Bismillahir-Rahmanir-Rahim.. Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.

JANGAN LUPA TINGGALKAN LINK SUPAYA SENANG AKU NAK MELAWAT DAN FOLLOW KORANG BALIK.. INSYA ALLAH.

Thursday, September 24, 2009

KEPATAHAN TULANG PADA KANAK-KANAK

Bismillahirahmannirahim..

KEPATAHAN tulang pada kanak-kanak berbeza daripada kepatahan tulang bagi pesakit dewasa. Ia juga memerlukan perhatian yang khusus kerana tulang kanak-kanak sedang membesar dan mempunyai fisiologi dan morfologi yang berbeza berbanding tulang dewasa.

Walaupun secara kasarnya tulang kanak-kanak nampak hampir sama dengan tulang dewasa, tulang kanak-kanak mempunyai kawasan rawan khas pada hujung tulang yang dinamakan fisis (physis). Fisis merupakan kawasan pertumbuhan tulang kanak-kanak yang bertanggungjawab bagi pertumbuhan tulang secara memanjang. Fisis adalah kawasan yang tidak stabil dan tidak mampu menahan banyak tekanan sekiranya terdapat kecederaan pada tulang.

Kecederaan fisis

Oleh kerana kepatahan tulang yang melibatkan fisis penting, suatu klasifikasi khusus digunakan untuk mengenalpasti kepatahan yang melibatkan fisis. Klasifikasi ini dinamakan klasifikasi Salter Harris. Terdapat lima jenis kepatahan yang berlainan dalam klasifikasi ini. Ia bertujuan membantu doktor-doktor membuat analisis dan merancang rawatan sama ada secara konservatif ataupun pembedahan.

Kecederaan pada fisis ini bergantung kepada tahap keterukannya. Selalunya, jika kecederaan yang melibatkan fisis ini tidak teruk, ianya mungkin tidak dapat dilihat pada imbasan sinar-X. Doktor atau pakar ortopedik akan bergantung kepada pemeriksaan klinikal seperti sakit, bengkak atau lebam pada kawasan yang cedera, bagi mengenal pasti kecederaan fisis ini.

Kesan dari kecederaan pada fisis hanya boleh diketahui selepas sembilan bulan atau lebih. Kecederaan jenis ini boleh menyebabkan pertumbuhan tulang terencat dan menjadikannya lebih pendek dari biasa. Jika sebahagian sahaja dari fisis yang cedera, maka tulang akan tumbuh secara membengkok kerana kawasan fisis yang cedera tidak tumbuh manakala kawasan fisis yang normal akan tumbuh seperti biasa.

Sekiranya ini berlaku... , doktor atau pakar ortopedik akan membuat pemantauan dan pemeriksaan susulan secara berperingkat. Jika terdapat kecacatan seperti bengkok atau kependekan yang ketara, pembedahan pembetulan akan disarankan. Selalunya, pembedahan pembetulan hanya akan dilakukan pada peringkat tulang kanak-kanak yang sudah atau hampir mencapai tahap matang.

Nisbah kecederaan fisis lebih banyak berlaku kepada kanak-kanak lelaki jika dibandingkan dengan kanak-kanak perempuan. Ini mungkin kerana masa untuk pertumbuhan tulang kanak-kanak lelaki lebih lama jika dibandingkan dengan kanak-kanak perempuan. Tulang kanak-kanak lelaki hanya berhenti tumbuh selepas 18 tahun manakala kebanyakan kanak-kanak perempuan sudah berhenti membesar pada umur 16 tahun. Aktiviti harian yang lebih lasak bagi kanak-kanak lelaki juga mungkin menyumbangkan kepada kecederaan sebegini.

Tulang kanak-kanak juga diselaputi oleh selaput tulang atau periosteum yang lebih tebal jika dibandingkan dengan tulang dewasa. Lapisan periosteum yang tebal ini menyalurkan banyak darah dan nutrisi kepada tulang kanak-kanak dan membolehkan tulang yang patah cepat sembuh. Periosteum yang tebal ini juga menyebabkan tulang yang patah tidak banyak beralih dan membuatkan proses pembetulan (reduction) dan rawatan lebih senang berbanding tulang dewasa.

Oleh kerana tulang kanak-kanak banyak terdapat kawasan rawan dan fisis, tulang kanak-kanak lebih lembut dan lebih sedia membengkok sebelum ia patah.. Oleh itu jenis-jenis patah pada kanak-kanak berbeza dan ada juga jenis yang tidak terdapat pada pesakit dewasa.

