Bismillahir-Rahmanir-Rahim.. Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.

JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK SUPAYA SENANG AKU NAK MELAWAT DAN FOLLOW KORANG BALIK.. INSYA ALLAH.

Friday, July 3, 2009

Anak Perempuan



Salam,

Masih ingat lagi tentang masyarakat Jahiliyah yang kita belajar satu ketika dahulu? Dalam masyarakat Jahiliyah, memperoleh anak perempuan merupakan satu musibah kepada keluarga tersebut. Apa tidaknya, pada waktu itu anak perempuan dianggap hanya mendatangkan sial dan memalukan keluarga. Lantaran itu, ramai ibu bapa yang merasa terhina dengan anugerah ini, bahkan sehingga ada yang sanggup membunuh dan menanam hidup-hidup demi menjaga maruah keluarga.

Malangnya, pemikiran orang-orang zaman sekarang pun masih sama seperti mereka di zaman Jahiliyah dahulu. Pernah saya mendengar perbualan seorang bapa bertanyakan jantina bayi yang baru dilahirkan oleh isterinya di wad bersalin. Setelah dimaklumkan nurse bertugas yang si bapa dikurniakan bayi perempuan, saya terdengar nada suaranya sedikit mengeluh, "Oh.. perempuan lagi..." Saya yang mendengar, sedikit terkilan, seolah-olah si bapa kecewa dengan anugerah Allah SWT.

Saya juga pernah menonton video kelahiran seorang bayi perempuan yang rupa parasnya menyerupai ular. Kononnya ibu yang


melahirkan bayi tersebut amat-amat berkehendakkan bayi lelaki kerana telah memiliki 2-3 orang anak perempuan sebelum kelahiran anak yang ini. Semasa membuat pemeriksaan kandungan, doktor telah memaklumkan yang si ibu mengandungkan bayi perempuan dan berita itu sangat mengecewakannya. Bila rakan-rakan bertanya jantina bayi yang dikandung, si ibu terus menjawab yang dia sedang mengandungkan anak ular. Subhanallah! Bila tiba saat kelahiran, memang si ibu telah melahirkan seorang bayi perempuan yang menyerupai ular. Saya kurrang pasti kesahihan berita ini, tetapi menurut video yang ditonton, peristiwa ini terjadi di negara Timur Tengah.

Pada zaman ini, menjaga anak perempuan terutamanya pada peringkat usia remaja merupakan satu cabaran yang besar buat ibu bapa. Banyak gejala negatif yang melanda kehidupan anak gadis masa kini, menjadikan kita semakin bimbang dengan keselamatan diri mereka. Apakah benar kehadiran dan kurniaan ini menjadi bebanan pada ibu bapa? Atau cabaran kepada ibu dan bapanya?

Satu ketika dahulu, kita sukar melihat anak-anak gadis berjalan-jalan di pekan kecil atau pun di kota besar. Saya masih ingat, ayah sering menemani ke mana saja saya pergi, boleh dikatakan ayahlah 'body guard' dan ayah jugalah 'chauffeur' ke mana saja saya pergi. Memang agak sukar kita terserempak remaja perempuan berpimpinan tangan di bandar-bandar, di pusat membeli belah atau di mana sahaja. Kini, yang bertudung tanpa segan silu mempersendakan tuntutan agama sekali gus mempersendakan perintah Allah Taala. Yang tidaak bertudung pula, sama sahaja… tiada yang kurang dan tiada yang lebih. Berani lakukan apa sahaja demi mengikut jiwa remajanya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka."

Seorang lelaki bertanya, "Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?"

Sabda baginda, "Juga untuk dua anak perempuan."

Seorang lelaki berkata, "atau untuk seorang wahai Rasulullah?"

Rasulullah SAW menjawab, "Juga untuk seorang." (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a., dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang maksudnya, "Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Sesungguhnya perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka. Daripada hadis-hadis di atas, dapat kita pelajari bahawa kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud, "Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita." Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan dan isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah SWT.

Pernahkah anda mendengar, kata orang tua, ‘menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’? Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.

Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka, Allah Taala dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.

Nah! Masih tidak berbangga memiliki anak-anak perempuan?

Renung-renungkan!

0 comments: