KUALA LUMPUR: Gempar apabila sebuah akhbar online di Denmark, semalam memaparkan babak mengaibkan sebuah program realiti terbitan sebuah stesen televisyen negara itu yang menonjolkan aksi peserta Survivor Robinson Ekspeditionen berlumba lari dalam keadaan telanjang bulat.
Lebih memeranjatkan apabila seorang pembaca akhbar ScandAsia.com di Internet yang mempunyai pertalian saudara dengan rakyat Malaysia, mendapati rancangan realiti di TV3 Denmark itu menjalani penggambaran di sebuah pulau di perairan Mersing, Johor.
Difahamkan, semua peserta program realiti televisyen yang sedang disiarkan di negara Scandinavia itu dibawa khas dari Denmark bagi mengharungi pelbagai ujian lasak secara fizikal dan mental.
Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada penerbit program itu mempunyai agenda tersembunyi apabila mewajibkan semua peserta berlumba lari dalam keadaan bogel, seolah-olah mahu menunjukkan kepada dunia rakyat Malaysia masih kuno dan tidak berpakaian.
Rancangan realiti itu yang diadakan setiap tahun memilih lokasi berbeza di seluruh dunia bagi menarik perhatian penonton negara berkenaan yang disiarkan melalui saluran televisyen itu.
Namun, difahamkan, ini pertama kali program berkenaan mensyaratkan peserta lelaki dan wanita menanggalkan semua pakaian sebelum berlumba lari sesama mereka.
Ia sekali gus mencetuskan kritikan penonton program itu yang menyelar penerbitnya kerana menjatuhkan air muka peserta, selain cuba mencetuskan kontroversi itu negara yang menjadi lokasi penggambaran.
Babak acara lumba lari bogel berkenaan yang tersebar melalui akhbar online yang mempunyai pautan dengan laman web program realiti televisyen berkenaan, dianggap satu bentuk penghinaan disengajakan yang boleh menjatuhkan maruah peserta.
Berdasarkan maklumat, seramai 16 daripada 22 peserta program berkenaan terpaksa menyertai acara lumba lari dalam keadaan bogel manakala lima peserta lagi masih berseluar dalam.
Mereka kemudian disyaratkan memakan ulat gonggok sebagai ujian ketahanan fizikal, sebelum melalui proses undian bagi menyingkirkan peserta yang dianggap tidak lagi layak menyertai cabaran.
Difahamkan, seorang peserta wanita yang enggan membuka pakaian untuk menyertai lumba lari berkenaan disingkirkan daripada program berkenaan sebelum dihantar pulang ke Denmark serta-merta.
Berdasarkan dua gambar berasingan yang dipaparkan di akhbar online itu, beberapa lelaki dan wanita kelihatan sedang berlari dalam keadaan bogel di kawasan di pantai.
Turut dipaparkan gambar seorang wanita sedang berlari dalam keadaan bogel secara bersendirian.
Seorang rakyat Denmark yang mengirimkan e-mel mengenai babak panas berkenaan kepada Harian Metro, semalam menyifatkan program yang dipaparkan itu bentuk ‘pertandingan pornografi secara lembut’.
Sebaik membaca akhbar online pagi semalam, dia mendakwa terkejut bagaimana program seumpama itu boleh dibenarkan menjalani penggambaran di Malaysia selain menyatakan rasa hairan mengapa ia boleh sewenang-wenang diluluskan pihak berkuasa di negara ini, khususnya di Johor.
Mengikut sejarah, Ekspedisi Robinson dicatatkan berlaku pada 1905 apabila sekumpulan 65 orang tempatan dan seorang lelaki bernama Robinson memulakan perjalanan dari di Kuala Tembeling, Pahang pada pagi 17 Mei dengan menaiki bot menuju Kuala Tahan bagi menakluki puncak Gunung Tahan di Banjaran Titiwangsa.
No comments:
Post a Comment
Astaghfirullah Al-Azhim..Astaghfirullah Al-Azhim..Astaghfirullah Al-Azhim..
Tegurlah jika hamba ada membuat kesalahan, baik dengan sengaja atau tidak. Kerana hamba insan biasa yg tak sunyi dari kesilapan.
"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Wallahualam.
Buat para sahabat dan yang memberikan komen. Maafkan hamba jika hamba tidak dapat membalasnya. Juga jika hamba tak berkesempatan meninggalkan komen di blog tuan hamba. Kerana waktu sering membatasi kesempatan.
Sahabat semua digalakkan mengambil serta menyebarkan segala bahan atau tulisan yang bermanfaat dari blog ini tanpa perlu meminta izin atau mempamerkan link blog ini.
Wassalam.