Bismillahir-Rahmanir-Rahim.. Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.

JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK SUPAYA SENANG AKU NAK MELAWAT DAN FOLLOW KORANG BALIK.. INSYA ALLAH.

Thursday, November 12, 2009

APAKAH PERANG SATU JENAYAH?

بسم الله الرحمن الرحيم

[SN193] Pada 29 Oktober lepas, satu ‘Persidangan Antarabangsa Menjenayahkan Perang’ telah dianjurkan oleh Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana (PGPO) di Pusat Dagangan Dunia Putera. Inti pati kepada persidangan ini adalah untuk menjadikan perang sebagai satu jenayah. Pengerusi PGPO, Tun Dr. Mahathir dalam ucapannya melahirkan keyakinan bahawa dunia tidak akan dapat menyaksikan terwujudnya satu mahkamah yang bebas dalam masa terdekat, oleh itu PGPO telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan satu tribunal. Tribunal yang dinamakan ‘Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT)’ merupakan antara langkah pertama ke arah usaha menghapuskan perang dan menjadikan perang sebagai satu bentuk jenayah. Ia ditubuhkan kerana dunia sudah tidak boleh menunggu lebih lama untuk melihat kewujudan sebuah tribunal yang bersifat neutral. “'Tribunal yang ditubuhkan ini dianggotai oleh hakim yang tidak berpihak dan adil. Mereka bertindak berdasarkan undang-undang antarabangsa dan mengutamakan keadilan”, ujar Dr. Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, prosiding perbicaraan tribunal tersebut akan dilaksanakan secara adil dan seboleh-bolehnya mengikut prosedur sistem Common Law di Britain. Tambah beliau lagi, PGPO mungkin tidak akan dapat melaksanakan hukuman yang diputuskan oleh tribunal berkenaan, namun beliau berharap kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh dunia akan memberikan perhatian kepada hukuman yang dijatuhkan oleh tribunal ini. “Sekurang-kurangnya dunia boleh memulaukan pihak yang didapati bersalah, katanya. PGPO ingin mendapatkan kekuatan moral kerana badan berkenaan tidak akan memiliki kekuatan fizikal. Saya percaya lambat-laun masyarakat dunia akan menerima bahawa peperangan ialah satu jenayah dan mengutuk mereka yang suka mencetuskan perang. Apabila ini berlaku dunia akan menjadi lebih aman,” katanya [UM 29/10/09].

Dalam perkembangan yang sama, Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) akan bersidang esok bagi mendengar keterangan daripada bekas tahanan Teluk Guantanamo iaitu Tipton Three, Moazzam Begg dan Sami Al Hajj yang dipengerusikan oleh Zainur Zakaria, seorang peguam terkenal negara. Suruhanjaya itu turut dianggotai oleh Profesor Hans Cristor Von Sponeck (Amerika Syarikat), Dennis Halliday (Irealand), Musa Ismail (Malaysia), Profesor Gurdial Nijar (Australia), Dr. Zulaiha Ismail (Malaysia) dan Profesor Dr. Mohd. Akram Shair Mohamed (Malaysia). KLWCT pula dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; peguam Tunku Sofiah Jewa; peguam antarabangsa terkenal AS, Francis Boyle; peguam terkenal Malaysia, Profesor Salleh Buang dan peguam dan pensyarah undang-undang terkenal India, Profesor Niloufer Bhagwat. Dr. Mahathir memberitahu, setiap prosedur yang berlaku di dalam KLWCC dan KLWCT akan didokumenkan mengikut standard antarabangsa bagi memastikan ia dapat diterima pakai dan dikuatkuasakan oleh badan-badan berkuasa di seluruh dunia. Katanya, paling penting apabila penjenayah perang ini didapati bersalah, tribunal ini mahu agar mereka diboikot dan dilarang masuk ke negara-negara yang mengiktiraf tribunal tersebut. PGPO akan menghantar keputusan KLWCT kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap penjenayah-penjenay ah perang tersebut, kata Mahathir [UM 30/10/09].

Di akhir-akhir usia beliau, nampaknya mantan Perdana Menteri Malaysia ini masih tidak penat berusaha untuk mewujudkan keamanan kepada dunia. Sayangnya beliau, seperti biasa, tidak pernah cuba menyelesaikan sesuatu masalah dengan jalan Islam. Dalam pada beliau mengakui kegagalan undang-undang dunia pada hari ini untuk menyelesaikan masalah peperangan, beliau tetap sahaja merujuk kepada undang-undang antarabangsa, yang jelas-jelas diciptakan oleh manusia, yang pasti tidak akan menyelesaikan masalah. Dalam pada beliau ingin membawa Britain ke KLWCT, beliau tetap sahaja ingin mengguna pakai common law British, sebuah undang-undang kufur ciptaan Britain sendiri. Dalam pada beliau mengakui bahawa dunia sudah tidak boleh mengharap kepada PBB, namun tribunal yang ditubuhkannya tetap sahaja dibawa merujuk kepada PBB. Apakah yang dicari Mahathir sebenarnya? Apakah sehingga ke penghujung usia beliau masih tetap yakin dengan peraturan ciptaan manusia, malah beliau masih tetap berusaha mencipta peraturan sendiri yang bertentangan dengan peraturan Allah?

