Bismillahirahmannirahim.
Ayat Al-Quran Membenteng Sihir
Apabila kita membicarakan mengenai sihir, kebiasaannya kita akan berdepan dengan tiga golongan manusia, iaitu mereka yang tidak mempercayai kewujudannya, mereka yang terpengaruh serta menggunakan khidmat ahli sihir dan mereka yang terlalu takut dengan kesan ilmu sihir sehingga tidak mengetahui apakah tindakan yang perlu dilakukan bagi melindungi diri mereka daripada terkena sihir.
Apa itu sihir? Menurut Ibnu Qudamah Al-Maqdisi di dalam al-Mughni, sihir adalah ikatan, jampi, perkataan yang dilontarkan secara lisan mahupun tulisan, atau melakukan sesuatu yang mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang terkena sihir tanpa berinteraksi langsung dengannya.Sihir ini mempunyai hakikat di antaranya ada yang boleh membunuh, menyakiti, membuat seseorang suami tidak boleh bersama isterinya atau memisahkan pasangan suami isteri, atau membuat satu pihak membenci lainnya atau membuat kedua-dua belah pihak saling mencintai.
Amalan sihir ini sebenarnya mempunyai hubung kait yang rapat dengan alam jin dan syaitan. Tukang sihir, pawang, dukun atau bomoh menjalankan ilmu hitamnya menerusi pertolongan jin dan syaitan. Ahli sihir perlu melakukan amalan syirik, khurafat dan tahyul terlebih dulu bagi bersahabat dengan jin dan syaitan yang mereka gunakan untuk melakukan kerja jahat mereka. Apabila tukang sihir meningkatkan amalan kufur maka jin dan syaitan itu akan lebih taat kepadanya dan lebih cepat melaksanakan perintahnya.
Sehubungan dengan itu tukang sihir dan syaitan adalah teman setia yang saling bekerjasama dalam melakukan perbuatan yang terkutuk di sisi syarak dan ini dicela Allah SWT seperti firman-Nya: "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." (al-Jinn: 6)
Bagi sesetengah pihak, sekiranya sesuatu perkara itu tidak boleh dibuktikan mengikut kaedah saintifik maka dia akan menolaknya secara mentah seolah-olah ilmu sains itu menjadi satu cabang ilmu yang sempurna tanpa cacat-cela. Ilmu sains bukanlah sesuatu cabang ilmu yang sempurna. Sesuatu perkara itu hanya kita boleh diyakini sebagai seratus peratus benar sekiranya ia termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah.
Sihir dan alam jin ini sebenarnya termasuk dalam perkara ghaib dan bagi umat Islam perkara itu perlu dirujuk kepada nas al-Quran dan hadis. Sekiranya sihir itu tidak wujud mana mungkin Allah SWT menyuruh kita berlindung diri daripada perbuatan tukang sihir seperti firman-Nya: "Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; dan daripada bahaya gelap apabila ia masuk; dan dari kejahatan makhluk (tukang sihir) yang menghembus pada simpulan- (dan ikatan); dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya." (al-Falaq: 1-5).
Di dalam al-Quran juga ada kisah Nabi Musa AS bertarung dengan tukang sihir Firaun. Bahkan dalam riwayat hidup Rasulullah, Baginda juga pernah terkena sihir Labid bin al-A'sham, seorang tukang sihir Yahudi seperti diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
Bagi mereka yang terbabit dengan perbuatan sihir dan suka bertemu dengan ahli sihir seperti pawang, dukun dan bomoh, ketahuilah bawah amalan sihir ini termasuk dalam kategori dosa besar. Nabi SAW bersabda: "Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan" . Baginda ditanya: "Apakah dosa itu wahai Rasulullah? Baginda berkata: "Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina. "(Hadis al-Bukhari)
Sehubungan itu adalah diharamkan untuk bertemu bahkan mempercayai ahli sihir dan tukang ramal kerana ia perbuatan kufur. Sabda Baginda, "Bukan termasuk golongan kami yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda, burung dan lain-lain), yang meramal atau yang meminta diramalkan, yang menyihir atau meminta disihirkan dan barang siapa mendatangi peramal dan membenarkan apa yang dia katakan, maka sesungguhnya dia sudah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad SAW" (Hadis riwayat al-Bazzaar)
Tukang sihir ini sudah melakukan kerosakan serta huru-hara di dalam sesebuah masyarakat. Lantaran itu majoriti ulama mengharuskan hukuman bunuh terhadap tukang sihir. Akan tetapi Imam Syafie berpendapat tukang sihir hanya boleh dikenakan hukuman bunuh sekiranya dia menggunakan ilmu sihirnya itu untuk membunuh jiwa insan yang lain. Imam Syafie mengkategorikan hukuman terhadap tukang sihir ini sebagai qisas.
Dalam usaha seseorang itu untuk menghindarkan diri daripada terkena sihir, janganlah pula turut mengamalkan perbuatan yang memiliki unsur sihir atau meminta pertolongan daripada ahli sihir. Hendaklah setiap umat Islam melindungi diri mereka daripada niat jahat tukang-tukang sihir itu dengan membaca ayat al-Quran serta doa yang diajar Rasulullah SAW.
Berikut adalah beberapa petua yang diambil daripada hadis Baginda.
# Membaca ayat Kursi, iaitu surah al-Baqarah ayat 255 setiap kali selesai solat lima waktu dan sebelum tidur.
# Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas setiap kali selesai solat lima waktu dan membaca ketiga surah itu sebanyak tiga kali pada pagi hari sesudah solat Subuh dan menjelang malam sesudah solat Maghrib.
# Membaca dua ayat terakhir dari surat al-Baqarah, iaitu ayat 285-286 pada permulaan malam.
# Membaca doa, "Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna daripada kejahatan makhluk ciptaan-Nya" pada malam hari dan siang hari ketika ingin pergi atau masuk ke sesuatu tempat.
# Membaca doa, "Dengan nama Allah, yang bersama nama-Nya, tidak ada sesuatu pun yang membahayakan, baik di bumi mahupun di langit dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui " -tiga kali pada pagi hari dan menjelang malam.
Menurut Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah, bacaan zikir dan permohonan perlindungan kepada Allah bagi memperoleh keselamatan dan untuk menjauhkan diri dari kejahatan sihir atau kejahatan lainnya iaitu bagi mereka yang selalu mengamalkannya secara benar disertai keyakinan yang penuh kepada Allah, bertumpu dan pasrah kepada-Nya dengan lapang dada dan hati yang khusyuk.
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..
Bismillahir-Rahmanir-Rahim..
Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.
1 comments:
Bujang betul tu..
aku selalu amal baca ayat kursi sebelum tidur je..
Post a Comment