Thursday, February 24, 2011

BANGKAI TIKUS DALAM KUALI

بسم الله الرحمن الرحيم

Bangkai Tikus Dalam Kuali Di Restoran

Klang: Bangkai tikus dalam kuali. Mungkin sukar dipercayai tetapi itulah yang dilihat dalam satu operasi penutupan premis makanan dan penguatkuasaan dinamakan ‘Ops Bersih 3' yang diadakan di sekitar bandar diraja ini, baru-baru ini.


Gambar: BANGKAI tikus dijumpai dalam kuali di sebuah premis yang diperiksa di Klang.

Pemilik sebuah restoran mendakwa kuali itu tidak lagi digunakan tetapi alasan terbabit gagal melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan tegas bahagian penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Sentral yang mengikuti operasi bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang diketuai Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan MPK, Amran Jali mendapati kebanyakan premis yang digempur pasukan penguat kuasa itu kotor dan berbau meloyakan.

Dalam operasi bulanan itu, pasukan berkenaan turut menemui mi goreng yang sudah basi disimpan di bawah rak makanan dan boleh memudaratkan kesihatan jika ia dipanaskan dan dihidangkan semula kepada pelanggan.

Bagaimanapun, kebanyakan pelanggan terus menjamu selera di restoran terbabit seperti langsung tidak mengendahkan operasi yang sedang dijalankan.

Amran berkata, lapan premis yang diperiksa gagal mempamerkan tahap kebersihan sepatutnya di samping melakukan pelbagai kesalahan lain seperti tidak melabel jenis makanan dan pekerja memakai selipar.

"Kami sudah mengenal pasti kawasan ini sebelum mengadakan operasi. Kebanyakan restoran yang diperiksa didapati gagal menepati piawaian kebersihan seperti ditetapkan, antaranya tong sampah tidak ditutup dan lantai kotor.

"Malah, kami turut menjumpai bangkai tikus, najis tikus dan lipas di beberapa premis," katanya sambil menambah semua premis itu diarah ditutup untuk tempoh dua minggu bagi mereka membersihkan premis masing-masing.

Pemilik premis boleh beroperasi kembali jika MPK dan PKD Klang berpuas hati dengan tindakan yang mereka ambil daripada aspek kebersihan tetapi jika gagal, kes mereka akan dibawa ke mahkamah.

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Bulan lalu, sebanyak 12 premis restoran diarahkan tutup dalam Ops Bersih 2 yang diadakan di sekitar kawasan Bukit Tinggi. -BH



Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.

4 comments:

  1. Hairan saya kenapa tidak pernah disiarkan gambar atau/dan nama restoran yg disahkan kotor dan diambil tindakan undang-undang?

    Adakah media massa takut disaman oleh pemilik restoran berkenaan?

    Kalau takut adalah dicadangkan agar pemberita dari media alternatif atau bloggers yg berani dijemput sama menyertai operasi di masa hadapan.

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Setuju juga kalau diberitahu nama restoran berkenaan, jadi tak adalah kita tersilap singgah nanti.

    ReplyDelete
  3. he he he bukan takat restoran kotor nama tak dipaparkan... kadangkala nama produk yg didapati mengandungi bahan larangan pun paparannya macam iye tak iye jer... begitu gak dgn kod bahan dalam makanan buatan malaysia neh ada ker tertera dibungkusan..

    ReplyDelete
  4. teringat cerita kartun Ratatouille.. tikus boleh memasak..hehee

    ReplyDelete

Astaghfirullah Al-Azhim..Astaghfirullah Al-Azhim..Astaghfirullah Al-Azhim..

Tegurlah jika hamba ada membuat kesalahan, baik dengan sengaja atau tidak. Kerana hamba insan biasa yg tak sunyi dari kesilapan.

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Wallahualam.

Buat para sahabat dan yang memberikan komen. Maafkan hamba jika hamba tidak dapat membalasnya. Juga jika hamba tak berkesempatan meninggalkan komen di blog tuan hamba. Kerana waktu sering membatasi kesempatan.

Sahabat semua digalakkan mengambil serta menyebarkan segala bahan atau tulisan yang bermanfaat dari blog ini tanpa perlu meminta izin atau mempamerkan link blog ini.

Wassalam.