Sunday, March 20, 2011

PBB BANTU RAKYAT LIBYA MUSNAHKAN GHADAFI

بسم الله الرحمن الرحيم

Tentera perikatan Amerika Syarikat dan Eropah melancarkan tindakan ketenteraan — dinamakan operasi Odyssey Dawn — ke atas Libya semalam (tengah malam dan awal pagi ini, waktu Malaysia) untuk memaksa Muammar Gaddafi menghentikan serangan ke atas rakyatnya sendiri, sekali gus meninggalkan tampuk kepimpinan.

Kempen perikatan itu dilihat sebagai yang terbesar sejak Perang Iraq hampir lapan tahun lalu.

Ekoran serangan itu, televisyen kerajaan Libya melaporkan negaranya “diceroboh musuh”.

Pesawat-pesawat perang melepaskan serangan pertama dengan memusnahkan kereta kebal pasukan tentera kerajaan di Benghazi, sebelah timur Libya.


Selain Amerika Syarikat, perikatan Barat itu terdiri daripada Britain, Perancis, Kanada dan Itali.

Beberapa jam kemudian (awal pagi ini waktu Malaysia), kapal perang dan kapal selam Britain dan Amerika Syarikat melancarkan lebih daripada 110 peluru berpandu ke atas pangkalan pertahanan udara di sekitar Tripoli - ibu negara Libya dan bandar raya Misrata di sebelah barat, yang dikuasai tentera Muammar.

Pentagon berkata operasi ini diadakan untuk menguatkuasakan resolusi PBB yang mengenakan zon larangan terbang dan apa jua pendekatan bagi menghentikan tindakan ketenteraan Muammar di negaranya ekoran kebangkitan rakyat yang berlarutan sejak sebulan lalu.

Resolusi itu diluluskan tiga hari lalu.

Malah serangan ini dilancarkan beberapa jam selepas perikatan itu dan negara Arab mengadakan mesyuarat khas di Paris semalam.

“Ini bukan hasil yang Amerika Syarikat atau mana-mana rakan kami mahukan,” kata Presiden Barack Obama yang sedang mengadakan lawatan ke Brazil.

“Kita tidak boleh berdiri begitu sahaja apabila seorang penzalim memberitahu rakyatnya bahawa tidak ada belas kasihan,” kata beliau.

Tidak sampai dua jam selepas Obama mengeluarkan kenyataan itu, Muammar pula muncul di televisyen sambil merayu kepada negara-negar Arab dan Amerika Latin supaya “berdiri bersama rakyat Libya, menentang pencerobohan ini yang tidak akan membawa apa-apa kesan, sebaliknya menjadikan rakyat Libya lebih kuat dan bersatu.”

Di Washington, Laksamana Muda William E. Gortney berkata, peluru berpandu dilepaskan daripada beberapa kapal pemusnah Amerika Syarikat dan juga kapal-kapal selam serta satu daripada milik Britain.

Katanya, serangan itu mengenai lebih daripada 20 lokasi tentera udara Libya sepanjang kawasan pantai Mediterranean dan sebelah barat.

Katanya, serangan ini hanya bahagian pertama siri kempen mereka dan lebih banyak serangan sudah dirancang.

Kapal Amerika Syarikat yang terlibat termasuklah USS Barry, USS Stout, USS Providence, USS Scranton dan USS Florida manakala satu kapal selama Britain Westminster.-TMI



Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.

2 comments:

  1. Di mana kekuatan tentera Libya untuk mencegah pencerobohan tentera asing? sepatutnya negara yang kaya dengan minyak dapat membiayai angkatan tentera yang moden...

    Sepatutnya sekarang ni puak pemberontak dan kerajaan bergabung menentang serangan dari negara2 barat.

    ReplyDelete
  2. yaa ! saya bersetuju dengan pendapat saudara Azwan. sepatutnya rakyat dan kerajaan libya bersatu padu untuk menentang tentera penceroboh itu.

    mereka mnyatakan bahawa mereka ingin membantu rakyat libya tetapi kenapa mereka menyerang dan mengorbankan penduduk libya ?

    fikir2 kan.

    ReplyDelete

Astaghfirullah Al-Azhim..Astaghfirullah Al-Azhim..Astaghfirullah Al-Azhim..

Tegurlah jika hamba ada membuat kesalahan, baik dengan sengaja atau tidak. Kerana hamba insan biasa yg tak sunyi dari kesilapan.

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Wallahualam.

Buat para sahabat dan yang memberikan komen. Maafkan hamba jika hamba tidak dapat membalasnya. Juga jika hamba tak berkesempatan meninggalkan komen di blog tuan hamba. Kerana waktu sering membatasi kesempatan.

Sahabat semua digalakkan mengambil serta menyebarkan segala bahan atau tulisan yang bermanfaat dari blog ini tanpa perlu meminta izin atau mempamerkan link blog ini.

Wassalam.