Perbezaan Perang Islam Dengan Kufur

Di dalam ucapannya semasa persidangan, Dr. Mahathir banyak merujuk kepada fakta peperangan yang berlaku sejak selepas perang dunia pertama hingga kini. Beliau membentangkan fakta kerosakan, kemusnahan dan kematian yang disebabkan oleh perang, khususnya terhadap golongan yang tidak bersalah. Oleh sebab itulah beliau berkesimpulan untuk menjadikan perang sebagai satu jenayah, dan mengheret pemimpin yang mencetuskannya ke tribunal, dalam rangka menghentikan keganasan pihak yang memulakan perang. Dari satu sudut, memang ada kebenaran dengan fakta yang dijelaskan Mahathir, namun sayang seribu kali sayang, beliau tidak merujuk kepada Al-Quran dan sirah Rasulullah SAW serta sejarah Khulafa’ Rasyidin dalam menyelesaikan masalah, bahawa perang (jihad) adalah merupakan satu kewajipan yang agung di dalam Islam, bukannya satu jenayah. Beliau seharusnya membezakan kedudukan perang yang dilakukan golongan kuffar dengan perang yang dilakukan oleh Rasulullah dan para Khalifah. Sebagai seorang yang bijak, Mahathir sepatutnya tahu bahawa perang yang dimulakan oleh negara Kapitalis memanglah satu perang yang akan membawa kemusnahan, namun perang yang dimulakan oleh Islam adalah perang yang akan membawa keamanan. Inilah yang sepatutnya beliau tekankan.

Jihad dalam Islam sangat berbeza dengan peperangan imperialis kerana tujuan jihad adalah futuhat (membuka) negara baru untuk diperintah dengan hukum Allah. Jihad adalah satu kewajipan yang Allah fardhukan ke atas kaum Muslimin untuk menzahirkan agama Allah di muka bumi. Jihad berfungsi sebagai penghapus kekuatan fizikal musuh yang menjadi penghalang kepada tersebarnya rahmat Allah ke seluruh alam. Selaku agama penebar rahmat, Islam mempunyai peraturan yang lengkap tentang hukum peperangan, berbeza sama sekali dengan puak kuffar yang terkenal jahat, kejam dan ganas dalam setiap peperangan yang mereka lancarkan. Negara kuffar Imperialis melakukan pembunuhan secara massa dalam setiap peperangan, mereka membunuh penduduk suatu tempat tanpa mengira wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua. Mereka memusnahkan bangunan dan tanam-tanaman. Seluruh dunia tahu akan kekejaman puak kuffar seperti Israel, Amerika Syarikat, Britain dan sekutu-sekutu mereka di dalam setiap peperangan yang mereka mulakan. Namun hal ini tidak pernah berlaku di dalam jihad kerana semua perkara ini adalah diharamkan di dalam Islam berdasarkan nas-nas yang jelas. Dalam jihad justeru, tentera kaum Muslimin tidak membunuh penduduk awam, golongan wanita, kanak-kanak, orang-orang tua serta tidak akan memusnahkan bangunan dan tanam-tanaman. Sejarah Islam telah membuktikan ini semua. Mahathir tidak sepatutnya jahil dalam hal ini dan beliau perlu menjelaskan ini semua kepada peserta persidangan.

Begitu pula halnya dengan tawanan perang, Islam memerintahkan agar mereka dilayan dengan baik. Hal ini ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sendiri yang menawarkan pembebasan kepada golongan kafir jika mereka bersetuju untuk mengajar anak-anak kaum Muslimin membaca dan menulis. Ada juga yang dibebaskan setelah mereka bersetuju untuk tidak memerangi Islam lagi. Lain halnya dengan tahanan perang di Guantanamo Bay atau lain-lain penjara kejam milik kuffar. Mereka menyeksa dan membunuh tahanan Muslim tanpa peri kemanusiaan! Inilah kekejaman para imperialis seperti Israel, AS dan Britain yang mana undang-undang peperangan berada di tangan mereka. Berbeza dengan Islam di mana undang-undang peperangan berada di tangan Allah, Zat Yang Maha Adil Lagi Maha Bijaksana.

Perang: Siapa Berhak Tentukan Baik Dan Buruknya?

