Saturday, June 27, 2009

Pinjam RM2,000, bayar RM10,000 masih diburu


BUKIT MERTAJAM 25 Jun - Niatnya meminjam hanyalah untuk membantu suami yang terpaksa berhenti kerja akibat masalah kesihatan. Namun setelah dua tahun berlalu, jumlah hutangnya sebanyak RM2,000 bukannya menyusut sebaliknya meningkat pula berlipat kali ganda.

Sehingga kini dia telah pun membayar sebanyak RM10,000.

Malangnya dia dan suami terus diburu oleh ah long terbabit kononnya untuk menuntut baki hutang sebanyak RM2,700 lagi.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Rosnah, 42, berkata, semuanya bermula apabila suaminya, Mohd. Nasib Mohd. Aslan, 53, berhenti kerja kerana masalah tulang akibat kemalangan jalan raya pada 2007.

Katanya, dia nekad meminjam daripada ah long untuk menyara empat anak berusia antara empat dan 16 tahun selain terpaksa menampung kos perubatan Mohd. Nasib.

Sejak itu, bermulalah kesengsaraan hidup mereka sekeluarga.

Rosnah dipaksa menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) kepada ah long terbabit atas alasan bagi 'melicinkan' proses pembayaran hutang setiap bulan.

"Dengan menggunakan kad ATM itu, antara RM350 dan RM400 setiap bulan diambil daripada RM900 gaji isteri saya yang bekerja sebagai operator kilang.

"Peliknya, selepas menghabiskan lebih RM10,000 dengan membayar ansuran bulanan sejak dua tahun lalu, kami masih dikatakan berhutang RM2,700," kata Mohd. Nasib.

Dia dan isterinya ditemui ketika membuat aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nasib, dia pernah memikirkan untuk melaporkan perkara itu kepada polis tetapi bimbang keselamatan ahli keluarga terutama anak-anaknya akan terancam.

"Sepanjang dua tahun ini, hidup kami tidak pernah tenteram. Susah payah isteri mencari wang habis begitu sahaja tanpa diketahui bila hutang akan dapat dilunaskan," katanya yang kini menetap di Kulim, Kedah.

Sementara itu, Arif Shah berkata, pihaknya akan berunding dengan ah long terbabit bagi melangsaikan baki hutang Rosnah kira-kira RM2,700 dan berharap kehidupan keluarga malang itu tidak diganggu lagi selepas ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjadikan pengalaman keluarga Mohd. Nasib sebagai iktibar dengan tidak sesekali meminjam daripada ah long kerana akan menyusahkan diri sendiri.


BS: Arif Shah... hehhehe... kena berunding dgn along ke.? hehehe.. bukan sepatutnya berunding dgn polis ke...? hehehe...


No comments:

Post a Comment

Astaghfirullah Al-Azhim..Astaghfirullah Al-Azhim..Astaghfirullah Al-Azhim..

Tegurlah jika hamba ada membuat kesalahan, baik dengan sengaja atau tidak. Kerana hamba insan biasa yg tak sunyi dari kesilapan.

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Wallahualam.

Buat para sahabat dan yang memberikan komen. Maafkan hamba jika hamba tidak dapat membalasnya. Juga jika hamba tak berkesempatan meninggalkan komen di blog tuan hamba. Kerana waktu sering membatasi kesempatan.

Sahabat semua digalakkan mengambil serta menyebarkan segala bahan atau tulisan yang bermanfaat dari blog ini tanpa perlu meminta izin atau mempamerkan link blog ini.

Wassalam.