Friday, April 17, 2009

Laporan dedah kelemahan MB T'ganu


Muda Mohd Noor | Apr 17, 09 4:26pm
kemaskini 6.52pm Sepuluh ADUN Barisan Nasional menerima laporan gelagat pentadbiran menteri besar Terengganu - didakwa penuh dengan politik cantas dan kelemahan - yang menjadi asas kemarahan mereka.

Mereka memulaukan persidangan DUN pada Selasa dengan alasan nyawa mereka terancam susulan muncul mesej SMS ugutan bunuh - dipercayai berkaitan ura-ura membawa usul tidak percaya terhadap menteri besar itu.

Dalam laporan kepada kira-kira separuh ADUN parti itu, Datuk Ahmad Said didakwa memecat pegawai dan tokoh politik dalam era pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh yang digantikannya.

Mereka yang dipecat termasuklah ketua pegawai eksekutif Institut Pembangunan Terengganu (TDI) Dr Azmi Omar, dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan negeri Terengganu Inc. Datuk Seri Azlan Hashim dan Tan Sri Razali Ismail.

Bekas ketua Puteri Umno negeri, Nordiana Shafie diberhentikan sebagai pengerusi lembaga pengarah Kuantan Medical Centre dan khidmatnya sebagai senator tidak disambung sepenggal lagi.

"Jawatan senator diberi kepada ketua-ketua Wanita (Umno) yang tidak lagi mampu menyumbang kepada negeri," laporan itu dipetik.

Laporan tanpa tarikh itu - yang diperolehi Malaysiakini hari ini - juga mendakwa Ahmad melantik mereka yang tidak berkeupayaan untuk mengetuai agensi kerajaan negeri.

Ketika dihubungi hari ini, setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu, Alias Abdullah berkata, laporan itu diberikan kepada 12 atau 13 wakil rakyat BN negeri itu di Kuala Lumpur semalam.

"Kami pergi ke Kuala Lumpur sebagai persediaan untuk memberi penjelasan kepada (perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak dan (timbalannya) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai mengapa mereka tidak hadir sidang DUN," katanya.

Idris, yang terlibat dalam kumpulan 10 ADUN tersebut, hadir memberikan penjelasan kepada Najib. Ahmad juga dipanggil memberikan taklimat berhubung krisis di negeri itu.

Bagaimanapun, kata ADUN Alor Limbat itu, rombongan ADUN itu tidak dipanggil memberi penjelasan.

Laporan tersebut tidak disediakan oleh kelab penyokong BN negeri tetapi dipercayai daripada kajian orang-orang Idris, jelas Alias lagi.

Manakala pengerusi kelab itu Datuk Rosol Wahid berkata, laporan itu dibuat untuk membolehkan ADUN mengetahui kelemahan menteri besar.

"Kelemahan ini yang menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri menjadi huru-hara dan Umno tidak bersatu," katanya kepada Malaysiakini.

Difahamkan Najib dan Muhyiddin menerima laporan insiden pemulauan DUN selepas mesej ugutan melalui SMS yang diterima menjelang tengah malam Isnin lalu.

Pergeseran antara menteri besar dengan 10 ADUN ini dijangka akan selesai dalam tempoh sebulan lagi.
(CF-http://www.malaysiakini.com)

No comments:

Post a Comment

Astaghfirullah Al-Azhim..Astaghfirullah Al-Azhim..Astaghfirullah Al-Azhim..

Tegurlah jika hamba ada membuat kesalahan, baik dengan sengaja atau tidak. Kerana hamba insan biasa yg tak sunyi dari kesilapan.

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Wallahualam.

Buat para sahabat dan yang memberikan komen. Maafkan hamba jika hamba tidak dapat membalasnya. Juga jika hamba tak berkesempatan meninggalkan komen di blog tuan hamba. Kerana waktu sering membatasi kesempatan.

Sahabat semua digalakkan mengambil serta menyebarkan segala bahan atau tulisan yang bermanfaat dari blog ini tanpa perlu meminta izin atau mempamerkan link blog ini.

Wassalam.