بسم الله الرحمن الرحيم
Beberapa hari yang lalu, saya terbaca sebuah buku dalam bahasa melayu yang baru diterbitkan dengan tajuk "Salafiyah Wahabiyah: Suatu Penilaian" karya ZAMIHAN BIN MAT ZIN AL-GHARI.
Amat mengejutkan saya, apabila buku ini penuh dengan penyelewengan fakta dan fitnah terhadap Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. dan para ulama yang lain.
Maka saya merasa terpanggil untuk membuat sedikit ulasan ringkas mengenai buku yang sarat dengan penipuan fakta itu. Tujuan saya di sini, bukan untuk mempertahankan salafi atau wahabi, kerana itu bukanlah suatu topik utama.
Setiap aliran boleh dikritik ataupun dipuji, namun mestilah berdasarkan batas-batas amanah ilmu dan adil dalam hukuman, seperti yang dituntut oleh al-Quran. Al-Imam Ibn Taimiyyah bukanlah seorang yang maksum seperti seorang rasul, sehingga tiada sebarang kesilapan fakta. Dia seperti imam-imam lain juga, ada pendapatnya yang kuat dan ada yang lemah.
Namun penulis buku tersebut telah menjadikan cacian, penghinaan, fitnah dan pembohongan fakta sebagai metodologi penulisannya. Ini adalah sesuatu menyanggahi ajaran Islam yang suci dan bersih.
RACUN SYI`AH Penulis buku ini mengaku beliau adalah pengikut Hasan bin `Ali al-Saqqaf (ุงู ุณู ุงู ) dari Jordan. Perkataan al-Saqqaf pada namanya bererti beliau berasal dari keluarga tersebut. Di Malaysia keluarga ini di sebut sebagai Assagoff.
Hasan al-Saqqaf yang menjadi guru penulis berkenan, di kalangan yang mengenalinya menyatakan dia seorang agak pro-syiah. Dia mengkafirkan para sahabah yang terlibat dalam peperangan dengan `Ali. Sepertimana ada di kalangan rumpun tersebut di Malaysia dan nusantara, yang berpegang kepada Syi`ah. Beliau cuba menonjolkan diri bahawa beliau seorang ahli Sunnah dan bermazhab al-Imam al-Syafi`i. Dalam masa yang sama beliau selalu menghentam secara lisan para sahabah yang terlibat dalam peperangan menentang Saidina `Ali.
Sementara dalam bukunya, Sahih Sifat Salat al-Nabi beliau menyebut: "Maka jelas bahawa hadith (kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan) "kitab Allah dan kaum keluargaku (Nabi s.a.w.)" itulah yang sahih lagi thabit di dalam Sahih Muslim, adapun lafaz (berpegang) dengan kitab Allah dan sunnahku" adalah batil dari segi sanad dan tidak sahih. Maka hendaklah para khatib, penceramah dan imam meninggalkan lafaz ini.."1
Dalam buku Salafiyyah Wahabiyyah, penulisnya mencatitkan nasihat gurunya itu, dengan katanya: "Aku berpesan kepada engkau agar beriltizam dengan jalan ahli al-Haq dan Ahli Bait (kaum keluarga)"(m. s. ijazah am). Hasan al-Saqqaf juga memarahi Ibn Taimiyyah kerana menyatakan para ulama sepakat bahawa Saidina Abu Bakar dan `Umar lebih afdal daripada Saidina `Ali.
Muridnya yang menulis buku ini turut membuat bantahan yang sama dalam buku tersebut2. Walaupun begitu cuba menyembunyikan racun Syiahnya, tetapi ianya tetap dapat dihidu oleh orang lain.
Oleh kerana di dalam Ahli Sunnah, Ibn Taimiyyah adalah tokoh yang paling hebat mempertahankan aqidah ahli sunnah dan menyerang hujah-hujah Syi`ah, maka cara terbaik untuk mempertahankan Syi`ah ialah dengan menghentam habis-habisan Ibn Taimiyyah. Hentaman itu pula akan dilihat lebih mantap dengan menggunakan nama ahli sunnah itu sendiri. Ini dengan cara diselewengkan fakta-fakta ulama, membuat pengkhianatan ilmiah dan membohongi pembaca yang tidak mampu membuat penyelidikan.
