Bismillahir-Rahmanir-Rahim.. Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.

JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK SUPAYA SENANG AKU NAK MELAWAT DAN FOLLOW KORANG BALIK.. INSYA ALLAH.

Saturday, July 16, 2011

CINA SERTAI BERSIH, IBRAHIM KATAK PENAKUT

بسم الله الرحمن الرحيم

Masyarakat Cina Malaysia tidak takut lagi dengan demonstrasi

oleh Anthony Loke


13 JULAI – Tanggal 9 Julai 2011 membuka satu lembaran baru dalam proses pendewasaaan demokrasi di Malaysia. Puluhan ribu rakyat Malaysia melepasi segala rintangan sekatan polis dan ugutan kekerasan untuk berhimpun dan berarak demi satu matlamat bersama – sistem pilihanraya yang BERSIH.

Apa yang lebih signifikan dalam perhimpunan BERSIH 2.0 kali ini ialah ia bukan sahaja berlansung di Kuala Lumpur malah di berpuluh bandaraya di seluruh dunia di mana rakyat Malaysia menetap.

Pada hari tersebut, yang keluar berarak atau berhimpun tidak melihat dirinya sebagai orang Melayu, India, Dayak, Kadazan atau Cina tetapi sebagai rakyat Malaysia yang mahu memastikan kesuburan sistem demokrasi terjamin untuk generasi yang akan datang.



Mereka yang dipancut air dari truk FRU mahupun terkena gas pemedih mata akan menceritakan kepada anak dan cucu mereka dalam masa 20 atau 30 tahun akan datang bahawa “saya berada di sana!” dengan rasa penuh kebanggaan.

Stigma masyarakat Cina Malaysia

Namun, pada hemat saya, kejayaan terbesar pada 9 Julai ialah ia telah menghapuskan satu stigma lama di kalangan masyarakat Cina Malaysia iaitu demonstrasi dalam apa bentuk sekali pun, akan membawa kepada rusuhan kaum dan keadaan huru-hara.

Stigma ini sudah lama tertanam dalam minda masyarakat Cina Malaysia hasil daripada propaganda berterusan dari UMNO dan MCA bahawa masyarakat Cina akan menjadi mangsa paling teruk dalam keadaan rusuhan kaum.



Kononnya kedai-kedai milik orang Cina akan dibakar, orang Cina akan diserang dan dibelasah teruk dan akhirnya masyarakat Cina tidak dapat hidup dalam keadaan aman, kata mereka. Apabila keadaan politik tidak stabil, maka ekonomi negara akan terjejas dan ini tentulah akan menjejaskan kepentingan ekonomi masyarakat Cina yang banyak terlibat dalam sektor perniagaan.

Ini merupakan skrip lama daripada Unit Penerangan UMNO sejak berlakunya peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 dan disokong sepenuhnya oleh budak suruhan mereka, MCA.

Sudah tentu MCA menyokong skrip tersebut kerana ia telah berjaya memastikan BN terus berkuasa di Malaysia semenjak 1969 lagi dan mereka bolehlah mendapat sedekah daripada UMNO dalam bentuk jawatan-jawatan kerajaan.



Ingat, skrip inilah yang memenangkan BN dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum 1999 di ambang kebangkitan penentangan pengundi Melayu terhadap UMNO.

Mereka ingat skrip ini masih laku pada tahun 2011 dan mereka telah mengupah “kontraktor” baru yang bernama PERKASA untuk melaksanakan kerja-kerja ini.

Masih ingat apa yang dikatakan oleh Ibrahim Ali beberapa minggu lepas? Beliau “menasihatkan” orang Cina yang duduk di KL supaya membeli lebih banyak stok makanan dan beras sebelum 9 Julai dan sembunyilah di rumah pada hari tersebut kerana akan berlaku pertembungan di antara 2 kumpulan orang Melayu dan huru-hara akan tercetus.

“Tong sampah pun tak dirosakkan”

Tarikh 9 Julai datang dan pergi. Perarakan dan perhimpunan telah dijalankan secara aman. Yang menyebabkan rakyat yang berhimpun secara aman lari lintang-pukang ialah apabila FRU memancut air dan menembak gas pemedih mata dengan sewenang-wenangnya.

Tidak ada dua kumpulan yang bertembung seperti yang digembar-gemburkan oleh Perkasa. Yang ada, hanya sekumpulan kecil dalam lingkungan 300 orang yang menamakan diri mereka sebagai “Patriot” yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO. Tak apa, itu hak mereka berhimpun.

Perarakan dan perhimpunan tersebut berlangsung di beberapa kawasan yang sinonim dengan masyarakat Cina di Kuala Lumpur. Jalan Bukit Bintang, Jalan Pudu, Jalan Petaling adalah kawasan yang padat dengan kedai-kedai peniaga Cina.

Perarakan melalui kedai-kedai tersebut dan kaki lima menjadi tempat perlindungan kepada mangsa gas pemedih mata.

Adakah kedengaran mana-mana kedai di kawasan tersebut musnah teruk akibat “keganasan” oleh para demonstran? Jawapannya TIDAK! Tak ada satu kedai pun yang dilaporkan mengalami kerosakan teruk.
Malah saya berani mengatakan tong sampah pun tak ada yang rosak.

Ada pula demonstran yang membersihkan jalan selepas perarakan, atas semangat dan sifat “BERSIH”.
Ini satu aspek yang membuktikan kematangan pemikiran rakyat Malaysia. Para demonstran yang berarak hari itu tahu mengapa mereka berada di sana, Ia adalah kerana satu tuntutan yang sah untuk menikmati sistem pilihanraya yang adil dan bersih.

