Bunyinya memang aneh tetapi perkara ini memang benar berlaku di Kanada. Rata-rata penduduk di sana gemar mempelbagaikan masakan dengan sajian anjing laut.
ANJING laut telah diburu sebagai sumber makanan sejak berzaman-zaman lamanya di St. Lawrence, Teluk Kanada. Kembali menerima sambutan dalam kalangan pencinta kulinari eksotik, menu anjing laut kini mula mendapat perhatian di restoran mewah apabila tukang masak kota besar menghidangknnya bersama buah epal sebagai menu utama.
Masakan itu juga dijamah dengan hidangan sos coklat atau koko.
Masakan tanpa lemak dan kaya dengan zat besi dan Omega 3 itu menjadikan anjing laut dilihat sebagai sumber nutrisi yang utama dan menyihatkan.
Sejak dahulu lagi, anjing laut telah dimakan secara mentah sebagai makanan tradisi oleh masyarakat pribumi Inuit.
Anjing laut juga merupakan makanan tradisi bergenerasi lamanya oleh golongan pemburu di timur Kanada yang menyediakannya secara panggang atau sesekali disediakan dengan sos merah.
Pada masa sekarang, anjing laut dihidangkan dengan nilai asli ala carte yang menjadi kegemaran pembuat makanan.
Kebanyakannya berbahasa Perancis dan terdiri daripada penduduk daerah Quebec yang mana terdapat budaya pencinta makanan yang pelbagai.
Ramai penggemar yang amat menyukai rasanya menyifatkan makanan itu mempunyai rasa seperti daging itik atau anak lembu.
"Tekstur dan badannya sangat unik," jelas seorang tukang masak Perancis di restoran Montreal's Au Cinquieme Peche, Benoit Lengnet.
Anjing laut muncul sebagai menu di restoran itu sejak dua tahun setengah yang lalu.
Namun, pada musim memburu yang amat singkat bermula Mac hingga hujung April, anjing laut menjadi hidangan istimewa bermusim. Ia bukannya sepanjang masa tetapi hanya untuk beberapa minggu dalam setahun sahaja.
Bagaimanapun, dengan adanya pelbagai kontroversi kerana aktiviti memburu anjing laut sentiasa dikecam oleh para pencinta alam sekitar di dalam dan luar negara, ia sedikit sebanyak menjejaskan populariti menu anjing laut dalam kalangan pencinta alam.
Dalam beberapa minggu lagi, Parlimen Eropah akan mengundi untuk memboikot terus kemasukan sebarang produk yang berasaskan daging anjing laut di negara-negara Eropah.
Penyumbang utama kemasukan daging haiwan tersebut adalah Kanada. Negara itu mula memburu pada 15 April bertempat di pantai timur iaitu laut Newfoundland dengan anggaran hasil buruan kira-kira 338,000 ekor.
"Sudah seminggu menu anjing laut mula dijual di sini dan hampir separuh daripada permintaan menu utama di restoran ini adalah menu anjing laut," beritahu Lengnet, yang menyediakan hidangan anjing laut dengan minyak truffle.
Sementara itu, Ketua Tukang Masak dan pemilik restoran the Bistro du Bout du Monde Luc Jomphe berkata, anjing laut merupakan produk jualan tempatan yang mendapat sambutan di sini.
Beliau merupakan pelopor dalam seni memasak berasaskan anjing laut dan Jomphe memulakannya sejak lima tahun lalu di Iles-de-la-Madelein e.
Bukti kejayaannya semakin dapat dilihat dan terus meningkat.
Salah satu daripada keistimewaannya adalah sajian anjing laut yang dihidangkan seperti dada itik yang disertakan dengan sos coklat atau koko beserta sayur-sayuran.
"Ia mengejutkan tetapi amat bagus. Dagingnya terasa ringan dan tidak seperti rasa ikan," kata seorang penggemar daging anjing laut, Maude.
Namun, trend ini belum lagi mencapai tahap kebiasaan kerana jumlah restoran yang menyediakan hidangan anjing laut tidak bertambah dengan drastik.
Pengeksportan daging anjing laut kekal sederhana kerana aktivis pelindungan haiwan menyifatkannya amat kejam.
Kerajaan Kanada membalas dengan menyifatkan pemburuan yang sudah berusia 350 tahun itu penting bagi lebih 6,000 nelayan dari utara Atlantik. Malah negara itu juga bergantung kepada pemburuan anjing laut lebih 35 peratus daripada sumber pendapatan.
Dalam pada itu, Vigneau berkata, dia merupakan satu-satunya individu yang membuka kedai daging di Kanada yang menyediakan daging anjing laut.
Menurutnya, kedai daging miliknya itu menyediakan segala cadangan menu termasuk kepala anjing laut diselaputi dengan epal, anggur dan oren.
Selain itu, lemak daging anjing laut dan dagingnya pula disalut dengan kacang, sosej anjing laut dan filet anjing laut.
"Ia menuju ke arah peningkatan permintaan yang berskala besar.
"Permintaan semakin meningkat dan sejak beberapa tahun yang lalu, kita telah menolak banyak permintaan," kata Vigneau. - AP
2 comments:
Kira-kira daging Anjing Laut itu menurut Islam hukumnya halal atau haram ya. Kemudian, apakah anjing laut itu termasuk dalam kategori Anjing (dog) juga, kalau iya berarti dagingnya haram dong....
Rasanya Haram .. Alasannya ia hidup dua alam.. wallahualam.
Post a Comment