Bismillahirahmannirahim..
Isra' Mikraj adalah antara proses kematangan kerohanian Rasulullah s.a.w
dalam menempuh perjuangan baginda. Ketika ini, seluruh tubuhnya dibalut
keletihan. Jiwanya dibungkus keresahan.
Letih, lesu dan resah gelisah yang berkubang di jiwa raganya dipendam
bersendirian saat mengenang apakah lagi malang nasib yang jatuh ke
atasnya bertimpa-timpa pada masa-masa yang akan datang.
Khadijah, saudagar wanita, penyokong sendi kekuatannya telah wafat. Abu
Talib, bapa saudaranya, tonggak perjuangan dan penampan kepada serangan
kafir Quraisy telah pun pergi meninggalkannya. Selama ini, rasa segan
terhadap Abu Talib dalam kalangan musyrikin itulah yang menyelamatkannya
daripada serangan yang berlaku akibat dakwah itu.
Bermodalkan kedudukannya sebagai anak saudara Abu Talib, maka tiada
sesiapa pun yang berani menyentuh baginda.Tetapi keadaan telah berubah
kini. Dengan kewafatan Khadijah disusuli pemergian Abu Talib, akar
tunjang dan tonggak kekuatan lambang keutuhan perjuangan dakwah baginda
telah hilang.
Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu
terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut
sebagai 'Tahun Kesedihan' ('amul huzni). Bayangkan, bagaimana baginda
dapat menempuh kehidupan ini bersendirian dengan Fatimah yang masih
kecil. Apalah sangat yang mampu dilaksanakan gadis sekecil itu melainkan
dengan menyapu najis unta yang dilumurkan ke atas kepala baginda ketika
sedang bersujud di depan Kaabah.
Allah maha besar! Allah maha berkuasa. Tidak sesekali Dia meninggalkan
kekasihNya dihimpit derita itu bersendirian. Sudahlah ketika kecilnya
dia kehilangan bapa ketika masih dalam kandungan, malah al-Amin juga
ditinggalkan oleh ibu dan datuknya ketika masih kecil.Kini, menjelang
dewasa, ketika dia diarahkan Tuhan untuk menyebarkan dakwah, maka dia
diuji dengan rasa bersendirian menanggung bebanan dakwah ini.
Bagi tujuan menghibur baginda, dan atas tujuan mengingatkan pertalian
perjuangan risalah ini yang ada kaitan dengan perjuangan nabi terdahulu,
maka itulah antara sebabnya kenapa baginda dijemput Tuhan ke langit
tertinggi.Isra' Mi'raj adalah suatu peristiwa yang teragung dalam bulan
Rejab, setahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat,
beramai-ramai ke Madinah.
Ertinya, Isra' Mi'raj adalah 'turning point', titik permulaan Islam mula
bertapak di Mekah, solat mula diisytiharkan sebagai suatu amalan dan
ketika itu hidup Muslimin penuh dengan riwayat sengsara dan gangguan
sehingga memaksa mereka mencari perlindungan di Madinah. Lalu, dengan
itu terbentuklah sebuah Negara Islam yang pertama di dunia.
Ini kerana, sejurus kembalinya baginda membawa khabar berita, gambaran
peristiwa langit, maka baginda dicela Abu Lahab, bapa saudaranya
sendiri.
Bermula saat itu, tekanan ke atas baginda telah bermula. Itu perkara
yang pertama.
Yang kedua, Isra' Mi'raj adalah satu 'turning point' di mana Islam itu
terasas dengan begitu kukuh oleh kerana telah termaktub suatu resolusi
dari langit mengenai kefardhuan solat yang mana sebelum itu, solat belum
lagi diperkukuhkan sebagai suatu amalan yang wajib.
Tiga pihak, dua kejadian
Resolusi mengenai kewajipan solat itu melibatkan tiga pihak, dua
kejadian.