Tokoh pendakwah Islam yang terkenal di kurun ini, Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi berkata dalam bukunya yang ditulis khas mengenai sejarah perjuangan Ibn Taimiyyah sebagai tokoh pemikir dan dakwah yang terbilang, bertajuk "Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah (ุงู ุญุงู ุธ ุฃุญู…ุฏ ุจู ุชู ู…ู ุฉ):"Sesungguhnya al-Imam Ibn Taimiyyah telah bangkit menjawab Syi`ah dalam banyak tempat dalam buku-bukunya. Dia telah benar-benar menunaikan tanggungjawab dengan kuatnya mempertahankan sunnah, aqidah ahli sunnah, al-khulafa al-rasyidin dan para sahabah yang mulia r.a. Di samping itu dia mengkhususkan menjawab Syi`ah dalam sebuah kitab khas, dinamakan "Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah" 3 (ertinya: Jalan Sunnah Nabi dalam menolak pendapat Syi`ah dan Qadariyyah).
Maka kita akan dapati Hasan al-Saqqaf begitu marah kepada buku "Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah ู…ู ู ุงุฌ ุงู ุณู ุฉ ุงู ู ุจู ู ุฉ ู ู ู ู ุฏ ู ู ุงู… ุงู ุดู ุนุฉ ู ุงู ู ุฏุฑู ุฉ., karya agung Ibn Taimiyyah tersebut. Namun beliau mempertikaikan dengan caranya yang seolah-olah membela ahli sunnah.
Dalam buku "Salafiyyah Wahabiyyah", penulisnya juga menghentam kitab Ibn Taimiyyah tersebut berkali-kali sebagai mengikut jejak langkah gurunya itu dengan tuduhan sesat dan seumpamanya.
Kata Maulana Abu al-Hasan al-Nadwi lagi: "Sesiapa yang ingin melihat lautan ilmu Ibn Taimiyyah, keluasan pandangannya, penguasaannya, kekuatan hafalannya, ingatannya terhadap masalah-masalah (yang di bahaskan), kematangannya, ketelitiannya, kebijaksaannya dan kegemilauannya, maka bacalah kitab tersebut.4 Cubalah lihat perbezaan dan bandingkan antara dua sikap, Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi r.h. seorang tokoh umat dan pemdakwah yang dikagumi. Sementara yang seorang lagi seorang yang mengaku ahli-sunnah, namun menyembunyikan racun Syi`ahnya. Ini diikuti oleh murid melayunya yang menulis buku Salafiyah Wahabiyah.
Saya meyakini penulis buku tersebut tidak membuat sebarang kajian melainkan menceduk sepenuhnya dari gurunya itu dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Sesiapa yang membaca penulisan Hasan al-Saqqaf, akan mengetahui bahawa beliau menjadikan pembohongan fakta sebagai mainan tulisannya. Ini diikuti oleh murid melayu tersebut. Maka pengkhianatan ilmu jelas pun berlaku . Pengkhianatan yang diwarisi dari sikap para penulis yang terikut-ikut dengan rentak orientalis dan tokoh-tokoh Syi`ah. Saya akan perlihatkan contoh-contohnya untuk para pembaca secara ringkas.
MEMFITNAH PARA ULAMA
Pada muka surat 70-76, beliau menyenaraikan pertentangan pendapat para imam-imam ahli sunnah dengan Ibn Taimiyyah. Lalu beliau memetik nas-nas para imam berkenaan yang bukan ditujukan kepada Ibn Taimiyyah. Antaranya, al-Imam al-Nawawi ุงู ุฅู…ุงู… ุงู ู ู ู ู yang meninggal pada tahun 676 hijrah, sedangkan Ibn Taimiyyah lahir pada tahun 661 hijrah. Beliau tidak mengenali Ibn Taimiyyah.