Kecenderungan manusia untuk mengatakan sesuatu perbuatan baik dan buruk dengan ‘akal’ semata-mata adalah salah. Syeikh Taqiyuddin Al-Nabhani berkomentar,

“Manusia sering mengkategorikan sesuatu perkara yang disenanginya sebagai baik dan apa yang dibencinya sebagai buruk. Demikianlah juga beberapa perbuatan dikatakan baik kerana manfaat yang akan didapatinya dan dikatakan buruk kerana kemudharatannya. Padahal perbuatan yang dilakukan oleh manusia dalam ruang lingkup ikhtiarnya tidak dapat dikatakan baik atau buruk kerana ‘perbuatan’ itu semata-mata…yang dikatakan baik dan buruk adalah kerana ‘unsur luar’ (unsur penentu)” [Mafahim Hizbut Tahrir, hal. 39].

Bagi Muktazilah, ahli falsafah, golongan kapitalis dan sebahagian dari umat Islam, mereka menjadikan akal sebagai ‘unsur penentu’ untuk mengatakan bahawa suatu perbuatan itu adalah baik atau buruk. Sedangkan di dalam Islam, ‘unsur penentu’ baik dan buruk suatu perkara itu adalah hukum syarak, bukannya akal.

Bertolak dari kerangka berfikir yang benar bahawa syaraklah yang menjadi piawaian (unsur penentu) baik dan buruk suatu perbuatan, maka sesungguhnya suatu perbuatan itu dikatakan baik bila ia bertepatan dengan syarak dan buruk bila bertentangan dengan syarak. Perang contohnya adalah satu perbuatan yang baik apabila dilakukan kerana memenuhi perintah Allah, walaupun sebahagian manusia tidak suka dan memandang buruk akannya. Firman Allah,

“Kamu diwajibkan berperang sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [TMQ Al-Baqarah (2):216].

Perang boleh menjadi buruk apabila bertentangan dengan perintah Allah, contohnya apabila Muslim berperang sesama Muslim tanpa hak.

Perang merupakan satu kewajipan seperti mana solat, yang termasuk di dalam kategori ‘maklum minaddin bi dharurah’ yang bermaksud tidak ada alasan untuk seseorang Muslim tidak mengetahui akan hukumnya. Selain ayat di atas, kewajipan jihad (perang) diterangkan oleh Allah dan RasulNya di dalam Quran dan Hadis dengan banyak sekali dan dengan sejelas-jelasnya. Allah SWT mewajibkan ke atas umat Islam, bukan sahaja mempertahankan diri dari serangan musuh, malah memulakan perang terhadap musuh. Firman Allah,

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka tidak pula mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan taat dan merendah diri” [TMQ at-Taubah (9):29].

Perang wajib diisytiharkan oleh Ketua Negara. Rasulullah SAW dan para Khulafa’ selaku Ketua Negara telah meneladankan kepada kita betapa jihad itu wajib dilancarkan oleh Ketua Negara demi memerangi musuh-musuh Allah dan demi menyebarkan agama Allah ke seluruh pelosok dunia. Jihad disyariatkan ke atas umat Islam sebagai metode untuk menyebarluaskan agama yang benar ini, dan menegakkan kalimat Allah agar dunia hidup dalam aman dan harmoni. Jihad antara lain diwajibkan dalam rangka meninggikan kalimat Allah dan melenyapkan segala macam fitnah (kekufuran) sebagaimana firmanNya,

“Perangilah mereka (orang-orang kafir) sehingga tidak ada lagi fitnah (kekufuran) dan adalah agama itu bagi Allah semata-mata” [TMQ Al-Baqarah (2): 193].

Allah juga mensyariatkan perang untuk menghilangkan kezaliman yang menimpa umat Islam. Allah SWT berfirman,

“Diizinkan bagi orang-orang yang diperangi (untuk berperang) kerana mereka dizalimi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk menolong mereka” [TMQ Al-Hajj (22): 39].

Dalam hadis riwayat Abu Dawud dan yang lain dari Anas bin Malik ra ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,

“Jihad akan tetap berjalan sejak Allah mengutusku hingga umatku yang terakhir memerangi Dajjal, ia tidak akan terhenti oleh kejahatan orang yang jahat atau pun keadilan orang yang adil.”

Terlalu banyak hadis lain lagi yang menerangkan hukum jihad yang wajib berjalan hingga kiamat dan berdosalah pemimpin yang tidak melaksanakan kewajipan ini, apatah lagi pemimpin yang menjauhkan atau cuba menghapuskan hukum jihad, semoga Allah membalas mereka dengan seberat-beratnya.

