Mereka ditahan menurut Seksyen 73 (1) ISA untuk soal siasat selama 60 hari, kata NGO itu lagi. "Penahanan ketiga-tiga mereka ini tidak diumumkan oleh polis atau kerajaan dalam mana-mana saluran media. "Malah ahli keluarga juga belum berjumpa tahanan. Mereka digelapkan daripada sebarang maklumat tentang keadaan tahanan dan di mana ditahan," kata pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh. Turut hadir di pejabat Suhakam hari ini, ibu dan adik Agus, Junaidi Bahari yang tiba dari Medan malam tadi. Junaidi berkata keluarganya mendapat berita penahanan abangnya daripada pengurus kedai makan tersebut. Katanya, hampir 50 hari, keluarganya belum mengetahui di mana Agus berada. "Saya harap polis Malaysia bebaskan abang kerana abang saya belum tahu apa salahnya," katanya dalam sesi aduan kepada Suhakam. Tambahnya, Agus perlu dibicarakan di mahkamah untuk mengetahui beliau bersalah atau tidak. Menurut Junaidi lagi, Agus merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik dan masih bujang. Sementara itu, menjawab soalan pemberita berhubung identiti Johar, Syed Ibrahim berkata beliau mendapat sedikit maklumat daripada beberapa isteri tahanan dan isteri bekas tahanan ISA. Bagaimanapun, beliau belum mempunyai maklumat terperinci berhubung bila dan bagaimana Johar ditangkap. "Sebab itu saya membawa terus (aduan) ke Suhakam, supaya Suhakam dapat bertanya kepada polis," katanya. Pesuruhjaya badan itu Datuk S Subramaniam berkata, beliau berjanji akan mengesan tahanan dan melawat mereka. "Saya memberi jaminan untuk menemui tiga orang ini untuk dapatkan maklumat dan akan memaklumkannya kepada GMI dan ahli keluarga," katanya selepas menerima memorandum NGO itu. Sementara itu, GMI memaklumkan ia akan meneruskan rancangan untuk mengadakan himpunan besar-besaran untuk menuntut ISA dimansuhkan. Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat anggota gabungan itu semalam, kata Syed Ibrahim tetapi beliau enggan menyatakan tarikh bantahan tersebut. Katanya, GMI akan mengumumkan tarikh tersebut dalam masa yang terdekat. GMI sebelumnya dilaporkan merancang demonstrasi besar tersebut Jun ini. |
Bismillahir-Rahmanir-Rahim..
Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.
0 comments:
Post a Comment