Mereka ingin membuktikan bahawa “tunjuk perasaan” merupakan satu manifestasi kebangkitan kesedaran hak politik rakyat secara aman. 9 Julai berjaya menghilangkan kebimbangan para peniaga terhadap demonstrasi jalanan.

Malah, yang membuka perniagaan mereka seperti biasa pada hari tersebut mendapat “durian runtuh” disebabkan pelanggan yang ramai.

Kalau rakan saya, Datuk Seri Ng YenYen mengatakan sektor pelancongan kehilangan RM100 juta pada hari tersebut, maka beliau patut menyalahkan pihak polis yang membuat sekatan jalan ke Kuala Lumpur pada hari tersebut sehingga ratusan ribu lagi “pelancong” dari seluruh negara tak dapat sampai ke ibu kota.

Ramai orang muda Cina Malaysia sertai Bersih 2.0

Dalam aspek yang lain pula, 9 Julai menampakkan penglibatan yang ramai dari pemuda-pemudi kaum Cina. Ini satu fenomena yang luar biasa dan cukup menarik.

Saya tahu ada yang mengambil cuti dan menaiki bas dari Johor Baru untuk datang berhimpun. Ada yang telah menulis “surat kepada editor” untuk menceritakan pengalaman mereka pada hari tersebut dan berasa selamat berarak bersama-sama dengan ahli-ahli PAS.

Fenomena inilah yang tidak dapat difahami oleh MCA. Mereka masih menggunakan skrip dan pendekatan generasi “radio dan televisyen hitam putih” era-1969 ke atas generasi “Facebook dan Twitter” era-2011!

Pendek kata, mereka telah ketinggalan zaman dalam memahami perubahan sosio-politik masyarakat Malaysia dan pemikiran anak muda. Tak apalah, biarlah Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai terus tidur dalam buaian!
Utusan Malaysia dan propagandis UMNO ingin menyembunyikan fakta bahawa perhimpunan Bersih 2.0 berjaya mengumpulkan rakyat pelbagai kaum. Mereka terus memainkan perang psikologi dan mendakwa kononnya PAS telah diperalatkan oleh DAP.

Mereka cuba menggambarkan bahawa yang ditangkap dan terhidu gas pemedih mata hanya orang PAS. DAP dan yang lain hanya memainkan “remote control” untuk memperkudakan ahli-ahli PAS. Ini satu permainan politik yang cukup kotor dan menjijikkan.

Faktanya, DAP memberikan sokongan penuh kepada perhimpunan Bersih 2.0 malah kepimpinan DAP mengetuai satu kumpulan perarakan seramai 3,000 orang yang berarak dari Pudu Plaza dan bercantum dengan kumpulan lain yang diketuai oleh Dr Hatta Ramli di Puduraya.

Sdr Lim Kit Siang dan saya pula menyertai kumpulan di Plaza Sentral yang sama-sama diserang gas pemedih mata di terowong Plaza Sentral dengan Tok Guru Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekeluarga, Datuk Ambiga dan kepimpinan PR dan Bersih yang lain yang dilarang memasuki Kuala Lumpur oleh pihak polis.

Setiakawan pelbagai kaum

Sebagai seorang pemimpin DAP, saya berasa amat terharu dan berterima kasih kepada pimpinan PAS atas semangat setiakawan dan keprihatinan mereka terhadap kumpulan perarakan kami di Pudu Plaza.

Pada malam 8 Julai, saya dan Sdr Vincent Wu (Penolong Setiausaha Organisasi Pusat DAP) telah dipanggil untuk perbincangan mengenai isu keselamatan di Pejabat Agung PAS bersama dengan Sdr Salahuddin Ayub, Sdr Dr Hatta Ramli, Sdr Dr Dzukefly Ahmad dan Sdr Kamarulzaman dari Pemuda PAS. Sdr Tian Chua juga berada dalam perbincangan tersebut.

Sdr Salahuddin Ayub menyatakan kebimbangan beliau kepada saya bahawa kemungkinan ada anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang akan sabotaj perarakan kami dari Pudu Plaza dan menjadikannya sebagai satu rusuhan kaum. Justeru, beliau menjanjikan bahawa PAS akan memobilisasi 200 anggota Unit Amal untuk berarak dengan kumpulan kami dari Pudu Plaza.

Hakikatnya, perarakan dari Pudu Plaza berjaya sampai ke Puduraya tanpa sebarang kekacauan dan provokasi. Dalam hal ini, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada PAS khususnya kepada anggota-anggota Unit Amal yang bersama kumpulan kami pada hari tersebut.
Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai telah melakarkan satu wadah baru dalam lanskap sosio politik Malaysia.

Sekiranya rakyat berbilang kaum boleh berarak dan berhimpun bersama-sama untuk satu tujuan dan matlamat yang diidami, maka tidak ada alasan mengapa kepimpinan pelbagai kaum dalam Pakatan Rakyat tidak boleh terus mara memimpin agenda perubahan untuk Malaysia dan mengembumikan Barisan Nasional dalam PRU ke-13 nanti.



Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.

3 comments:

Nas said...

menarik entri nih
kat tv satu haram pun susah nak tengok ade org cina buat demo
padahal ada gak
bukan seciput.. tp ramai
alahai.. media suke sgt sembunyikan fakta

Unknown said...

mampoeh la umno pasni !

Anonymous said...

kita kena gempur pilihanraya akan datang..

najib akan pertahankan piihanraya dengan apa cara sekalipun..aku cukup riso yg isu PATI tu akan jadi rakyat malaysia.dorang akan bagi kerakyatan...

tak caya tgkla patriot..dorang gunakan org asing.semua tu kena bayar...abis duit mak bapak angpa..sedarla..jgn smpi kerakyatan malaysia dimiliki oleh pati...