Pihak yang terlibat dalam hal 'mewajibkan' solat itu ialah Allah s.w.t,
Nabi Musa a.s yang berunding dengan Rasulullah s.a.w dan hasil
ulang-alik Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah s.w.t untuk mengurangkan
jumlah bilangan solat fardhu tersebut.
Selain itu, dua peristiwa yang menyebabkan timbul rasa ghairah supaya
diwujudkan suatu mekanisme perhubungan langsung antara manusia dengan
penciptaNya, ialah kerana baginda telah menyaksikan gelagat para
malaikat yang telah bersujud, rukuk kepada Tuhan dengan lain-lain
perbuatan yang mirip kepada solat hari ini.
Peristiwa kedua, ialah ketika Nabi Muhammad s.a.w sendiri diangkat
menjadi imam untuk mengerjakan solat di mana para makmum di belakangnya
adalah nabi-nabi yang terdahulu sebelum baginda.Lalu, terfikir di benak
baginda, alangkah baiknya jika diwujudkan suatu mekanisme yang
menyebabkan manusia sentiasa dapat berhubung dengan Tuhannya lewat
ibadat tersebut.
Keghairahan Rasulullah s.a.w mengenai solat itu tergambar ketika hampir
tiba saatnya baginda wafat. Di bibir baginda hampir tidak lekang
menyebutkan, "Ummati.. as-Solah.." (Umatku.. sembahyang.. )
Betapa tidak! Nabi Muhammad s.a.w telah naik ke langit menyaksikan
malaikat bersujud hingga baginda tentang bagaimana mahu umatnya bersujud
sebegitu rupa dengan tempoh lama dan penuh semangat.Tetapi, amalan berat
seperti solat ini telah diminta dikurangi oleh Musa a.s apabila nabi itu
teringatkan pengalaman Bani Israel yang berat menerima perintah solat
tersebut.
Sebab itu, kita dapatlah memahami kenapa sampai begitu tebal sekali
baginda mengingatkan hal tersebut kepada umatnya berhubung solat, hatta
ketika hampir wafat sekali pun. Tidaklah disebut hal zakat, puasa dan
lain-lainnya, melainkan solat itulah yang kerap diperingatkan baginda.
Pembebasan Palestin
"Maha suci Allah yang membawa hambaNya pada malam hari dari Masjidil
Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa (Palestin) yang diberkati
sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami.
Sesungguhnya Allah juga yang amat mengetahuinya. " (Surah al-Isra': 1)
Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diarah Jibril agar
berhenti, bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di
mana Rasulullah s.a.w akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi
Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s
dilahirkan).
Unsur kesengajaan memang wujud di sini walaupun dalam nas di atas, hanya
perihal Israk sahaja yang dihebahkan Tuhan. Langsung sahaja Tuhan
menyebut tempat berlepas Rasulullah s.a.w itu dari Masjidil Aqsa yang
kini berada dalam tahanan Yahudi Zionis.
Seolah-olah Tuhan mahu beritahu kita sesuatu, apakah tindakan kita untuk
membebaskan Masjid al-Aqsa? Sebagai Muslimin individu yang terhad
kuasanya, kita mungkin boleh diampunkan dengan sebab kita telah
mengeluarkan wang ringgit untuk membantu seadanya, termasuk menggesa
negara berbuat sesuatu tanpa melibatkan PBB.
Yang patut menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak ialah para pemimpin
negara Islam yang tunduk berdiam diri dan hanya bertawakal kepada PBB
untuk menyelesaikan kemelut berkenaan. Syahadan, mungkin tak perlu
diletakkan perihal mi'raj ke langit oleh sebab langit itu tiada nama
yang khusus seperti halnya di bumi. Tapi, sengaja disebutkan Masjidil
Aqsa guna menyentuh hati nurani Muslim agar peka ke atas pergolakan di
sana yang berombak dengan lautan darah dan membadai dengan air mata.
Pada zaman ini, kita boleh saja menaiki pesawat terbang ke udara.