Hakikatnya, apakah dengan adanya PGPO, KLWCC ataupun KLWCT akan menakutkan atau menghentikan AS dan Israel dari terus melancarkan perang ke atas umat Islam? Sungguh naif jika ada yang berpendapat demikian. Untuk mengheret AS dan Israel ke ‘tribunal’ adalah tidak lebih dari perbuatan anjing menyalak bukit. Apakah sebenarnya tujuan PGPO mengadakan inisiatif yang sia-sia ini? Bukan sahaja sia-sia, malah yang jauh lebih berbahaya, usaha ini sesungguhnya adalah usaha untuk memadamkan jihad dan futuhat Islam. Golongan kuffar sememangnya takut dan gentar dengan seruan jihad dari pemimpin Islam, malangnya ada pula pihak-pihak yang ingin menutup terus laungan jihad dengan berusaha untuk menyatakan bahawa perang adalah satu jenayah! Walhal sesungguhnya penyelesaian kepada kejahatan AS dan Israel serta golongan kuffar lainnya adalah dengan memerangi mereka, bukannya dengan membawa mereka ke tribunal untuk diboikot. Merekalah sebenar-benar ‘penjenayah’ yang perlu ditentang dengan perang! Jadikan mereka (bukan perang) sebagai penjenayah dan jihad mesti dilancarkan terhadap mereka oleh pemimpin kaum Muslimin. Demi Allah! Selagi mereka tidak dihapuskan dengan jihad, selagi itulah mereka akan terus melakukan jenayah dengan memerangi dan menzalimi umat Islam!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya apa jua projek keamanan dunia yang dicanangkan, jika ia membelakangkan perang (jihad), maka ia sekali-kali tidak akan dapat mewujudkan keamanan. Sesungguhnya keamanan dunia hanya akan wujud apabila hukum Allah dilaksanakan, dan hukum Allah takkan dapat dilaksanakan di seluruh dunia jika tidak ada jihad yang dilancarkan. Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk berperang sama ada secara ofensif (ibtida’iyyah) mahupun defensif (difa’iyyah). Tugas jihad terbeban di atas pemimpin negara dan pasukan tentera kaum Muslimin. Sesungguhnya kerana jihadlah, Islam telah berjaya menakluki hampir dua per tiga dunia. Kerana jihadlah rahmat Allah tersebar ke seluruh alam dan dunia menjadi aman. Lihatlah apa yang telah berlaku ke atas umat Islam sejak runtuhnya Daulah Khilafah di mana hukum jihad sudah tidak lagi diterapkan oleh pemimpin umat Islam. Kerana tidak ada jihadlah, umat Islam diperangi dan dibunuh puak kuffar dengan sewenang-wenangnya. Kerana tidak dilancarkan jihad oleh para pemimpin kaum Muslimin-lah, maka kita menyaksikan penderitaan demi penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara kita di seluruh dunia. Kerana tidak ada jihadlah, golongan kuffar Barat muncul mendominasi kekuatan perang dunia dan melakukan kerosakan demi kerosakan dan kejahatan demi kejahatan dengan perang yang mereka lancarkan. Sesungguhnya kejahatan kuffar ini tidak akan lenyap jika tidak dilancarkan perang balas ke atas mereka. Sesungguhnya negara-negara kaum Muslimin tidak akan dapat dibebaskan dari cengkaman kuffar jika tidak ada jihad. Dan demi sesungguhnya, Allah akan mengalahkan orang-orang kafir dan memberi kemenangan kepada kaum Muslimin jika pemimpin umat Islam melancarkan perang ke atas mereka,

“Perangilah mereka dan Allah akan mengazab mereka dengan tangan-tangan kalian dan menghinakan mereka serta membantu kalian mengalahkan mereka dan Allah akan melegakan hati-hati kaum Mukminin” [TMQ at-Taubah (9):14].


UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH.

3 comments:

♡ m.a.w.a.r_ b.e.r.d.u.r.| ♡ said...

Criminalize war.....menjenayahkan perang?....pada sy perang tu Jenayah...sebab melibatkan kematian, kerosakan harta benda, kerugian, kemalangan jiwa.....

Anonymous said...

Saya pun fikir begitu juga.. Tapi bila saya baca entri ni sampai habis baru la saya faham. Contoh mudahnya mcm palestin.. dia berperang mempertahankan tanahairnya.. boleh ke kita katakan dia sebagai penjenayah?

Ataupun kita ketuk atau terajang kepala peragut yang meragut beg tangan kita.. bolehkah dikatakan kita telah melakukan jenayah kerana terajang kepala org?

Kesimpulannya perperangan bukan jenayah bila dgn alasan mempertahankan agama, negara, diri dan sebagainya..wallahualam.

Mawar berduri ni x habis baca artikal ni kot..

Anonymous said...

mengapa tidak:)