Begitu al-Imam Ibn al-Jauzi ุงู ุฅู…ุงู… ุงุจู ุงู ุฌู ุฒู yang meningga pada tahun 598 hijrah. Beliau juga meletakkan tajuk "Percanggahan pendapat Ibn Taimiyyah dengan Imam al-Hafiz al-Sayuti"5. Sedangkan Ibn Taimiyyah telah meninggal 121 tahun sebelum kelahiran al-Sayuti ุงู ุณู ู ุทู pada tahun 849H. Kemudian beliau memetik nas al-Sayuti yang tiada kena mengena dengan Ibn Taimiyyah. Dengan cara ini pembaca akan menyangka al-Imam Sayuti (meninggal 911 hijrah) dalam hayatnya tidak sukakan Ibn Taimiyyah. Sedang al-Imam Sayuti memasukkan Ibn Taimiyyah dalam senarai huffaz hadith (para hafiz hadith), dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz ุทุจู ุงุช ุงู ุญู ุงุธ, al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi'i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut:
"Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syaikh al-Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini,..salah seorang tokoh terbilang..memberi perhatian dalam bidang hadith, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadith (kecacatan tersembunyi hadith) juga fiqh hadith, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan.." 6.
Demikian juga penulis Salafiyah Wahabiyah, meletakkan tajuk "Pencanggahan Pendapat Ibn Taimiyyah dengan Imam al-Zarqani"7.
Beliau memetik ungkapan al-Zarqani yang tiada kena mengena dengan Ibn Taimiyyah daripada kitab Manahil al-`Urfan ู…ู ุงู ู ุงู ุนุฑู ุงู . Beliau cuba menggambarkan pertentangan yang sebenarnya tidak wujud sama sekali.
Sebaliknya dalam kitab itu sendiri penulis Muhammad `Abd a-`Azim al-Zarqani, banyak memetik pendapat Ibn Taimiyyah dengan hormatnya.
Pada semakan saya, sebanyak lima kali al-Zarqani memetik pendapat Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya tersebut. Pada cetakan yang pada tangan saya ialah pada jilid pertama muka surat 78 dan 90, pada jilid kedua pada muka surat 162, 192, 2028.
Bahkan muka surat 202 beliau menamakan Ibn Taimiyyah sebagai Syeikh al-Islam, katanya: "Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Khilaf di dalam tafsir itu ada dua jenis…." .
Lihatlah betapa penulis Salafiyyah Wahabiyyah ini ternyata melakukan pembohongan terhadap para ulama dan pengkhianatan terhadap ilmu.
FITNAH DAN PENGKHIANATAN
Lebih dahsyat daripada itu, pembohongan dalam muka surat 127 terhadap al-Imam Hajar al-`Asqalani, sehingga menggambarkan seolah-seolah Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani ุงู ุญุงู ุธ ุงุจู ุญุฌุฑ ุงู ุนุณู ู ุงู ู (meninggal 852H) dalam Al-Durar al-Kaminah ุงู ุฏุฑุฑ ุงู ู ุงู…ู ุฉ mempertikaikan `aqidah Ibn Taimiyah.
Penulis Salafiyah Wahabiyah tersebut menyelewengkan terjemahan seperti berikut: "para ulama telah menggelarkan Ibn Taimiyyah dengan tajsim berdasarkan apa yang telah beliau tulis., Ibn Hajar menambah lagi: "dia dihukum dengan munafiq kerana perkataannya terhadap Saidina `Ali".
Saya tidak pasti, apakah beliau tidak dapat memahami bahasa `arab, atau sengaja melakukan pengkhianatan. Sebenarnya, terjemahannya sepatut begini:
"Orang ramai telah berbeza pendapat mengenainya kepada beberapa golongan, di kalangan mereka, ada yang mengaitkannya dengan tajsim…di kalangan ada yang mengaitkannya dengan nifaq ู ู…ู ู ู… ู…ู ู ู ุณุจู ุฅู ู ุงู ู ู ุงู ".".
Kemudian Ibn Hajar meneruskan ceritakan mengenaikan fitnah yang dikenakan kepada Ibn Taimiyah itu, sehingga beliau menyebut:"Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah.
Kepada Allah juga kembali segala urusan. Dia memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada.
Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti, mereka semua ingin memegang kerandanya sehingga patah kayunya"9.
