Bismillahir-Rahmanir-Rahim.. Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.

JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK SUPAYA SENANG AKU NAK MELAWAT DAN FOLLOW KORANG BALIK.. INSYA ALLAH.

Thursday, August 6, 2009

TAK FAHAM PERANAN WASI PUNCA ANAK HILANG HARTA

Bismillahirahmannirahim..

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


Pemegang amanah mesti kembalikan pusaka selepas pemiliknya baligh

TIDAK ramai tahu bahawa pemegang amanah ialah penjaga harta seseorang yang tidak berkeahlian mempunyai harta atau tidak berkeupayaan mengurus dan mentadbir hartanya sendiri seperti kanak-kanak dan orang tidak siuman. Kanak-kanak termasuk dalam tidak berkeahlian disebabkan belum mencapai umur baligh serta bawah umur atau kurang upaya.

Akibat ketidakupayaan kanak-kanak mengurus dan mentadbir harta, penjaga harta dilantik sebagai pemegang amanah atau wasi demi memeliharanya sehingga mereka 18 tahun.

Undang-undang dan hukum syarak menetapkan bapa ialah penjaga hakiki pertama dan utama bagi harta anak yang belum dewasa. Hak penjagaannya ialah memastikan dan memelihara harta itu dan ia tidak berkuasa menjual atau membuat transaksi terhadap harta melainkan jika dibenar mahkamah apabila memenuhi syarat tertentu seperti menanggung nafkah kanak-kanak berkenaan.



Apabila bapa meninggal, hak di sisi undang-undang bagi menjaga harta anak itu mengikut keutamaan seperti ditentukan Seksyen 89 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003:

a) Datuk lelaki sebelah bapa;

b) Wasi (pemegang amanah) yang dilantik menurut wasiat bapa;


c) Wasi kepada wasi bapa;

d) Wasi datuk lelaki sebelah bapa;

e) Wasi kepada wasi datuk sebelah bapa.

Dengan syarat wasi Islam, dewasa, siuman dan boleh dipercayai. Bapa sebelum meninggal boleh dalam wasiatnya melantik orang yang layak termasuk ibu kanak-kanak sebagai pemegang amanah. Apabila bapa meninggal tanpa wasiat, pihak berkewajipan melantik penjaga harta kanak-kanak adalah terletak ke atas mahkamah. Dalam hal ini, ibu boleh dilantik sebagai penjaga oleh mahkamah selepas mengambil kira kebajikan kanak-kanak dan pelantikan itu juga boleh dibuat melalui wasiat si bapa.

Dengan kata lain, jika bapa meninggal, orang yang berhak menjadi pemegang amanah bagi harta kanak-kanak belum dewasa ialah melalui wasi wasiat bapa atau pelantikan mahkamah. Menurut kitab fiqh Wahbah al-Zuhaili, bagi orang tidak berkeahlian mempunyai harta, bapa berkuasa (wali) mengurus dan mengawasi hartanya bagi menjaga dan membuat pelaburan. Ini mendapat kata sepakat keempat-empat mazhab. Perselisihan pendapat hanya mengenai siapa yang harus menjadi wali harta orang yang tiada kelayakan selepas kematian bapanya.

Ulama Hanafi berpendapat, kuasa wali dipegang bapa, kemudian amanahnya (wasi); datuk, kemudian wasinya; kadi dan kemudian wasinya. Ulama Maliki dan Hambali berpendapat kuasa wali dipegang bapa, kemudian wasinya, kadi atau pemangkunya. Jika tiada, tugas ini dijalankan sekumpulan Muslimin.

Ulama Shafie berkata, kuasa wali ialah bapa, datuk, kemudian dipegang wasi orang lain selepas mereka, kemudian kadi atau pemangkunya. Dengan kata lain, pandangan ulama Shafie agak berlainan dalam mendahulukan datuk daripada wasi bapa kerana datuk adalah seperti bapa lantaran kasih sayang, belas kasihan dan simpatinya seperti bapa. Sebab itu sabit baginya kuasa wali perkahwinan. Kuasa perwalian ke atas harta tidak sabit selain mereka seperti saudara lelaki, bapa saudara sebelah bapa dan ibu kecuali dengan wasiat bapa atau kadi.

Kuasa perwalian ini juga akan berkekalan sehingga kanak-kanak di bawah penjagaan itu sampai ke tahap umur matang. Persoalannya, sekiranya umur kanak-kanak itu matang kemudian menghidap penyakit gila atau bodoh kerana membazirkan harta dan seumpamanya, apakah perwalian kembali semula ke atasnya (wasi)?

Menurut pendapat Shafie dan Hanafi, kuasa perwalian ini kembali kepada orang yang menjadi walinya sebelum kanak-kanak baligh kerana hukum berkisar di sekitar ilatnya dari segi wujud dan tidak wujud. Apabila ada ilat perwalian, wujud wali. Jika kanak-kanak menjadi bodoh selepas baligh, wali kanak-kanak itu mengikut pendapat jumhur ulama ialah kadi atau mereka yang yang ditugaskan olehnya kerana menjaga dan memikirkan kemaslahatan harta manusia (kanak-kanak) adalah tugas yang sesuai bagi kadi.

Terdapat persoalan juga berkaitan had kuasa wasi dalam menguruskan harta kanak-kanak sama ada boleh menjual harta (alih atau tak alih) atau tidak boleh membuat transaksi harta berkenaan. Mengikut Enakmen Keluarga Islam (Negeri Islam) 2003, Seksyen 90(1) dan 90(2) hanya harta alih saja boleh dijual.

Bagi pihak yang mentadbir wajar mengingati dia hanya pentadbir, bukan mempergunakan harta itu untuk kepentingan diri. Harta yang ditadbir milik anak yatim serta seksaan yang berat bagi orang yang memakan harta itu.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia


UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH.

1 comments:

Kyle Fahkrurazzi said...

Assalamualaikum...
Post saudara sangat-sangat berguna buat kajian dan honored project paper saya sebab sukar untuk mencari maklumat berkenaan dengan pemegang amanah di mana-mana sesarang. Apa yang menjadi tanda tanya saya ialah adakah 'standard of care' yang terpakai pada 'trustee under civil law' turut terpakai kepada pemegang amanah 'under sharia law'? ;dan adakah 'duty to invest, not to make secret profit, competition under civil law' juga terpakai kepada pemegang amanah 'under sharia law'?