Bismillahir-Rahmanir-Rahim.. Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.

JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK SUPAYA SENANG AKU NAK MELAWAT DAN FOLLOW KORANG BALIK.. INSYA ALLAH.

Friday, June 19, 2009

Hamba Yang Angkuh

Masih lagi berlegar di dalam kepalaku fiil ketua jabatan yang menjadi moderator untuk memberi penilaian tesisku. Pantang dicuit sedikit, cepat betul melatah. Tidak boleh ada manusia memberi pendapat yang berbeza. Semua pendapat salah kecuali pendapatnya. Sungguh angkuh. Memanglah dia berjaya menjawat jawatan tertinggi, semua staff terpaksa patuh dan tunduk padanya. Mentang-mentanglah ada pangkat Prof. Dato’ Dr., seperti sudah memberikannya lesen untuk menidakkan keupayaan dan pendapat orang lain. Sentiasa mengugut dengan jawatan yang dimiliki, malah sering mencari pasal dengan pensyarah lain di fakulti tersebut. Hebat. Kurang ajar. Mungkin inilah ajaran bersama yang dibawa pulang apabila belajar di luar negeri dahulu. Bukan hanya ilmu yang dibawa pulang, tapi lengkap dengan cara hidup Barat yang sememangnya telah rosak itu turut dibawa sama. Orang Barat memang dah rosak. Tapi masyarakat kita masih lagi mengagung-agungkann ya. Menganggapnya sebagai satu manifestasi terbaik untuk menjalani kehidupan.

“Sudah banyak aku melalut ni.” Berbalik pada pensyarah tadi yang tidak habis-habis menyerangku dengan soalan-soalan dan ulasan yang amat pedas sehingga menghangatkan telingaku yang sudah tersedia panas. Penghawa dingin yang selalunya bisa membuat pelajar menggelatuk kesejukan sudah tidak dapat menghilangkan rasa panasku. Aku juga naik hairan. Bukannya apa, walaupun kau seorang pensyarah yang mempunyai pangkat, tapi tingkahmu seperti orang di hutan yang tidak beradab. Jika tarzan di hutan tidak mengetahui protokol kehidupan, kita sedia maklum bahawa mereka tidak pergi ke sekolah. Hanya alam yang menjadi guru. Tetapi seorang professor yang belajar tinggi-tinggi, masih tidak mengerti adat sopan rakyat Malaysia. Rambut sudah bertukar putih, namun sayang usiamu terbazir begitu sahaja. Tidakkah kau mengambil apa-apa pelajaran dalam hidupmu sehingga sentiasa memandang sinis pada orang di bawahmu. Kata orang ikutlah resam padi, makin tunduk makin berisi. Tapi kau seolah tidak mengerti bahawa hidup ini bagaikan roda yang sering berputar pantas. Tanpa kita sedari kadangkala kita di atas, dan tiba-tiba pula kita boleh menjunam ke bawah. Dengan angkuhnya, kau menyangkal semua hujahku. Kau katakan semua itu karut. Lalu kau keluarkan kenyataan yang sangat-sangat tidak masuk akal bagaikan cuba menegakkan benang yang basah. Walaupun benang yang basah itu tak mungkin ditegakkan, dengan kuasa yang ada kau masih menyatakan benang yang basah itu tetap akan tegak berdiri. Sudah tentu hujahmu itu tidak dapat kuterima. Lalu kukemukakan fakta sehingga dipersetujui hampir seluruh isi dewan. Menyedari kekalahanmu, dengan begitu angkuh kau mengugutku agar diam dan menerima pendapatmu atau aku akan gagal untuk tesisku. Aku pasrah. Sudah tak berdaya aku menanggungnya. Selama ini sudah banyak yang kuhadapi dan semua rintangan itu dapat kutempuhi dengan sabar. Biarlah manusia yang angkuh ini berasa dia telah menang. Biarlah aku mengalah demi segulung ijazah yang akan kuterima sebagai tanda kemenanganku selama ini.

Sudah sejam aku duduk membisu di dalam pondok di hadapan Tasik Varsiti ini. Lima puluh meter dari situ dapat kulihat Kompleks Perdana Siswa. Pusat pentadbiran universiti dan kegiatan pelajar itu selalu sibuk. Masih kuingat dua tahun lepas, aku dan rakan-rakan mengadakan pertunjukan Silat Olahraga untuk Hari Ko-Kurikulum di universiti ini. Penuh dataran dikelilingi pelajar lain untuk menyaksikan persembahan kami. Sungguh manis. Sesekali senyum terukir di bibirku. Masih ada juga kenangan manis di sini. Oh! Aku masih belum terlupa tentang perilaku pegawai perubatan semasa aku menjalani praktikal di sana sebagai seorang jurutera bioperubatan.