Lihatlah niat buruk penulis untuk mengkhianati ulama dan menipu para pembaca yang tidak mengetahui bahasa arab. Lain yang maksudkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani, lain pula yang digambarkannya. Orang yang berbohong seperti ini, tidak diterima penyaksiannya.
Penulis Salafiyah Wahabiyah, juga cuba membohongi pembaca dengan menggambarkan seolah-olah al-Imam al-Zahabi (meninggal 848 hijrah), yang juga salah seorang murid utama Ibn Taimiyyah, mempertikaikan Ibn Taimiyyah, demikian juga al-Imam al-Subki yang hidup di zaman itu, yang menjadi murid kepada al-Zahabi.
Beliau menyembunyikan apa yang al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani sebut dalam kitabnya di atas, al-Durar al-Kaminah.
Sebenarnya al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani, selepas mencerita sejarah kewafatan Ibn Taimiyyah, memetik ucapan al-Imam al-Zahabi yang memuji-muji gurunya Ibn Taimiyyah, sehingga kata Ibn Hajar: "Al-Zahabi telah menulis surat kepada al-Subki, lantas memarahinya di atas perkataannya terhadap Ibn Taimiyyah. Al-Subki menjawabnya, antara jawapannya:
"Adapun apa yang tuan katakan mengenai al-Syeikh Taqiyuddin (Ibn Taimiyyah), maka hamba ini (saya) telah pun pasti ketinggian kemampuannya, limpahan dan keluasan lautan ilmunya dalam naql (al-quran dan al-Sunnah) dan akal, kehebatan kebijaksanaan dan ijtihadnya, juga dia mencapai kesemuanya itu lebih dari yang disifatkan. Hamba ini (saya) sentiasa akan mengakuinya.
Nilaiannya (Ibn Taimiyyah) pada diri ini, lebih besar dan mulia dari segalanya. Dengan apa yang telah Allah himpunkan padanya dari sifat zuhud, warak, kuat beragama, membela dan menegakkan agama kebenaran semata-mata kerana Allah.
Dia melalui perjalanan ulama salaf dengan sepenuhnya, sangat asing orang sepertinya pada zaman ini bahkan di mana-mana zaman pun". Sehinggalah Ibn Hajar menyebut: "Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya.." sehinggalah beliau megelarnya sebagai "Syeikh al-Islam"10.
Bahkan al-Zahabi menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz ุชุฐู ุฑุฉ ุงู ุญู ุงุธ yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadith. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syeikh al-Islam, antara katanya: "Ibn Taimiyyah: seorang syeikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadith), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah Syeikh al-Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang"11.
Demikian cara pembohongan dan penyembunyian fakta dalam buku Salafiyah Wahabiyah tersebut. Bahkan penulisnya meniru lagak gurunya, mempersendakan sesiapa yang menamakan Ibn Taimiyyah dengan Syeikh al-Islam.
Kemudian mengkhianati fakta dengan memutar belitkan tulis-tulis tokoh ulama. Perbuatan ini bukan sekadar memfitnah Ibn Taimiyyah, tetapi memfitnah sekelian ulama yang lain.
Inilah suatu sikap yang diwarisi dari Syi`ah dan ianya sangat buruk. Lihat lagi dalam muka surat 132 dan ke atas, buku penulis buku ini cuba menggambarkan seolah-seolah, al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah r.h. juga tidak menyukai Ibn Taimiyyah berdasarkan kitabnya Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah ุชุงุฑู ุฎ ุงู ู…ุฐุงู ุจ ุงู ุฅุณู ุงู…ู ุฉ.
Sebenarnya sesiapa yang membaca buku tersebut akan melihat bagaimana Muhammad Abu Zahrah memuji dan membela Ibn Taimiyyah. Bahkan Muhammad Abu Zahrah menulis buku khas dengan tajuk "Al-Imam Ibn Taimiyyah", membela dan memuji sejarah perjuangannya.
Maka jelas, ini adalah satu pembohongan terhadap al-Syeikh Abu Zahrah, yang merupakan tokoh besar di zaman kita ini. Lihatlah petikan sebenar daripada kitab Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, kata Syeikh Muhammad Abu Zahrah ketika selesai menceritakan sejarah Ibn Taimiyyah:
"Demikian itu kita lihat pendirian Ibn Taimiyyah terhadap al-Nasir (pemerintah di zamannya) sama seperti pendirian (al-Imam) Izzu al-Din `Abd al-Salam dan Muhyi al-Din al-Nawawi (al-Imam Nawawi).
Maka berterusanlah rangkaian para ulama yang membela Islam. Bahkan Ibn Taimiyyah melebihi mereka berdua kerana dia menghunuskan pedang di medan jihad. Dia telah diberi ujian dengan sebab pandangan-pandangan nya dalam agama. Dia meninggal dalam keadaan Allah meredhainya, dalam penjara yang sempit, semoga Allah meredhai dan memuliakan tempat tinggalnya (syurga) dan mengurnianya sebaik-baik balasan di atas sumbangannya kepada ilmu dan Islam"12.
Adapun Zahid al-Kauthari (meninggal 1371H), yang lahir di Istanbul, memang tidak menyukai Ibn Taimiyyah. Tetapi itu semua bukan satu hujah yang diterima sebagai bukti Ibn Taimiyyah tertolak. Apatah lagi Zahid al-Kauthari terkenal sebagai seorang yang sangat ta'sub kepada mazhab Hanafi, juga tidak amanah terhadap petikan-petikan ilmiah.
Beliau pernah mempertikaikan nasab al-Imam al-Syafi`I, menuduh al-Imam Ahmad sebagai seorang yang tidak faqih, memfitnah Ibn Hajar al-`Asqalani sebagai "kaki perempuan" dan berbagai tuduhan liar terhadap para ulama yang lain.
Ahmad bin Muhammad al-Siddiq al-Ghumari ุงู ุตุฏู ู ุงู ุบู…ุงุฑู menghimpunkan penyelewengan- penyelewengan fakta dan cerca-cercaan ini di dalam kitabnya Radd al-Kauthari `ala al-Kauthari ุฑุฏ ุงู ู ู ุซุฑู ุนู ู ุงู ู ู ุซุฑู .
Maka tidaklah hairan jika orang seperti ini menghina dan memfitnah Ibn Taimiyyah. Al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah r.h pernah menjadi murid al-Kauthari, beliau juga menolak cercaan Kauthari terhadap Ibn Taimiyyah, katanya.:
"Bukti yang kuat (bahawa aku tidak membenci Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim) ialah aku telah penuhi kitab-kitabku dan ulasan-ulasanku dengan pendapat-pendapat Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan al-Imam Ibn Qayyim-semoga Allah merahmati keduanya-.
Aku telah berkhidmat untuk kitab-kitab al-Imam Ibn al-Qayyim dengan menyebar dan mentahqiqkannya, -seperti yang telah disebutkan-. Aku juga telah menyokong dan membela mereka berdua.
Aku menyebut mereka dengan penuh sanjungan dan hormat pada berpuluh-puluh tempat di dalam kitab-kitabku. Sepertimana yang jelas sebelum ini tanpa sebarang keraguan lagi.
Adapun al-Syeikh al-Khauthari r.h., semoga Allah mengampuni kita dan juga dia, tidak menyukai kedua imam ini. Itu adalah pandangan dan ijtihadnya. Sekiranya aku ini berpegang dengan setiap yang dia kata, tentu aku juga akan tidak menyukai kedua mereka (Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan al-Imam Ibn al-Qayyim) lalu mengikuti sikapnya terhadap mereka berdua –Allah rahmati keduanya-.
Namun apa yang berlaku membuktikan sebaliknya…." Sehingga katanya "..segala puji bagi Allah yang telah mengurniakanku dapat membezakan antara yang pendapat yang boleh diterima dan ditolak. Aku akan mengakui apa yang aku lihat benar berdasarkan kefahamanku, sekalipun ianya datang dari seorang yang rendah kedudukannya. Aku akan tinggalkan apa yang aku dapati menjauhi kebenaran, sekalipun ianya datang dari tokoh yang lebih besar dari al-Kauthari, yang terdiri daripada para ulama yang masyhur.
Sekalipun aku seorang pengikut, segala puji bagi Allah di atas kurniaannya, namun tiada seorang pun yang mengikut segala-galanya, melainkan dia seorang yang ta`asub ataupun seorang yang bodoh"13.
Apa yang dinyatakan itu terbukti dalam banyak tempat di dalam penulisan al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah ini, antaranya, ketika mentahqiq (mengulas) kitab Qawa`id fi `Ulum al-Hadith ู ู ุงุนุฏ ู ู ุนู ู ู… ุงู ุญุฏู ุซ oleh Zafar Ahmad al-Uthmani al-Tahanawiุงู ุชู ุงู ู ู Apabila beliau mendapati ada perkataan yang kurang tepat kepada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, al-Syeikh Abu Ghuddah menulis surat kepada al-Tahanawi, dan menegurnya. Al-Tahanawi menjawab surat itu dengan katanya: "Aku pernah menyuruh seorang sahabatku untuk memadamkan ungkapan tersebut yang berkait dengan al-Imam Ibn Tamiyyah r.h., tetapi dia terlupa, dan syaitan melupakan aku untuk mengingatkannya. Kamu semua padamkanlah ungkapan itu dan tulis pada nota kakinya: "Sesungguhnya penulis telah menarik balik ungkapan tersebut, itu adalah dari kegelinciran penanya, dia telah beristighfar dan bertaubat kepada Allah mengenai adab yang buruk terhadap para imam Islam, antaranya al-Imam Ibn Taimiyyah al-Harrani, Syeikh al-Islam, semoga Allah merahmatinya serta memasukkannya dan kita juga ke dalam Dar al-Salam (syurga)"14.
Memang benar, adanya para ulama silam yang mempertikaikan Ibn Taimiyyah di atas salah faham mereka.
Namun bagi sesiapa yang mempelajari ilmu al-Jarh wa al-Ta'dil ุงู ุฌุฑุญ ู ุงู ุชุนุฏู ู (mempertikai atau mengangkat kedudukan seseorang rawi) perkara seperti ini adalah fonomena biasa.
Al-Imam al-Bukhari r.a. sendiri pada hayatnya dipertikaikan akidahnya oleh gurunya sendiri, iaitu Muhammad bin Yahya al-Zuhli yang merupakan juga tokoh hadith dan ulama Naisabur sehingga al-Imam al-Bukhari terpaksa meninggalkan negeri Naisabur.
Al-Imam al-Bukhari dituduh bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk
Kita yakin bahawa tuduhan yang dikenakan kepada al-Imam al-Bukhari tidak benar dan itu hanyalah salah faham. Kisah ini disebut dengan banyak dalam kitab-kitab ilmu hadith.
Untuk kemudahan, pembaca boleh merujuk kitab al-Ta'rif bi Kutub al-Sittah, oleh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah. Al-Imam al-Bukhari pula dalam hayatnya mempertikaikan kedudukan Abu Hanifah r.a., imam mazhab Hanafi. Al-Imam Al-Nasai juga menghukum Abu Hanifah sebagai dhaif.
Tokoh ilmu rawi iaitu al-Yahya bin Ma`in pula mempertikaikan keperibadian al-Imam al-Syafi`i. Ini semua berlaku kerana salah faham dan maklumat yang tidak tepat.
Adapun kita ini, yakin kepada kethiqahan (dipercayai) semua imam-imam tersebut. Kita tidak dapat menerima semua pertikaian itu, kerana ini akan meyebabkan ramainya para imam tertolak. Kalau kita hanya melihat kepada satu pandangan sahaja tanpa kajian, sekalipun pandangan itu datang dari tokoh yang besar seperti al-Bukhari dan Yahya bin Ma`in, tentu kita akan tersilap hukuman terhadap para imam yang lain.
Para ulama hadith telah membincangkan persoalan seperti ini pada berbagai tempat di dalam kitab mereka. Antaranya, apa yang dibahaskan oleh al-Imam Anwar Shah al-Kasymiri dalam kitabnya Faidh al-Bari `ala Sahih al-Bukhari ู ู ุถ ุงู ุจุงุฑู ุนู ู ุตุญู ุญ ุงู ุจุฎุงุฑู dalam jilid pertama di dalam bab Al-`Ilm qabl al-Qaul wa al-`Amal (cetakan Deoband, India). al-Subki menyebut dalam Tabaqat al-Syafi`iyyah: "tiada seorang imam pun melainkan ada yang mencercanya" .
Dengan itu maka para ulama hadith mensyaratkan tajrih (mempertikaikan rawi) mestilah mufassar iaitu dinyata bukti kesalahan yang diterima. Hal yang sama telah menimpa Ibn Taimiyyah perkara ini bertambah buruk apabila musuh-musuhnya dari kalangan Syi`ah dan golongan tarikat sufi yang melampau menabur fitnah yang begitu dahsyat. Dengan harapan, jatuhnya Ibn Taimiyyah, dapatlah bermaharajanya kesesatan.
Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi, dalam bukunya tadi telah menceritakan bagaimana golongan yang sesat berusaha menyebabkan Ibn Taimiyyah dipenjarakan. Apabila beliau dipenjarakan, maka mereka kembali berani untuk menyebarkan kesasatan mereka.
Maka, para ulama pada zaman itu mula sedar betapa besar dan pentingnya peranan Ibn Taimiyyah. Mereka mula menulis surat, merayu dan membelanya di hadapan pemerintah, sehingga al-Nadwi menyebut: "Ahli bid`ah dan hawa nafsu yang dahulu cuba untuk menonjolkan diri sebagai bermazhab ahli sunnah, untuk menipu para pemerintah dan hakim (agar menangkap Ibn Taimiyah). Sebaik sahaja berjaya penipuan mereka, maka nampaklah kejahatan mereka pada orang ramai dan mulalah mereka menonjol dan tidak bersembunyi lagi". (m.s. 93-94).
Nampaknya sejarah tersebut, cuba untuk ditimbulkan semula oleh golongan yang bertopengkan ahli sunnah pada kebelakangan ini.
Jika kita perhatikan tokoh-tokoh umat pada zaman lalu dan kini, mereka banyak mengambil manfaat daripada khazanah Ibn Taimiyyah. Lihat al-Nadwi yang saya sebutkan di atas. Demikian juga al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut dalam bukunya Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah:
"Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku" (m.s. 170, cetakan: Dar al-Wafa, Mesir)
Sebenarnya, golongan yang ingin supaya orang ramai menghukum Ibn Taimiyah sesat, kufur dan seumpamanya itu sedar, bahawa jika langkah ini berjaya maka sebahagian besar tokoh-tokoh umat dapat dileburkan, dan khazanah umat dapat dihancurkan.
Antara murid terbesar Ibn Taimiyyah ialah al-Imam Ibn Kathir, yang terkenal dengan Tafsir al-Quran al-`Azim atau dikenali dengan Tafsir Ibn Kathir. Bacalah buku al-Tafsir wa al-Mufassirun, karangan al-Syeikh Husain al-Zahabi, dalamnya diceritakan bagimana Ibn Kathir begitu mencintai gurunya, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan banyak berpegang dengan fatwanya.
Kemunculan al- Imam Ibn Kathir, al-Imam al-Zahabi, al-Imam Ibn al-Qayyim dan lain-lain adalah antara sumbangan besar Ibn Taimiyyah dalam bidang kesarjanaan Islam.
Musuh-musuh ahli sunnah mengetahui hal ini, mereka berusaha merobohkan khazanah ini.
Para pembaca sesebuah buku atau tulisan hendaklah mengambil sikap berhati-hati, apatah lagi jika dia bukan seorang pengkaji yang dapat menyemak apa yang ditulis.
Berpeganglah kepada ajaran Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:
ู ู ุงุฃู ู ู`ู ู ู ุง ุงู ู`ู ุฐู ู ู ู ุขู…ู ู ู ู ุง ุฅู ู ู' ุฌู ุงุกู ู ู ู…ู' ู ู ุงุณู ู ู ุจู ู ู ุจู ุฅู ู ู ุชู ุจู ู ู`ู ู ู ู ุง ุฃู ู ู' ุชู ุตู ู ุจู ู ุง ู ู ู ู'ู…ู ุง ุจู ุฌู ู ู ุงู ู ุฉู ู ู ุชู ุตู'ุจู ุญู ู ุง ุนู ู ู ู ู…ู ุง ู ู ุนู ู ู'ุชู ู…ู' ู ู ุงุฏู ู…ู ู ู ู (6)
Maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seseorang fasik membawa berita, maka selidikilah, agar kamu tidak menimpakan (hukuman) kepada sesuatu kaum dengan secara jahil, lalu kamu akan menyesal".
Saya tertarik dengan apa yang dipetik oleh al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) dalam kitabnya `Ulum al-Hadith:
"Entah berapa ramai di kalangan ulama yang telah melangkah kaki mereka di dalam syurga sejak seratus atau dua ratus tahun yang lalu, sedangkan kamu menyebut dan mengumpat mereka" ( m.s. 390, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h telah pun pergi menemui Allah sejak tujuh ratus tahun lalu. Hidupnya dahulu dibaluti dengan perjuangan yang penuh ikhlas.
Para ulama hadith dan mereka yang mengenalinya memuji dan menghormatinya, seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan ini, bahkan lebih dari itu.
Sesiapa yang menghina dan mencerca Ibn Taimiyyah di zaman ini, akan berdiri bertanggungjawab di hadapan mahkamah Allah Yang Maha Adil di akhirat.
Mereka mesti bertanggungjawab di atas segala perkataaan yang dilempar kepada tokoh ulama yang mulia itu, yang menyampaikan ilmu, menulis, berjihad dengan pedang menentang tentera kuffar Monggol dan berbagai jasanya yang tidak mampu disukat.
Semoga Allah memelihara kita semua dari kegelinciran dan disesatkan oleh golongan yang jahat.
1 Hasan al-Saqqaf, Sahih Sifat Salat al-Nabi, m.s. 294, cetakan: Dar al-Imam al-Nawawi, Jordan
2 lihat m.s. 111.
3 Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah, m.s. 213 cetakan Dar al-Qalam, Kuwait.
4 Ibid, m.s. 215.
5 m.s. 75
6 Al-Imam al-Sayuti, Tabaqat al-Huffaz, m.s. 516, cetakan Maktabah Wahbah, Mesir.
7 m.s. 76
8 al-Zarqani, Manahil al-`Urfan, jilid 1, m.s. 109, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut
9Ibn Hajar al-`Asqalani, al-Durar al-Kaminah, jilid1, m.s.155, cetakan: Dar al-Turath al-`Arabi, Beirut
10 ibid, jilid 1, m.s. 158-159
11 Al-Imam al-Zahabi, Tazkirah al-Huffaz, jilid 4, m.s. 1496, cetakan Haidar Abad, India.
12 Abu Zahrah, Tarikh al-Mzahib al-Islamiyyah, m.s. 648, cetakan Dar al-Fikr al-`Arabi, Mesir
13 Imdad al-Fattah, bi Asanid wa Marwiyat al-Syeikh `Abd al-Fattah, m.s. 657, cetakan: Maktabah al-Imam al-Syafi'i, Riyadh
14 Al-Tahanawi, Qawaid fi `Ulum al-Hadith, m.s. 442, cetakan Dar al-Salam, Kaherah.
UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR AKU X TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH.. ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..ASTAGHFIRULLAH AL-AZHIM..
Bismillahir-Rahmanir-Rahim..
Assalamualaikum... Kepada para pengunjung. Tujuan blog ini di wujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Posting-posting dari blog ini tidak terbatas pada satu-satu bab. Ia lebih kepada mengikut citarasa hamba sendiri. Harap maaf jika tidak memenuhi kehendak jiwa serta keselesaan para pengunjung yang berlainan idealogi. Namun hamba tetap menyediakan berbagai label infomasi ( scroll down pada sidebar dibawah dan lihat pada "LABEL" ) untuk dimanfaatkan bersama. Semoga dapat memberi manfaat pada kita semua insyaAllah. wassalam.
1 comments:
SAPA2 YG MENGKAPIRKAN SAHABAT, TABIIN, TABIUTTABIIN, ULAMA2 SALAF & KHALAF YAKNI ASWJ, MAKA DIA JATUH MURTAD & JD KAPIR YG NYATA... WAJIB DIJALANKAN HUDUD ATAS NYA
Post a Comment