Perihal naik ke udara itu tidak perlulah ditekankan sangat sebab kawasan
langit dan laluan udara tempat laluan pesawat itu tidak penting sangat
untuk diketahui.Yang penting diketahui adalah tempat di mana pesawat
kita mahu berlepas (departure) dan tempat di manakah pesawat itu bakal
mendarat (landing). Ertinya, terbang ke awan itu sudah diketahui umum,
tapi yang diperkirakan orang ketika mahu berpergian ke mana-mana ialah
di tempat mana pesawat mereka mahu berlepas dan di tempat mana ia akan
mendarat.
Sebab itu, kita jangan hairan kenapa nas itu tidak menghebahkan soal
mi'raj, sebaliknya cuma menyebut tempat berlepas ketika Isra' (berjalan
malam). Tuhan menyebutkan Masjidil Aqsa itu bererti, tempat itu amat
penting dan bernilai.Sebagai termaklum, selepas peristiwa Isra' Mi'raj,
solat difardhukan. Tempoh daripada kisah itu hingga penghijrahan ke
Madinah memakan masa selama setahun. Dan, ketika di Madinah juga,
Muslimin masih berkiblat kepada Masjidil Aqsa.
Maka, sebelum mendapat arahan bahawa Muslimin wajib solat fardhu lima
waktu, Nabi Muhammad s.a.w diminta 'berkenalan' terlebih dahulu dengan
kiblat pertama kita di Baitul Maqdis itu, sebuah daerah kelahiran Nabi
Isa a.s dan tempat Nabi Musa a.s menempatkan Bani Israel dalam sebuah
negara merdeka dalam riwayat-riwayat terakhir perjuangan dakwahnya.
Maka, sejurus tibanya baginda ke Mekah, ketika itulah bermulanya solat
dengan kiblat terarah ke Masjidil Aqsa; kiblat pertama yang mana Nabi
Muhammad s.a.w telah diperkenalkan terlebih dahulu dengannya sebelum
ini.Seolah-olahnya, sebelum menerima perintah solat yang wajib itu,
Tuhan juga mahu berbicara kepada kekasihnya, "Inilah nantinya yang akan
menjadi kiblat umatmu kelak!"
Mirip kisah tarbiyah Musa - Khidhir
Perjalanan kerohanian Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril a.s itu mirip
kepada tarbiyah Khidhir a.s ke atas Musa a.s dalam surah al-Kahfi. Dalam
perjalanan, ada saja penglihatan yang terbentang dan pengajaran yang
baginda lihat.Di riwayatkan bahawa baginda telah menyaksikan golongan
yang sedang bertani dam terus menuaikan hasil pertaniannya.
Baginda juga menyaksikan tempat berbau harum iaitu bau kubur Masyitah
(tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang
dibunuh Firaun, kaum sedang memecahkan kepala, kaum yang menutup
kemaluan dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan yang memakan
daging mentah berbau busuk.
Rasulullah dibawa ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan
nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim yang
sedang berada di Baitul Ma'mur bersama beberapa kaumnya.
Rasulullah s.a.w juga melihat golongan yang sedang menanggung satu
bebanan.
Ketika bebanan itu berat, mereka menambah lagi bebanan itu sehingga
mereka tidak terdaya lagi menanggungnya.
Demikian iktibar ke atas penguasa yang tidak kuat menanggung amanah
rakyat, tapi masih sanggup lagi menanggung amanah rakyat yang akhirnya
menyebabkan mereka menderita azab yang parah di akhirat kelak.Demi
sesungguhnya, iktibar dan pengajaran Isra' Mi'raj ini tak akan sampai
tamat diulas kerana falsafahnya sangatlah kaya sekali sehinggakan kita
tidak akan jemu-jemu meneliti kisah ini.
Sebuah kisah yang sarat dengan inti pengajaran dan padat dengan iktibar
khususnya kepada pemerintah yang masih enggan menginsafi segala
kejahatan yang dilakukannya selama ini sehingga mengundang musibah besar
ke atas rakyatnya pula.
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
Bismillahir-Rahmanir-Rahim..
Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.
0 comments:
Post a Comment