Sungguh aku terkejut melihat perangai doktor dan jururawat yang bekerja di hospital tersebut. Walaupun tidak semua, tapi majoritinya sungguh mengecewakan. Aku sendiri pun tidak tahu, mungkinkah menjadi seorang doktor semestinya bersikap angkuh atau sifat itu hadir setelah berpakaian kot putih beserta stetoskop yang terletak di leher. Ataupun mereka berasa lebih tinggi dari orang lain kerana menganggap diri sudah terlalu pandai dan berstatus lebih tinggi. Masih kuingat satu insiden yang berlaku sewaktu aku praktikal dulu. Berdesing telinga aku sehingga hari ini masih terasa.

“Hoi, jangan usik mesin x-ray itu. Mahal tahu tak. Kalau rosak siapa nak bayar. Kalau praktikal buatlah cara paraktikal. Jangan nak tunjuk pandai. Apa budak-budak ni buat dalam bilik ni. Sudah, keluar.” Kalau diikutkan hati mahu saja aku menempelak doktor itu semula. Tapi dengan cepat kawanku menarikku keluar. Adakah mereka fikir kami semuanya budak ingusan yang tidak mengerti apa-apa tentang mesin tersebut. Ketahuilah bahawa kami lebih memahami mesin tersebut daripadamu doktor. Dulu sewaktu latihan industri, kamilah yang memasang, melakukan servis dan penyelenggaraan. Itu pun belum sempat aku menyentuh mesin fluoroskopi di bilik angiografi itu. Baru lihat saja sudah diherdik sebegitu. Itu belum lagi perangai pelajar-pelajar perubatan yang baru mengikuti kursus ini. Aku hairan sungguh melihat mereka ini. Baru masuk tahun pertama, sudah berlagak bagus sedangkan kami pelajar tahun akhir kejuruteraan bioperubatan dipandangnya hina seperti habuk yang terlekat di hamparan. Berbaju kemeja, bertali leher, berkasut kulit dan memandu kereta mewah, adakah itu ukuran untuk menjadikan diri seseorang angkuh. Baru sahaja mengerti apa itu anatomi dan fisiologi, istilah-istilah perubatan sudah membuatkan mereka itu lupa diri. Bagaikan hilang sifat sopan-santun dan budi bahasa ketimuran yang telah tersemai selama ini.

Tersedak aku secara tiba-tiba. Air dari botol minuman itu kuteguk perlahan. Mengertilah aku kini kenapa manusia boleh bersifat angkuh dan bongkak. Patutlah Firaun boleh menjadi seangkuh itu. Yalah, bukankah dia berjaya membina piramid yang menjadi satu daripada tujuh keajaiban di dunia ini. Dia menduduki strata teratas dalam hierarki pentadbiran. Bayangkan setiap batu besar yang digunakan mengikut spesifikasi yang betul dan tepat. Alat-alat yang digunakan pula adalah alat pertukangan biasa seperti tukul batu, baji dan pahat tembaga. Lihat saja Piramid Khufu yang dibina pada tahun 2600 S.M. oleh Firaun tanpa menggunakan teknologi maju seperti kini. Pada ketika itu roda masih belum terhasil, malah peralatan besi juga belum wujud ketika itu. Hanya berbekalkan pengetahuan matematik sahaja mereka bisa mengukur setiap blok batu dengan perkiraan yang tepat. Blok batu itu pula hanya dibina dengan menggunakan tanah liat yang dicampur sekam. Itu belum lagi tentang bagaimana blok batu yang seberat 2540 kilogram itu diangkat sehingga ke paras 146.6 meter dari tanah. Hanya keajaiban sahaja yang membolehkan piramid itu terbina, sememangnya Firaun hebat pada ketika itu. Menjadi hebat sehingga menjadi terlalu angkuh dan mengakui dirinya sebagai Tuhan, anak kepada Tuhan Matahari, Amon-Re. Begitulah bermulanya Tamadun Mesir oleh Raja Menes yang berjaya menyatukan Mesir dengan ibu kotanya di Memphis akhirnya lenyap ditelan zaman. Tamadun yang sebegitu hebat juga akhirnya runtuh kerana angkuhnya Firaun dan sejarah manusia akan sentiasa berulang. Tidak kira pemimpin ataupun orang bawahan, sikap angkuh itu masih tidak dapat dikikis dan itulah yang akan menjadikan titik tolak kepada kehancuran.

Masih teringat lagi kata Ustazah Samsun ketika aku masih lagi di bangku sekolah. Katanya seorang Islam itu tidak akan masuk syurga jika terdapat sebesar zarah pun rasa riak di dalam hatinya. Biasanya orang berilmu berlagak dengan ilmunya, orang yang alim berlagak dengan amalnya dan orang yang berkuasa berlagak dengan kuasanya. Ingatlah, tidak semestinya kita perlu berlagak atau angkuh untuk menunjukkan status atau ketinggian kita dalam masyarakat. Angkuh adalah satu sifat yang sangat berbahaya. Masihkah kita ingat kenapa Iblis dibuang dari syurga, semuanya kerana angkuh. Tidak mahu sujud pada Nabi Adam yang dicipta dari tanah sedangkan dia tercipta dari api. Mahukah kita terjerumus ke lembah hina hanya disebabkan sifat angkuh? Wahai hamba Allah jawablah kau dengan jujur.

Wallahualam..

(lily)

0 comments: