Posted on Tuesday, April 14 @ 13:52:46 MYT by Reformis
Oleh zihinTuan Guru Nik Abdul Aziz adalah seorang insan anugerah Allah. Tiada siapa boleh menidakkan kewarakan dan ketokohan beliau.
Terpanggil untuk memberi komen dan tazkirah kepada semua ahli pencinta Islam, saya cuba menulis sebagai tazkirah untuk kita bersama.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah seorang insan anugerah Allah. Tiada siapa boleh menidakkan kewarakan dan ketokohan beliau.
Atas sifat ini, karisma lelaki kecil bertubuh kurus ini mampu menarik minat sesiapa sahaja yang terselit secebis rasa untuk Islam.
Lalu tidaklah menghairankan bilamana sahabat taulan, pembesar budiman, orang jauh di rantauan serta artis nyanyian tertarik untuk mengenali dan bersama beliau.
Untuk pas barangkali itu adalah kemenangan moral yang cukup baik namun yang lebih utama mereka mahu membuka pintu hati untuk mendekati dan mempelajari Islam.
Memang terdapat hadith riwayat Imam al-Bukhari berkenaan Rasulullah SAW tidak melarang 2 orang jariah (hamba) yang menyanyi di dalam rumah Baginda SAW. Abu Bakr r.a begitu marah dengan perbuatan jariah tersebut namun, Baginda SAW membiarkan mereka.
Sekalipun hadith ini menunjukkan dengan jelas keharusan menyanyi (berserta syarat-syaratnya!). Tetapi itulah sahaja yang ada didalam sirah Baginda SAW. Beberapa hadith (sahih) yang lain tentang nyanyian adalah menunjukkan perkara yang hampir serupa.
Ini merujuk kepada nyanyian (yang cukup syaratnya) adalah sebagai HALWA TELINGA YANG DIBOLEHKAN UNTUK TUJUAN ALTERNATIF SAMBIL MEREHATKAN DAN MENTENTERAMKAN JIWA.
Tentu sekali berbeza dengan mereka yang menjadikan nyanyian itu sebagai satu jalan kehidupan yang diikuti bahkan sebagai jalan dakwah!
Tiada satu bukti pun dari pada hadith atau sirah yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menggunakan penyanyi dan penyair dalam menyebarkan dakwah seperti yang berlaku kini. Walhal masyarakat arab amat meminati lagu dan syair. Sehingga Imam Ibn Hajar Asqalani menyebut dengan jelas bahawa masyarakat arab amat suka menyanyi. Sehingga mereka akan sentiasa menyanyi sama ada di halaman rumah atau ketika bermusafir menunggang unta (Fathul Bari 9 /69).Begitu juga syair yang mereka puja, berlambakan di sekeliling kaabah.
Namun, dengan faktor sebesar ini pun, tidak juga Rasulullah SAW meletakkan penyanyi dalam wasilah dakwah Baginda SAW.
Saya juga menerima bahawa nyanyian itu harus selagi syarat-syaratnya mencukupi tetapi berpada-padalah. Letaklah penyanyi pada tahap mereka sahaja. Berilah ruang kepada mereka mendekati Islam dan BELAJAR Islam seluas-luasnya.
Mereka sudah begitu lama tenggelam di dalam dunia yang lagha. Ilmu agama entah bagaimana. Solat dan kewajipan agama menjadi tanda tanya.
Jangan kerana mereka mula bersama kita, maka kita angkat julang mereka melebihi sepatutnya. Seolah-olah mereka adalah ulama dan guru agama yang memandu kita.
Kita telah ada contoh di depan mata. Tentu sekali kita tidak lupa kepada akil hayy. Diplatform manakah dia meningkat naik sebegini rupa? Jawapannya di pentas ceramah pas.
Kitalah yang memberi gelaran 'ustaz' kepadanya sehingga dia kini memulangkan pula "saya tidak pernah meminta dipanggil ustaz"setelah dia terpalit pelbagai kontroversi dan gossip.
Setelah dia sudah berada pada maqam yang betul untuk kembali meraih kemasyhuran, maka dia mula lupa akan perjuangan yang telah mewarnakan kembali namanya yang telah terperosok jauh ke dasar.
Identiti berambut panjang itulah yang dibawa semasa menjadi penyanyi rock dulu (yang diharamkan oleh Tok Mat-Dato Muhamad Rahmat dulu ) kini menghiasi lagi dikepalanya dengan alasan yang lebih lunak… dakwah remaja.
Alangkah! Begitu sekali mudahnya Islam ditafsirkan menurut kehendaknya.
Wahai pencinta Islam, marilah kita sama-sama bermuhasabah agar apa yang kita lakukan ini adalah sesuai dengan Islam yang sempurna.
Inilah bukti Rasulullah SAW tidak mengkedepankan para artis/penyanyi pada zaman Baginda SAW itu – BENAR.
Kesimpulannya, 3 perkara perlu renungi oleh pencinta Islam
1- Rasulullah SAW tidak pernah menjadikan artis/penyanyi sebagai ikon yang dominan sepanjang hayat Baginda SAW. Yang ada hanyalah halwa telinga dan kerehatan setelah berpenat lelah untuk Islam.
2- Parti Islam menang dikelantan sejak 1990 tidak pernah bergantung kepada Artis. Begitu juga diTerengganu dan Kedah selepas itu.
3- Berilah ruang kepada artis untuk mendekati Islam seluas-luasnya tetapi cukuplah sekadar yang sesuai dengan kedudukan mereka.
0 comments:
Post a Comment