Jenis kepatahan lain

n Kepatahan Toros - antara kepatahan yang sering terjadi pada kanak-kanak. Ia berlaku apabila tulang kanak-kanak mendapat tekanan atau mampatan secara memanjang yang menyebabkan terdapat kesan bengkak pada tulang. Selalunya ia boleh dilihat pada imbasan sinar-X

n Kepatahan Greenstick - kepatahan ini juga lazim berlaku pada kanak-kanak. Ia berlaku apabila tulang kanak-kanak membengkok ke satu arah dan menyebabkan kepatahan pada sebahagian daripada tulang, tetapi tekanan yang dikenakan tidak cukup kuat untuk mematahkan terus tulang itu. Morfologi tulang kanak-kanak yang lembut dan lapisan periosteum yang tebal turut membantu mengelak tulang kanak-kanak patah sepenuhnya.

n Lain-lain kepatahan seperti kepatahan yang melibatkan sendi, kepatahan melibatkan dislokasi (peralihan) sendi atau kepatahan yang teruk sehingga menyebabkan tulang hancur jarang berlaku berbanding kepatahan-kepatahan yang disebutkan di atas.

Diagnosis dan rawatan

Imbasan sinar-X adalah senjata utama untuk membuat diagnosis dan merancang rawatan bagi kepatahan tulang pada kanak-kanak. Jarang sekali imbasan CT atau MRI diperlukan sebagai panduan untuk rawatan, melainkan kepatahan itu adalah kepatahan teruk dan melibatkan sendi atau melibatkan saraf.

Selain daripada penggunaan radiologi untuk diagnosis dan prognosis, pemeriksaan klinikal juga penting untuk mengenal pasti masalah-masalah yang melibatkan vaskular atau saraf. Jika ini berlaku, pembedahan kecemasan terpaksa dibuat untuk memulihkan masalah tekanan pada salur darah atau pada saraf.

Disebabkan oleh faktor pertumbuhan tulang yang pesat, rawatan pembetulan tulang patah bagi kanak-kanak tidak perlu terlalu tepat seperti pesakit dewasa. Tulang kanak-kanak yang sembuh akan meneruskan tumbesarannya dan pada masa yang sama akan membetulkan sendiri masalah bengkok mahupun masalah kependekan yang tidak ketara. Lebih muda kanak-kanak terbabit, lebih banyak masa bagi tulang patah pulih.

Majoriti kepatahan tulang pada kanak-kanak tidak perlu dirawat dengan pembedahan dan hanya perlu dibetulkan kembali kepada kedudukan asal sebelum dibelat dengan bahan belat. Bergantung juga kepada tahap kepatahan tulang, doktor akan membuat pilihan sama ada untuk membelat sepenuhnya atau separa. Simen kapur (plaster of Paris) adalah bahan belat yang biasa terdapat dan digunakan di kebanyakan hospital di Malaysia. Sesetengah hospital di negara ini turut menggunakan bahan sintetik yang lebih ringan sebagai bahan belat.

Sekiranya tulang yang patah itu tidak banyak beralih, ia tidak perlu dibetulkan semula. Tetapi sekiranya ia perlu dibetulkan semula kepada kedudukan anatomi, doktor akan menggunakan ubat bius untuk mengelakkan kanak-kanak terbabit daripada berasa sakit semasa proses pembetulan dan proses membelat. Doktor juga akan membelat dua sendi yang berdekatan dengan tulang yang patah bagi memastikan tulang yang dibetulkan semula itu tidak bergerak dan tidak beralih kedudukannya sebelum pulih sepenuhnya.

Walaupun majoriti kepatahan tulang kanak-kanak boleh dirawat secara konservatif, ada juga kepatahan pada kanak-kanak yang terpaksa dibedah. Antara faktor-faktor yang menyebabkan kepatahan tulang terpaksa dibedah ialah:

"Kepatahan yang melibatkan sendi (intra-articular) dan menyebabkan sendi menjadi tidak sekata.

"Kepatahan yang menyebabkan fisis beralih atau berubah tempat.

"Patah yang berpunca daripada keadaan patologi seperti barah tulang, penyakit genetik dan sebagainya.

"Patah yang tidak stabil, iaitu kepatahan yang masih lagi bergerak walaupun sudah dibelat.

"Patah yang bersambung dengan luka pada kulit (open fracture).

Komplikasi Rawatan

Penggunaan plaster atau simen kapur untuk tujuan membelat tulang patah boleh menimbulkan komplikasi sekiranya tidak dipantau atau dilakukan dengan betul. Selain dari masalah berpeluh, gatal atau berbau, penggunaan belat juga boleh menyebabkan anggota yang dibelat itu bengkak dan kadang-kala boleh menyekat peredaran darah atau menyebabkan tekanan pada saraf.

Keadaan ini dinamakan sindrom kompartmen (compartment syndrome) yang sekiranya tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan jari-jari tangan atau kaki menjadi biru atau kebas. Pesakit juga mungkin berasa sakit luar biasa yang tidak berkurangan walaupun selepas memakan ubat penahan sakit.

Sakit ini berdenyut dan akan menjadi lebih sakit lagi sekiranya jari-jari digerakkan. Sekiranya keadaan ini tidak ditangani dengan segera, tisu-tisu tangan atau kaki tadi mungkin tidak mendapat bekalan oksigen dan darah yang cukup, menyebabkan kerosakan tisu dan saraf yang kekal.. Jari-jari dan sendi boleh menjadi keras dan kaku akibat kerosakan tisu dan otot yang kekal.

Ibu bapa hendaklah segera membawa anak ke hospital atau klinik yang berdekatan sekiranya mendapati tanda-tanda seperti yang dinyatakan di atas. Sekiranya rumah anda terletak jauh dari hospital atau klinik yang berhampiran, anda bolehlah merendam simen kapur tadi di dalam sebesen air sehingga ia larut dan menjadi lembik. Selepas simen kapur tadi larut, anda hanya cuma perlu guntingkan kain kasa yang membaluti anggota patah tadi. Setelah itu, anda masih perlu membawa anak anda ke hospital atau klinik untuk pemeriksaan lanjut. Bagi kepatahan yang perlu dibedah pula, jangkitan kuman adalah komplikasi utama tetapi ia jarang berlaku.

Komplikasi Kepatahan

Selain daripada masalah tulang bengkok atau tulang pendek yang berpunca daripada kecederaan fisis, Osteo-chondritis dessicans merupakan komplikasi yang mungkin terjadi akibat daripada kepatahan tulang. Ia terjadi apabila tulang rawan yang berada di dalam sendi tercedera dan kemudiannya mengeras menjadi tulang (ossification).

Sekiranya ia tidak dirawat, rawan yang mengeras ini boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan pada sendi akibat geseran. Kadangkala ia juga boleh menyebabkan sendi menjadi keras dan kaku kerana keadaan ini boleh menyebabkan tulang-tulang yang membentuk sendi itu bersambung di antara satu sama lain.

Amat jarang sekali terdapat komplikasi yang melibatkan masalah vaskular atau saraf yang berpunca dari kepatahan tulang kanak-kanak. Namun begitu, setiap kepatahan tulang haruslah diperiksa dengan teliti bagi mengelakkan komplikasi ini gagal disedari dan pesakit tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Ini kerana komplikasi yang melibatkan saraf atau vaskular memerlukan rawatan kecemasan dan intensif.

Kepatahan tulang yang melibatkan sendi biasanya memerlukan pembedahan bagi membetulkan semula kedudukan permukaan sendi tadi. Permukaan sendi yang tidak sekata boleh menyebabkan seseorang itu mendapat osteoartritis sekunder pada masa hadapan.

Jika anda mengesyaki yang anak anda mungkin mendapat kepatahan akibat kecederaan, pastikan anda mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Sekiranya rumah anda jauh dari hospital atau klinik yang berdekatan, belatkan dahulu anggota yang cedera dengan menggunakan bahan seperti pembaris atau kertas surat khabar yang digulung. Jangan ikat terlalu ketat! Kemudian pasangkan anduh untuk memberikan sokongan tambahan pada bahagian patah yang telah dibelat tadi.

Setiap kecederaan kanak-kanak yang mungkin melibatkan tulang, walau nampak ringan sekalipun, haruslah segera mendapatkan pemeriksaan doktor atau pakar yang terlatih. Sekiranya ada kecederaan yang melibatkan sendi mahupun fisis, doktor akan memberi rawatan sewajarnya untuk mengelakkan dari sebarang komplikasi pada masa hadapan.


UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH. I LOVE YOU FULL.. HA..HA..HA..HA..

3 comments:

Rahsidah Arbain said...

Salam....

Tk dengan info-info yang bermanafaat. Teruskan usaha murni ini...

tq juga singgah teratak kami memberi komen...

SALAM 'AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATHIN

maiyah said...

salam.. mmg bab tulang nih wat biol.. dah ler patah tinggal sakit lak tu huhu.. camna ye kalo bebudak yg menanggung nyer

cahaya bulan said...

Salam,

Anak perempuan saya 4 tahun mengalami hidung patah dah menerima jahitan...apa harus saya buat untuk pulihkan hidungnya.Doktor kata hidungnya akan lekuk nanti..